Apakah kepakaran yang ada di HCTM?
Secara keseluruhannya HCTM menawarkan semua kepakaran perubatan. Sila rujuk Kepakaran Klinikal.

Bagaimana caranya untuk mendapatkan rawatan pakar?
Untuk mendapatkan rawatan pakar di HCTM, surat rujukan doktor diperlukan.

Apakah yang dimaksudkan dengan sistem temujanji berperingkat?
Temujanji berperingkat bermaksud pesakit diberikan tarikh dan masa temujanji khusus untuk berjumpa dengan doktor/pegawai perubatan berdasarkan kepada jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan pada satu-satu masa. 

Kenapa nombor giliran saya belum dipanggil sedangkan nombor giliran sesudah saya dipanggil terlebih dahulu?
Nombor giliran adalah berdasarkan kepada slot jam pesakit dalam sistem temujanji pada tarikh berkenaan. Walau bagaimanapun terdapat situasi pesakit tidak dipanggil berdasarkan no. giliran terawal kerana keputusan dan penilaian doktor/pegawai perubatan yang telah menyemak kes  dan telah menetapkan keutamaan berbeza.

Kenapa saya tidak mendapat nombor giliran yang lebih awal walaupun saya telah hadir lebih awal daripada pesakit lain?
Nombor giliran diberikan berdasarkan kepada masa temujanji yang ditetapkan. Pesakit yang datang awal tetapi nombor giliran tetap diberikan berdasarkan masa temujanji yang telah tercatat dalam kad temujanji pesakit

Apakah yang dimaksudkan dengan kes-kes kecemasan bagi tujuan rawatan di Jabatan Kecemasan?
Kes-kes kecemasan termasuk kemalangan (di jalan raya/ di tempat kerja/ domestik), serangan lelah, serangan jantung, pengsan, digigit ular, kebakaran, sawan, keracunan makanan, sakit perut secara tiba-tiba dan amat kuat.

Sekiranya berlaku kemalangan dan saya memerlukan bantuan ambulans, siapakah yang perlu saya hubungi?
Hubungi 999 dan nyatakan jenis kecemasan anda. Unit Pra Hospital akan respons kepada operator 999 dan salurkan bantuan yang sepatutnya.

Berapa lama saya perlu menunggu untuk mendapatkan rawatan di kecemasan?
Setibanya di kecemasan, pesakit akan disusun mengikut kategori kecemasan (kritikal, separa kritikal, dan bukan kritikal). Pesakit dalam kategori kritikal akan diberikan keutamaan diikuti separa kritikal dan bukan kritikal.

Berapakah caj kemasukan atau cagaran hospital bagi warganegara dan bukan warganegara?
Maklumat kadar caj boleh dapati dengan menghubungi Bahagian Hasil di talian 03-9145 5232 / 5228 atau hantar emel ke hasiljkew@ppukm.ukm.edu.my

Apakah penyakit berjangkit yang dimasukkan ke wad dikecualikan dari bayaran?
Ya, semua jenis penyakit berjangkit dikecualikan.

Apakah dokumen-dokumen yang perlu dibawa semasa mendapatkan rawatan atau kemasukan bagi tujuan pengecualian bayaran?
Kad Kebajikan Masyarakat, Kad Pencen, surat sekolah, surat pengesahan (GL)

Perlukah saya menempah (booking) terlebih dahulu sekiranya ingin bersalin di sini?
Perlu, sekurang-kurangnya telah dilihat oleh doktor di sini sebanyak 2 kali.

Ke manakah harus saya pergi sekiranya saya hendak bersalin?
Puan perlu datang segera ke PAC/OGAC yang terletak bersebelahan dengan Jabatan Kecemasan

Apakah yang perlu dibawa apabila saya mempunyai tanda tanda untuk bersalin?
Puan perlu membawa kad pengenalan, kad temujanji, buku rekod pemeriksaan antenatal, surat jaminan (jika ada)/ wang untuk deposit kemasukan ke wad, kelengkapan diri dan bayi semasa datang ke PAC/OGAC.

Bolehkah suami menemani isteri semasa di Dewan Kelahiran?
Boleh, suami perlu menandatangani borang pengeluaran pas menunggu pesakit di dewan kelahiran dan perlu mendapatkan Pas Menunggu di Kaunter Keselamatan yang terletak di tingkat 1 berhampiran Dewan Kelahiran

Bolehkah saudara perempuan menemani isteri semasa bersalin?
Keutamaan hanya diberi kepada suami atau ibu pesakit. Jika kedua duanya tiada, permohonan boleh dibuka kepada saudara perempuan sahaja yang dinamakan oleh pesakit untuk menemannya asalkan bersesuaian.

