Majlis Perasmian Pertandingan Mission SlimPossible MOHE 2.0
PUTRAJAYA, 7 Februari 2024 – Majlis Perasmian Pertandingan Mission SlimPossible MOHE 2.0 telah diadakan pada 7 Februari 2024 bertempat di Dewan Za’aba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Hj. Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Berucap dalam majlis, beliau memaklumkan hasil kajian Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2020 mendapati bahawa negeri paling ramai obesiti di Malaysia adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan 43% daripada populasi adalah obese. Dalam laporan kajian ini juga mendapati seramai 40.3% daripada keseluruhan penjawat awam di Malaysia adalah dalam kategori obesiti.
“Penganjuran pertandingan Mission Slim-Possible MOHE 2.0 dan juga pelbagai program lain yang telah dilaksanakan oleh Kelab KPT adalah selari dengan hasrat Kementerian ini yang sentiasa menggalakkan warga KPT untuk menjalani gaya hidup sihat,” katanya.
Program pemeriksaan kesihatan ini diadakan sebanyak dua (2) kali iaitu pada hari ini dan seterusnya pada 6 Mei 2024 merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM). Program ini diketuai oleh Jabatan Perubatan Keluarga dengan dibantu Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Jabatan Perkhidmatan Dietetik dan Sajian Makanan serta Jabatan Farmasi bertujuan mempromosi kepentingan penjagaan kesihatan kendiri serta penurunan berat badan kepada 250 kakitangan di bawah KPT. Pejabat Pengarah dan Jabatan Multimedia & Penyiaran turut hadir selaku urusetia.
Program ini menawarkan saringan pemeriksaan kesihatan percuma seperti pengukuran indeks jisim badan (BMI), ujian tekanan darah, pemeriksaan gula dalam darah dan konsultasi kesihatan. Selain itu, turut diadakan forum kesihatan berkaitan Gaya Hidup Sihat yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Sarah Anne Robert, Pegawai Farmasi HCTM dan Encik Muhammad Azif Azizi Bin Md Noh, Pegawai Dietetik HCTM dan Encik Mohd Amri Yahya, bekas pemain Bola Sepak Kebangsaan.
Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM, Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar, Prof. Madya Dr. Saharuddin Ahmad, Ketua Jabatan Perubatan Keluarga dan warga HCTM.
