Bicara Pengarah HCTM Sempena Majlis Perhimpunan Kakitangan Bil.2/2025

10 Okt 2025 2025, Berita

Bicara Pengarah HCTM Sempena Majlis Perhimpunan Kakitangan Bil.2/2025 telah diadakan pada 9 Oktober 2025 (Khamis) bertempat di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kehadiran lebih 300 warga HCTM. Acara diserikan dengan persembahan pembukaan yang dipersembahkan oleh kumpulan di bawah portfolio Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan).

Fokus utama penganjuran majlis ini adalah untuk mengiktiraf pencapaian dan kecemerlangan HCTM sepanjang tempoh Februari hingga September 2025. Antara agenda utama termasuk Ucapan Penghargaan dan Tahniah sempena pelantikan kepimpinan baharu UKM dan HCTM, sorotan kejayaan-kejayaan penting, penganugerahan dan pengiktirafan kepada kakitangan, laporan perkembangan prestasi HCTM serta pembentangan maklumat terkini merangkumi aspek Sumber Manusia, Prasarana, Prestasi Kewangan dan Maklum Balas Pelanggan. 

YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, dalam ucapannya berharap agar dengan semangat kebersamaan dan nilai profesionalisme yang tinggi, beliau yakin HCTM akan terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah pusat perkhidmatan kesihatan bertaraf antarabangsa yang bukan sahaja unggul dalam bidang klinikal dan penyelidikan, malah menjadi pilihan utama masyarakat untuk mendapatkan rawatan yang terbaik. Di majlis perhimpunan ini, warga HCTM diberi peluang untuk sesi soal jawab bersama Pengurusan HCTM serta diberi peluang memberi pandangan dan cadangan secara langsung. 

Majlis turut dihadiri oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Ketua-ketua Jabatan dan Warga HCTM.

Sambutan Hari Warga Emas 2025 “Jom Ungu Tanda Kasih dan Penghargaan Kita”

10 Okt 2025 2025, Berita
‘Jom Ungu Tanda Kasih dan Penghargaan Kita’ sempena Sambutan Hari Warga Emas 2025, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1 Oktober 2025 (Rabu) bertempat di Lobi Utama, HCTM. Program anjuran Jabatan Khidmat Pelanggan (JKP) dengan kerjasama Jabatan Komunikasi Korporat dan Jabatan Multimedia dan Penyiaran adalah untuk menghargai jasa dan sumbangan warga emas sejajar dengan tema tahun 2025, “Memperkasa Suara Warga Emas Ke Arah Masa Depan Inklusif”. Warga HCTM dari pelbagai jabatan/pusat/unit bersama-sama meraikan kempen ini dengan pakaian atau aksesori berwarna ungu. Warga emas turut diraikan dengan pemberian bunga Daisi sebagai simbol penghargaan dan penghormatan serta penyediaan khidmat penghantaran pesakit warga emas ke semua lokasi temujanji menggunakan kerusi roda yang dihias khas bagi memastikan keselesaan kepada warga emas. Selain itu, HCTM juga menjalankan soal selidik secara bersemuka untuk mengukur kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan kaunter JKP, bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan sentiasa berkualiti dan memenuhi keperluan warga emas dan komuniti secara menyeluruh. Turut hadir memberikan sokongan, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), HCTM dan YBrs. Encik Ahmad Zamri Noordin, Ketua Jabatan Khidmat Pelanggan.
Selamat Menyambut Hari Warga Emas 2025!
Daripada Pengurusan dan Warga HCTM.

Majlis Perasmian Sambutan Hari Fisioterapi Sedunia 2025

10 Okt 2025 2025, Berita

Majlis Perasmian Sambutan Hari Fisioterapi Sedunia 2025 Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan pada 27 September 2025 (Sabtu) bertempat di Unit Fisioterapi Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, HCTM. Fisioterapi memegang peranan penting dalam proses pemulihan kesihatan, berfungsi untuk memperkasakan pesakit agar mencapai kekuatan, keseimbangan dan kestabilan tubuh secara menyeluruh. Sebagai usaha memupuk kecergasan fizikal, ketabahan jiwa dan kemahiran komunikasi yang efektif, aktiviti Explorace telah diadakan bersempena dengan sambutan Hari Fisioterapi Sedunia. Aktiviti ini selari dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu “Mencabar Diri, Menakluk Cabaran” (Beat Yourself, Conquer This Challenge). Seramai 56 orang yang terdiri daripada awam dan warga telah mengambil peluang untuk mencabar fizikal dan kecergasan melalui program ini. Memetik ucapan YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, beliau menyatakan bahawa aktiviti seperti ini mampu memupuk semangat kerjasama serta meningkatkan motivasi berpasukan. Beliau turut menegaskan bahawa semangat berpasukan amat penting, khususnya dalam menyelesaikan tugasan. Turut hadir dalam majlis YBrs. Puan Rohana Mukahar, Ketua Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, Puan Zunaidah Abu Samah, Ketua Unit Fisioterapi, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program, warga dan peserta program.