Bagaimana dengan penyusuan bayi saya jika saya masih belum menghasilkan susu ibu?
Secara keseluruhannya setiap wanita yang mengandung berupaya menghasilkan susu ibu. Pesakit digalakkan terus menyusui bayi dalam jam pertama selepas kelahiran bagi merangsang pengeluaran susu. Amalan melengahkan pemberian susu ibu boleh menyebabkan payudara kurang penghasilan dan bayi menolak untuk menyusu di payudara.

Pada siapa boleh saya membuat rujukan di atas masalah penyusuan susu ibu?
Puan boleh membuat panggilan ke Klinik O&G bagi mendapatkan bantuan Kaunselor Penyusuan Susu Ibu atau puan boleh mendapatkan pamplet Kumpulan Sokongan  Penyusuan Susu Ibu.  Bantuan boleh diperolehi dari Kaunselor  Terlatih yang ada di setiap wad.

Apakah jenis aduan atau maklum balas yang boleh saya berikan kepada HCTM?

Pihak HCTM mengalu-alukan sebarang cadangan, aduan, penghargaan, pertanyaan dan maklum balas mengenai sebarang perkhidmatan yang kami sediakan.

Adakah sebarang bayaran dikenakan untuk membuat aduan?

Tiada

Bolehkah saya membuat aduan bagi pihak orang lain?

Boleh, dengan syarat maklumat pesakit yang tepat dan terkini turut disediakan. Sekiranya tiada sebarang maklumat yang lengkap, adalah sukar untuk pihak kami membuat siasatan lanjut dan mengenal pasti tindakan penambahbaikan yang diperlukan.

Bolehkah saya mengemukakan aduan tanpa memberi nama?

Boleh, namun maklum balas atau aduan berkenaan akan dikira sebagai tidak lengkap untuk pihak kami mengemukakan maklum balas tindakan penambahbaikan yang telah diambil kepada pengadu.

Bagaimana cara membuat aduan?

Terdapat beberapa saluran rasmi aduan dan maklum balas yang boleh dimajukan kepada pihak kami. Antaranya:-

  • Borang Aduan (warna merah jambu yang boleh didapati dilokasi tertentu/kaunter informasi khidmat pelanggan di Lobi Utama)
  • Panggilan telefon ke Seksyen Maklum Balas & Aduan Pelanggan, Jabatan Kualiti ditalian 03-9145 5052/6496/5065
  • Emel maklumat aduan ke maklumbalasHCTM@hctm.ukm.edu.my
  • Borang Atas Talian Maklum Balas HCTM (Kategori: Cadangan, Aduan & Penghargaan) : https://hctm.ukm.my/hubungi-kami/

Apa yang perlu saya masukkan dalam aduan kepada HCTM?

Pastikan nama pengadu, nama pesakit, noMRN Pesakit, alamat terkini pengadu, no.telefon, emel, tarikh kehadiran ke HCTM, Wad atau klinik berkaitan, nama kakitangan terlibat (sekiranya berkenaan), dan maklum balas perkhidmatan kami.

Apa berlaku kepada aduan saya?

Setiap aduan LENGKAP yang diterima akan diberikan surat pengesahan penerimaan dalam tempoh 3 hari bekerja dari tarikh maklum balas diterima oleh Seksyen Maklum Balas & Aduan Pelanggan, Jabatan Kualiti. Aduan dan maklum balas akan dimajukan kepada jabatan yang terlibat untuk siasatan dijalankan. Tempoh yang diberikan kepada jabatan untuk melakukan siasatan dan mengemukakan laporan ialah dari 5-30 hari. Jawapan kepada pengadu akan diberikan selepas laporan diterima daripada jabatan.

Berapa lama HCTM membuat siasatan?

Tempoh siasatan adalah bergantung kepada tahap kerumitan sesuatu kes yang diterima termasuklah keperluan mendapatkan maklumat atau fail pesakit mengikut prosedur yang telah ditetapkan, perjumpaan dengan kakitangan yang terlibat, proses atau prosedur yang diperlukan untuk tindakan pembetulan atau penambahbaikan dan sebagainya.

Bagaimanakah cara untuk mendapatkan perkhidmatan dari Jabatan Kerja Sosial Perubatan?

