PROGRAM SARINGAN KESIHATAN KAKITANGAN HCTM BERUMUR 40 TAHUN DAN KE ATAS TAHUN 2026

26 Oktober 2026 – Komitmen Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dalam Memperkasa Kesihatan dan Kesejahteraan Warga Kerja.
Poliklinik Warga, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah diarahkan untuk melaksanakan Program Saringan Kesihatan Kakitangan HCTM Berumur 40 Tahun dan Ke Atas sebagai salah satu inisiatif bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan serta menggalakkan pengesanan awal faktor risiko penyakit dalam kalangan warga kerja hospital.
Program ini telah dijadualkan berlangsung pada 13 hingga 15 September 2026 (Selasa hingga Khamis), bertempat di Sukmaria, Aras 3, Blok Klinikal, Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
Pelaksanaan program ini melibatkan seramai 370 orang kakitangan HCTM yang telah dikenal pasti layak menjalani saringan kesihatan. Senarai peserta berkenaan disediakan berdasarkan proses saringan maklumat melalui Google Form yang telah diedarkan kepada semua jabatan di HCTM. Kaedah ini bertujuan membantu mengenal pasti kakitangan yang memenuhi kriteria program serta memastikan pelaksanaannya dapat dirancang dengan lebih teratur dan sistematik.
Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program, Poliklinik Warga turut menerima kerjasama dan bantuan tenaga kerja daripada beberapa jabatan di HCTM, iaitu:
- Jabatan Khidmat Pelanggan, HCTM;
- Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, HCTM;
- Jabatan Perubatan Kecemasan, HCTM; dan
- Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, HCTM.
Kerjasama rentas jabatan ini merupakan satu bentuk komitmen bersama dalam memastikan urusan pendaftaran, pengendalian peserta dan proses saringan kesihatan dapat dilaksanakan dengan lancar, teratur dan berkesan.
Secara keseluruhannya, program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran warga kerja HCTM tentang kepentingan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan pencegahan penyakit. Usaha ini juga mencerminkan komitmen HCTM dalam memelihara kesihatan serta kesejahteraan kakitangannya agar sentiasa berada dalam keadaan sihat dan mampu memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat.
Poliklinik Warga, HCTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jabatan yang terlibat atas kerjasama, sokongan dan komitmen yang diberikan bagi menjayakan pelaksanaan program ini.
