Bicara HCTM: 45 Minit Bersama Pengarah
CHERAS, 13 Ogos 2024 – Seramai 250 orang kakitangan HCTM telah membanjiri Galeri Kompleks Pendididkan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar HCTM untuk menghadiri Bicara HCTM: 45 Minit Bersama Pengarah. Program yang merangkap Perhimpunan Kakitangan yang kedua pada tahun ini menampilkan Pengarah HCTM yang baharu iaitu YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin dan Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid yang baharu menyertai barisan Pengurusan HCTM pada awal Julai yang lalu.
Mengetengahkan bakat-bakat kakitangan sebagai konsep perhimpunan, bacaan syair dan pencak silat serta iringan muzik band daripada Jabatan Ortopedik dan Traumatologi mejadi pembukaan program. Acara diteruskan dengan Ucapan Pengarah HCTM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin di atas pentas yang disediakan.
Beberapa perkembangan semasa dan prestasi pengurusan di HCTM dari sudut sumber manusia, prasarana, prestasi kewangan dan maklum balas kepuasan pelanggan telah dibentangkan dalam perhimpunan ini. Antara aktiviti yang sedang giat dan akan dijalankan ialah penggantian bumbung, penggantian lif, penggantian peralatan di Jabatan Radioterapi dan Onkologi, serta penaiktarafan Jabatan Perkhidmatan Kecemasan secara berperingkat.
YBhg. Dato’ dalam ucapanya memaklumkan penggunaan moto baharu UKM iaitu ILMU, MUTU, DAN BUDI adalah untuk dihayati dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan dan tugasan untuk membawa HCTM ke tahap yang lebih tinggi. Selain itu, slogan HCTM iaitu Better, Faster, Friendlier masih digunakan untuk meningkatkan imej HCTM sebagai hospital pengajar yang memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan cemerlang.
Turut ditekankan pelaksanaan Pelan Strategik HCTM (2021-2025) diperkasakan secara menyeluruh dengan menggariskan secara terperinci, mencakupi langkah-langkah strategik dan pelan tindakan yang komprehensif bagi mencapai matlamat dalam tempoh yang ditetapkan.
Diakhir ucapan beliau menyeru seluruh warga HCTM menggerakkan momentum CERGAS@BERHEMAH, iaitu kakitangan perlu sihat proaktif dan bertenaga semasa bertugas, serta sentiasa berbudi bahasa, sabar, bijak mengendalikan situasi dalam melayani pelanggan dalaman dan juga pelanggan luar. Program disusuli dengan sesi soal jawab bersama barisan ahli Pengurusan HCTM. Warga HCTM yang hadir dalam perhimpunan berpeluang untuk bertanya terus kepada ahli Pengurusan HCTM mengenai perkara dan isu berkaitan HCTM.
Program menutup tirai dengan persembahan nyanyian ‘Setia’ dan ‘Standing In The Eues Of The World’ daripada Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif dan sesi fotografi beramai-ramai.