Pesakit hendaklah dirujuk melalui borang rujukan oleh Pakar/Pegawai Perubatan/Terapis Pemulihan daripada wad atau klinik di mana pesakit mendapatkan rawatan. Seterusnya, Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan membuat penilaian biopsikososial bagi tujuan :

  • Mengenalpasti  masalah sebenar yang dihadapi oleh pesakit atau keluarga pesakit
  • Mengenalpasti  keperluan pesakit
  • Menentukan tindakan intervensi  untuk membantu pesakit dan keluarganya
  • Penilaian semula tindakan bantuan
  • Penamatan

Apakah kriteria pesakit yang layak untuk memohon bantuan?

Secara amnya, semua pesakit yang menghadapi masalah psikososial dalam proses rawatan di HCTM layak untuk memohon bantuan.  Walau bagaimanapun,  saringan dan penilaian akan dilakukan terlebih dahulu oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan samada pesakit boleh mendapat  bantuan atau tidak.  Kriteria  kelayakan mendapat bantuan berbeza-beza mengikut keperluan pesakit kerana melibatkan aspek penilaian latar belakang sosial, sosioekonomi, tahap sokongan sosial,  jenis  penyakit, rawatan  serta garis panduan badan bantuan yang berbeza dalam menentukan bantuan yang boleh diberikan oleh mereka.

Apakah dokumen sokongan yang diperlukan untuk memohon bantuan?

Dokumen sokongan yang diperlukan untuk memohon bantuan adalah berbeza bergantung kepada jenis keperluan pesakit. Namun, dokumen sokongan asas yang diperlukan adalah salinan kad pengenalan pesakit dan keluarga,  slip gaji/pengesahan pendapatan pesakit dan ahli keluarga yang bekerja,  salinan bil-bil utiliti, dan salinan resit bayaran yang dibuat secara bulanan.

Apakah perkhidmatan yang ditawarkan oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan?

Di antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan adalah seperti berikut:

  • Membantu mendapatkan bantuan peralatan rawatan dan ubatan kategori non-formulary.
  • Menguruskan pinjaman peralatan sokongan rawatan.
  • Menguruskan penempatan Rumah Perantaraan (transit) untuk pesakit dan ahli keluarga.
  • Mengesan waris pesakit dan penempatan pesakit ke institusi/agensi sokongan.
  • Pengurusan kes ibu tanpa nikah.
  • Pengurusan kes penderaan/pengabaian kanak-kanak.
  • Penganiayaan seksual & keganasan rumahtangga.
  • Penempatan rawatan (kes hemodialisis).
  • Rujukan bantuan kewangan ke agensi bantuan luar
  • Penilaian dan penyediaan laporan sosioekonomi.
  • Konsultasi caj rawatan, pendaftaran OKU dan tuntutan perubatan.
  • Terapi sokongan emosi kepada pesakit/keluarga pesakit yang memerlukannya

Bagaimana cara memohon mendiami Rumah Perantaraan HCTM( transit )?

Untuk permohonan mendiami Rumah Perantaraan, pesakit hendaklah dirujuk melalui borang rujukan oleh Pakar/Pegawai Perubatan/Terapis Pemulihan daripada wad atau klinik di mana pesakit mendapatkan rawatan. Deposit sebanyak RM50.00 dan caj penginapan adalah RM5.00 untuk satu malam. Sekiranya tiada kekosongan rumah ketika rujukan diterima pesakit/waris akan diletakkan ke senarai menunggu. Jika diperlukan, mereka juga akan diberikan senarai alternatif kemudahan penginapan yang disediakan oleh pihak luar berhampiran PPUKM.

Bolehkah saya memohon pinjaman atau penyewaan peralatan perubatan seperti katil pesakit, tongkat atau kerusi roda daripada HCTM?

Boleh. Prosedur yang sama perlu dilakukan iaitu pesakit hendaklah dirujuk melalui borang rujukan oleh Pakar/Pegawai Perubatan/Terapis Pemulihan daripada wad atau klinik di mana pesakit mendapatkan rawatan. Kemudahan pinjaman atau penyewaan peralatan perubatan yang diberikan adalah berdasarkan keperluan pesakit yang disyorkan oleh pihak perujuk. Bagaimanapun kemudahan peralatan perubatan tersebut adalah terhad dan tertakluk kepada  sumbangan peralatan yang masih ada dalam  satu-satu masa. Pesakit yang berkemampuan adalah dinasihatkan untuk membeli atau menyewa terus dari pihak pembekal.

