PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT KOMUNITI, BT. 16 KG. DUSUN TUA, HULU LANGAT, SELANGOR
Poliklinik Warga, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat Komuniti Batu 16, Kg. Dusun Tua, Hulu Langat pada 12 September 2026 (Sabtu) bertempat di Dewan Orang Ramai, Batu 16, Kampung Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor.
Program ini merupakan salah satu inisiatif Poliklinik Warga dalam memperkukuh khidmat kesihatan kepada komuniti setempat, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan dan saringan kesihatan secara berkala.
Pelaksanaan program turut mendapat sokongan dan kolaborasi daripada Jabatan Khidmat Pelanggan HCTM, Jabatan Bedah Mulut & Maksilofasial, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UKM – Program Dietetik. Program ini turut dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat dan Klinik Kesihatan Batu 14, Hulu Langat, Selangor yang sama-sama menyumbang kepakaran dan sokongan bagi memastikan program berjalan dengan lancar.

Antara pengisian program adalah saringan kesihatan komuniti, pemeriksaan dan pendidikan kesihatan pergigian, khidmat nasihat pemakanan serta pendidikan kesihatan. Pendekatan ini memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan maklumat kesihatan yang bersesuaian di samping meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan amalan gaya hidup sihat dan pencegahan penyakit.
Melalui penganjuran program ini, Poliklinik Warga HCTM komited untuk terus memperluas inisiatif kesihatan berasaskan komuniti, memperkukuh jaringan kesihatan antara agensi serta institusi, dan menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
Secara keseluruhannya, Program Khidmat Masyarakat Komuniti Batu 16, Kg. Dusun Tua telah memberikan ruang kepada Poliklinik Warga, HCTM bersama rakan kolaborasi untuk berkongsi kepakaran, pengetahuan dan perkhidmatan kesihatan secara langsung kepada komuniti.

