Semarak Kemerdekaan Sempena Bulan Kemerdekaan Ke-64 Peringkat HCTM 2021
CHERAS, 30 Ogos 2021 – Program Semarak Kemerdekaan Sempena Bulan Kemerdekaan Ke-64 Peringkat HCTM 2021 telah diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom dan FB Live. Program diadakan sempena Hari Kebangsaan yang ke-64 dengan tema ‘Malaysia Prihatin’ telah dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Hasrizal Hasan dan seterusnya ucapan daripada YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM.
Pengarah dalam ucapan beliau menyeru warga HCTM sama-sama menghayati dengan penuh kesyukuran erti kemerdekaan dan bersama-sama berganding bahu memerangi pandemik COVID-19. Menurut beliau, pendekatan Malaysia Prihatin dalam hasrat memperluaskan impak bermakna kepada masyarakat telah menjadi aspirasi warga HCTM untuk menggembleng tenaga dan bersama-sama membantu negara memberi perkhidmatan terbaik melalui bidang perubatan terutamanya dalam mengurus dan merawat pesakit COVID-19 dan membantu Program Imunisasi Kebangsaan melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Acara diteruskan dengan video ucapan wakil-wakil warga kerja HCTM dan seterusnya tayangan video peserta Pertandingan Semarak Kemerdekaan anjuran Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan. Tiga penyertaan terbaik telah dipilih dan berjaya membawa pulang wang tunai dan sijil penyertaan. Tempat pertama telah dimenangi oleh Eliza Nor Ahmad Rashidi daripada Unit Hematologi JPMD, Tempat Kedua daripada Jabatan Kualiti, dan Tempat Ketiga daripada Unit Hematologi JPMD. Pertandingan ini bertujuan untuk menggalakkan keluarga HCTM menzahirkan semangat kemerdekaan melalui kreativiti penghasilan video. Program tamat pada jam 1.00 petang dan diakhiri dengan sesi fotografi di aplikasi Zoom.