Bagaimana saya hendak dapatkan makluman status permohonan bantuan kos perubatan yang dipohon?

Permohonan bantuan yang layak akan diproses setelah lengkap dokumen sokongan diberikan kepada Pegawai Kerja Sosial Perubatan. Pegawai akan merujuk permohonan kepada agensi bantuan mengikut keperluan bantuan. Sekiranya maklumbalas permohonan diperolehi, Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan memberikan surat makluman keputusan bantuan kepada pesakit dalam tempoh tidak melebihi 5 hari.. Tempoh menunggu keputusan bergantung kepada kriteria dan syarat agensi bantuan yang dirujuk. Ada agensi bantuan yang memberi maklumbalas dalam tempoh 1-2 minggu dan ada agensi bantuan yang memberi maklumbalas dalam tempoh antara 1-2 bulan. Kadar kelulusan bantuan tertakluk kepada keputusan dan pertimbangan pihak agensi bantuan.

1. Mengapa terdapat ubat yang perlu dibeli sedangkan di Hospital KKM lain, ubat dibekalkan secara percuma?
Untuk makluman, HCTM UKM adalah dibawah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan bukan dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Oleh itu pengurusan dari segi polisi dan peruntukan adalah berbeza. Ubat yang tersenarai di dalam Formulari(F) HCTM akan diberikan secara percuma kepada pesakit mengikut polisi yang telah ditetapkan, iaitu mengikut pengkhususan Pakar atau klinik, indikasi dan peruntukan yang diluluskan.
Oleh itu pesakit perlu membuat bayaran untuk ubat-ubatan bagi situasi berikut:
a) ubat tidak tersenarai di dalam Formulari HCTM (Ubat Non-Formulary)
b) penggunaan ubat tersebut telah melebihi peruntukan yang diluluskan
c) ubat tersebut dipreskrib oleh Pakar atau klinik yang tidak termasuk dalam senarai pengguna yang telah diluluskan (A*)
d) status pesakit adalah berbayar

2. Adakah Farmasi HCTM mempunyai kemudahan `SMS & Ambil’ dan UMP – ambil ubat melalui Pos, `After Office Hour’ (AOH)’, dan Sistem Pembekalan Ubat Bersepadu (SPUB)?
Farmasi HCTM tidak menyediakan perkhidmatan SMS & Ambil dan pembekalan ubat bersepadu (SPUB). Perkhidmatan ini hanya disediakan oleh hospital-hospital di bawah KKM.

Farmasi HCTM ada menyediakan kemudahan Panggil dan Ambil (PDA). Pesakit yang mempunyai ubat ulangan boleh mendaftar di kaunter PDA yang disediakan tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan. Pesakit hanya perlu membuat panggilan 24jam sebelum datang mengambil ubat ulangan tanpa perlu beratur atau menunggu kerana ubat telah disediakan terlebih dahulu.

Selain itu, terdapat perkhidmatan tambah nilai terbaru yang diperkenalkan oleh Jabatan Farmasi iaitu Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP). Ubat akan di pos ke destinasi pilihan pesakit dengan caj perhantaran serendah RM5.30 (Cash on Delivery). Pesakit boleh menghubungi unit Pekhidmatan UMP melalui talian telefon atau menghantar teks pesanan ringkas melalui aplikasi Telegram Messenger untuk mendapatkan informasi yang berkaitan.

3. Mengapa saya perlu mendapatkan pengesahan Doktor Pakar bagi ubat tertentu bagi preskripsi discaj?
Setiap ubat list A* akan diperuntukkan bajet dan polisi tertentu oleh Jawatankuasa Terapeutik dan Ubat-Ubatan (JKTU). Oleh itu, cop pengesahan Pakar dari klinik tertentu diperlukan bagi mengawal pengeluaran ubat-ubatan list A* khasnya bagi preskripsi-preskripsi pesakit discaj.

4. Bolehkah saya mendapatkan baki bekalan ubat yang tidak dituntut sebelum ini?
Pesakit tidak boleh mendapatkan baki bekalan ubat yang tidak dituntut bagi mengelakkan dari berlakunya pengambilan ubat yang berganda (overdose) sekiranya pesakit mendapat bekalan ubat yang berlebihan. Ubat yang tidak diambil tidak akan dibekalkan semula dan pesakit dinasihatkan agar mengambil ubat-ubatan seperti yang telah dipreskrib oleh Pakar/Pegawai Perubatan dan tidak meninggalkan dos ubat tersebut.

