Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat HCTM
CHERAS, 28 Oktober 2022 (Jumaat) – Unit Geriatrik HCTM telah menganjurkan Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat HCTM di Lobi Utama HCTM. Program ini diadakan bagi meraikan warga emas dan mendidik golongan muda untuk membela nasib warga emas terutamanya yang uzur dan kurang berupaya. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh wakil pengurusan HCTM, Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
Beliau dalam ucapannya berkata pendedahan kepada semua yang terlibat dalam bidang perawatan warga emas adalah penting kerana Malaysia bakal menuju ke arah status negara tua. Menurut laporan perangkaan suku pertama tahun 2021, komposisi penduduk warga emas berusia 65 tahun ke atas meningkat daripada 2.26 juta orang kepada 2.37 juta bagi tempoh sama. Dianggarkan lebih kurang 705 orang pesakit Geriatrik mendapat rawatan di HCTM bermula bulan Mei 2019 hingga September 2022 dan jumlah ini semakin meningkat setiap tahun.
Sempena sambutan Warga Emas, beberapa aktiviti telah dijalankan antaranya pameran reruai daripada pelbagai unit sokongan dalam perawatan Geriatrik (warga emas), agihan 100 goodie bags kepada pelawat yang hadir, ceramah kesihatan, sesi regangan badan, dan cabutan bertuah. Program ini juga mendapat sokongan dan sumbangan daripada rakan strategi seperti Malaysian Society of Geriatric Medicine, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tena, Brego, dan M&B Medical Marketing.







