Tahniah – Anugerah Emas International Convention On Quality Control Circle (ICQCC) 2023 Beijing China
Sekalung tahniah kepada kumpulan Kumpulan Inovatif Kreatif (KIK) Sinaran daripada Jabatan Radiologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM atas kemenangan Anugerah GOLD di The 48th International Convention On Quality Control Circle (ICQCC) 2023 yang telah berlangsung pada 29 Oktober hingga 1 November 2023 di Yanqi Lake Convention and Exhibition Centre, Beijing, China.
KIK Kumpulan Sinaran yang diketuai oleh Puan Roslaili Mohamed dan 8 orang ahli telah berjaya memenangi anugerah ini melalui pembentangan projek yang bertajuk High radiation dose during paediatric fluroscopy procedures in Radiology Department. Inovasi yang dinamakan ‘MP-Cradle’ direka khas untuk menangani masalah untuk memberikan perlindungan sinaran ke atas pesakit kanak-kanak yang sering meronta-ronta dan sukar untuk diposisi ketika pemeriksaan dilakukan telah berjaya meraih emas dalam konvensyen kualiti antarabangsa yang diadakan kali ke-48.
MP-Cradle mempunyai 3 fungsi utama iaitu melindungi dari radiasi, memposisi pesakit, dan sebagai alat cegah gerak. Selain memberi perlindungan radiasi yang boleh dilaraskan mengikut keperluan, mudah diubah mengikut sudut yang diperlukan semasa pemeriksaan dijalankan, dan sesuai untuk pelbagai jenis mesin pengimejan perubatan, inovasi ini dihasilkan dengan bahan kitar semula dan turut diperakui keberkesanannya dari pakar bertauliah.







