Majlis Perasmian Sambutan Hari TIBI Peringkat HCTM
Cheras, 21 Jun 2022 – Majlis Perasmian Sambutan Hari TIBI Peringkat HCTM anjuran Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP) dengan kerjasama Unit Respiratori, Jabatan Perubatan, Jabatan Farmasi, Jabatan Komunikasi Korporat & Khidmat Pelanggan serta Persatuan Mahasiswa/i Fakulti Perubatan UKM (PERSIAP) telah diadakan secara ringkas pada pagi tadi di Lobi Utama HCTM.
Hari TIBI sedunia yang disambut pada 24 Mac setiap tahun adalah untuk memperingati sejarah penemuan bakteria Mycobacterium tuberculosis oleh Dr. Robert Koch pada 24 Mac 1882. Bertemakan “Invest to End TB. Save lives“, sambutan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, sokongan semua pihak terhadap usaha-usaha pencegahan dan kawalan penyakit Tibi yang dilakukan di seluruh dunia. Penyakit tuberkulosis atau tibi adalah penyakit berjangkit yang tersebar melalui udara dan berpotensi memberi kesan serius terhadap kesihatan paru-paru seseorang. Tanda-tanda penyakit Tibi adalah batuk yang berpanjangan iaitu melebihi dua (2) minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah. Individu yang mempunyai gejala perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan awal di klinik-klinik kesihatan dan hospital yang berhampiran.
Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM. Turut hadir dalam majlis Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), En. Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar (Pentadbiran), dan Dr. Khamsiah Nawawi, Ketua Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan merangkap Penasihat Program Hari Tibi Peringkat HCTM 2022.