5. Adakah preskripsi mempunyai tarikh luput?
Semua preskripsi yang dikeluarkan oleh hospital mempunyai tarikh luput. Bagi HCTM tarikh luput preskripsi adalah berdasarkan dari tarikh preskripsi dikeluarkan sehingga tempoh tarikh bekalan ubat yang dipreskrib oleh Pakar / Pegawai Perubatan. Contoh: tarikh preskripsi dikeluarkan adalah 25/3/2021 untuk 6 bulan. Maka tarikh luput preskripsi adalah 25/9/2021. Pesakit-pesakit dinasihatkan untuk menyemak tarikh temu janji dengan tempoh preskripsi agar bekalan ubat tidak terputus.

6. Bolehkah saya mendapat bekalan ubat sekiranya preskripsi sudah luput tarikh?
Pesakit tidak boleh menggunakan preskripsi yang luput tarikh untuk mengambil ubat di farmasi kerana ianya salah dari segi Akta Racun. Pesakit dikehendaki kembali ke klinik berkenaan dan memohon Pakar/Pegawai Perubatan untuk membuat preskripsi yang baru.

7. Bolehkah saya mendapatkan bekalan ubat dari hospital ini menggunakan preskripsi dari hospital/KlinikKesihatan lain?
Tidak boleh. Farmasi HCTM tidak menerima sebarang preskripsi dari Hospital/Klinik Kesihatan lain. Ini ialah kerana:
a. Peruntukan ubat-ubatan HCTM adalah dibawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan bukan dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
b. Polisi ubat-ubatan dari Hospital KKM adalah berbeza dari HCTM contohnya Tab Papase di Hospital KKM akan dibekalkan secara percuma tetapi di HCTM pesakit perlu membeli di Kedai Farmasi kerana ia berstatus Non-Formulary (tidak terdapat di dalam Formulari).

8. Bolehkah saya mendapatkan bekalan ubat menggunakan preskripsi HCTM dari fasiliti luar KKM (seperti contoh IJN, PPUM, HUSM)?
Tidak, kerana preskripsi HCTM tidak diterima oleh hospital luar KKM atau Hospital di bawah KKM. Preskripsi HCTM hanya boleh digunapakai di HCTM sahaja.

9. Bolehkah saya memohon bekalan ubat yang tidak terdapat dalam preskripsi saya?
Bekalan ubat hanya akan dibekalkan seperti yang terdapat di dalam preskripsi sahaja. Jika pesakit ingin memohon bekalan ubat yang tidak terdapat di dalam preskripsi, pesakit dikehendaki berjumpa semula dengan Pakar/Pegawai Perubatan untuk menambah ubat tersebut di dalam preskripsi atau di dalam sistem farmasi.

10. Bolehkah saya mendapat ubat tanpa perlu membawa preskripsi?
Tidak boleh. Preskripsi diperlukan setiap kali pesakit datang mengambil ubat di farmasi. Ini adalah kerana:
a. Preskripsi diperlukan untuk proses pengisian dan pendispensan ubat kepada pesakit kerana setiap pesakit mempunyai keperluan ubat yang berbeza.
b. Setiap kali pengambilan ubat ianya akan direkod atas preskripsi dan ini digunakan sebagai bukti penyerahan ubat kepada pesakit.
c. Untuk mengelakkan kesilapan dalam pemberian ubat kepada pesakit kerana terdapat pelbagai jenis ubat dengan kekuatan yang berbeza. Sekiranya berlaku perkara berbangkit, kakitangan farmasi dapat mengesan semula melalui preskripsi yang ada.
d. Bagi memudahkan Pakar/Pegawai Perubatan dan kakitangan farmasi untuk memeriksa rekod atau sejarah ubat pesakit yang terdahulu jika dimasukkan kedalam wad atau hospital lain.

11. Bolehkah saya mendapat bekalan ubat lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan oleh pihak farmasi?
Boleh sekiranya pesakit mempunyai alasan yang kukuh dan pesakit dikehendaki mendapat pengesahan dari Pegawai Farmasi terlebih dahulu.

12. Bagaimana caranya jika saya tidak berkesempatan untuk mengambil ubat semasa waktu bekerja?
Pesakit boleh mengambil ubat di Farmasi Pesakit Luar Utama selepas waktu pejabat dari pukul 5.00 petang sehingga jam 6.00 petang (Isnin hingga Jumaat). Pesakit tidak boleh untuk datang mengambil ubat di Farmasi Perubatan Kecemasan kerana Farmasi tersebut hanya menyimpan sebilangan jenis ubat sahaja. Pesakit juga digalakkan menggunakan perkhidmatan Panggil dan Ambil (PDA) dan Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) yang telah disediakan.