Majlis Perasmian Program Kesedaran Jangkitan HPV

10 Okt 2025 2025, Berita
Majlis Perasmian Program Kesedaran Jangkitan HPV anjuran bersama Fakulti Perubatan dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berlangsung pada 26 September 2025 (Jumaat) di Ruang Legar Pusat Reproduktif Termaju (ARC), Blok Klinikal, HCTM. Majlis ini disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki Dekan Fakulti Perubatan, UKM. Tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang jangkitan “Human Papillomavirus” atau HPV, cara penularan dan pencegahannya, serta menggalakkan pengambilan vaksin HPV sebagai langkah pencegahan yang selamat dan berkesan. Selain itu, program ini juga bertujuan memecahkan stigma dan membina keyakinan masyarakat terhadap langkah-langkah pencegahan penyakit yang berkait rapat dengan HPV, khususnya kanser serviks. Turut hadir, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, YBhg. Profesor Dr. Mohamad Nasir Shafiee, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) merangkap pengarah program, Pegawai-pegawai kanan dan Warga UKM.

Sambutan Hari Retina dan Hari Penglihatan Sedunia 2025

10 Okt 2025 2025, Berita
Program Sambutan Hari Retina dan Hari Penglihatan Sedunia 2025 anjuran Jabatan Oftalmologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan pada 26 September 2025 (Jumaat) di Lobi Utama, Blok Klinikal, HCTM. Sambutan Hari Retina Sedunia disambut pada hari Ahad terakhir bulan September setiap tahun, manakala Hari Penglihatan Sedunia pula disambut pada hari Khamis minggu kedua bulan Oktober. Kedua-dua sambutan ini bertujuan meningkatkan kesedaran global terhadap isu-isu kesihatan mata, termasuk kepentingan deria penglihatan, langkah pencegahan penyakit mata, serta usaha berterusan dalam menangani masalah kebutaan.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBrs. Dr. Othmaliza Othman, Ketua Jabatan Oftalmologi seterusnya ucapan perasmian oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM. Beliau berharap agar penganjuran program ini mampu memberikan pendedahan yang lebih meluas kepada masyarakat tentang kepentingan kesihatan mata, sekali gus meningkatkan tahap kesedaran dalam usaha mencegah penyakit mata dan mengurangkan risiko masalah penglihatan. Turut hadir sama dalam sesi ini adalah YBrs. Dr. Ayesha Mohd Zain, Ketua Unit Medical Retina merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program Sambutan Hari Retina dan Hari Penglihatan Sedunia 2025, Pegawai-pegawai Kanan dan warga HCTM.

Majlis Perasmian Sambutan Minggu Penolong Pegawai Perubatan (PPP) 2025 Peringkat HCTM

10 Okt 2025 2025, Berita
Majlis Perasmian Sambutan Minggu Penolong Pegawai Perubatan (PPP) 2025 Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berlangsung pada 22 September 2025 (Isnin) di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Majlis ini disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM.
Sambutan ini diadakan dengan tujuan memperkukuh kemahiran, memperluas pengetahuan, serta mengeratkan semangat kerjasama dalam kalangan warga Penolong Pegawai Perubatan (PPP) di HCTM. Dalam majlis ini, turut diumumkan penubuhan Unit Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan (U4P) yang telah mula beroperasi secara rasmi sejak 1 Ogos 2025. Unit baharu tersebut diketuai oleh Encik Abdul Wahid Jusoh dan diharapkan dapat memegang peranan penting dalam memastikan standard perkhidmatan di HCTM sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Pengarah dalam ucapannya, menekankan kepentingan inovasi dan adaptasi dalam dunia perubatan yang sentiasa berkembang. Beliau menyeru semua warga PPP untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan bukan sahaja dari segi teknikal tetapi juga aspek empati, keprihatinan dan nilai kemanusiaan.
Turut hadir sama memberikan sokongan, YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), YBrs. Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan, YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, YBrs. Encik Abdul Wahid Jusoh, Ketua U4P merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Minggu PPP, HCTM 2025 dan Warga HCTM.
1 2

Search

+