Sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM
CHERAS, 19 Oktober – Hampir 180 orang tetamu jemputan telah hadir memenuhi undangan dan meraikan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Wad Tuanku Canselor yang telah disempurnakan oleh DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM dan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud pada pagi tadi. Ucapan menjunjung kasih telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Beliau dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah memacu hospital ke arah pusat perubatan bertaraf antarabangsa. Semangat kebersamaan demi kecemerlangan organisasi tidak kira sama ada kakitangan klinikal atau bukan klinikal telah menaikkan nama hospital selama 25 tahun. Banyak kejayaan telah dikecapi antaranya ialah Advanced Surgical Skills Centre (ASSC) menjadi pusat latihan kemahiran pembedahan pertama di luar United Kingdom (UK) menerima Akreditasi dari The Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd), Jabatan Surgeri melalui kepakaran bariatrik telah merekodkan sebanyak 2,000 pembedahan telah berjaya dilakukan, dan penaiktarafan Pusat Reproduktif Termaju menjadi Pusat Rujukan Onkofertiliti Pertama Malaysia. HCTM juga aktif dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dengan kerjasama dengan KPT melalui Program KPT-Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS). Melalui dana yang disalurkan oleh KPT, sebanyak 53 Projek melibatkan aktiviti pemeriksaan kesihatan (Klinik Bergerak) termasuk melibatkan pakar yang turun ke komuniti.
Perasmian Sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM turut diselitkan dengan pelancaran logo rasmi Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan juga pelancaran Buku Coffee Table Jubli Perak 25 Tahun. Turut hadir dalam majlis Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abdul Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj Toriman, Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur), dan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM.