13. Perlukah saya membuat pembayaran ketika mengambil ubat?
Hanya pesakit yang berstatus berbayar sahaja perlu membuat bayaran terlebih dahulu ketika hendak mengambil ubat di farmasi HCTM. Pembayaran ubat adalah sebanyak RM40.00 untuk bekalan sebulan tanpa mengira jumlah bilangan ubat yang dibekalkan untuk ubat Formulary. Bagi ubat Non-Formulary pesakit dikehendaki membelinya di Kedai Farmasi.

1. Apa itu endoskopi?
Endoskopi ialah prosedur yang digunakan dalam perubatan untuk melihat bahagian dalam badan. Prosedur endoskopi menggunakan endoskop untuk memeriksa bahagian dalam organ atau rongga badan yang berongga. Tidak seperti kebanyakan teknik pengimejan perubatan lain, endoskop dimasukkan terus ke dalam organ.

2. Apa prosedur Endoskopi?

Terdapat banyak jenis prosedur endoskopi, di antaranya ialah:

  1. Ogds( esophagogastroduodenoscope)
  2. Kolonoskopi
  3. Sigmoidoskopi
  4. Ercp(Endoscopic retrograde cholangiopancreatography)
  5. Eus(Endoscopic ultrasound scope)
  6. Bronchoscopy

3. Bagaimana untuk mendapatkan rujukan ke Pusat Perkhidmatan Endoskopi, HCTM?
Pesakit perlu terlebih dahulu mendapatkan surat rujukan daripada klinik luar /Gp ke klinik surgeri atau klinik gastro bagi mendapatkan temujanji endoskopi setelah mendapatkan pengesyoran daripada doctor pakar.

1. Apakah yang dimaksudkan dengan caj ubat yang baharu?
Caj ubat baru adalah caj bersasar bagi pesakit Warganegara Malaysia dan Penduduk Tetap berdasarkan kos preskripsi bulanan ubatan formulari mengikut harga kos semasa ubat di HCTM. Caj baru ubat ini terpakai untuk preskripsi ubatan formulari HCTM yang dipreskrib bermula 15 November 2024 dan dibekalkan berdasarkan polisi semasa pembekalan ubat HCTM. Sebelum 15 November 2024, caj ubat di HCTM adalah secara berpakej iaitu pada kadar RM40 sebulan tanpa mengira kos dan kuantiti ubat yang dibekalkan.

Jadual berikut menunjukkan kadar caj bersasar baru berdasarkan harga kos semasa ubatan formulari HCTM:

Kos Ubat (RM) Caj Bulanan (RM)
0.01 – 50.00 40.00
50.01 – 500.00 50.00
500.01 – 1,000.00 100.00
>1,000.00 200.00

Contoh: Harga kos bagi satu (1) botol Ubat Titis Mata Brinzolamide untuk tempoh 2 minggu adalah RM61.50. Caj ubat yang dikenakan kepada pesakit adalah RM50.00 untuk tempoh rawatan tersebut.

2. Apakah caj lama ubat di HCTM?
Sebelum 15 November 2024, caj ubat di HCTM adalah secara berpakej iaitu RM40 sebulan tanpa mengira kos dan kuantiti ubat yang dibekalkan.

3. Mengapakah perubahan caj ubat HCTM ini berlaku?
i) Caj bersasar dilihat lebih adil dan telus mengikut jenis, kuantiti, dan harga kos ubat yang diterima oleh pesakit berbanding caj setara RM40 sebulan sebelum ini.
ii) Pesakit yang mendapat bekalan ubat dengan kos ubat yang lebih mahal dan kuantiti yang lebih banyak akan dikenakan caj bulanan ubat yang lebih mahal berbanding pesakit lain dengan maksima RM200/ bulan.
iii) Caj bersasar dapat menggalakkan pesakit mengambil ubat mengikut keperluan serta mengelakkan pembaziran.

4. Siapakah yang terlibat dengan caj ubat baharu ini?
Pesakit Warganegara Malaysia dan Penduduk Tetap dengan berstatus Bayar.

5. Bilakah tarikh kuatkuasa caj ubat baharu ini?
Caj ubat baharu ini berkuatkuasa untuk semua preskripsi yang dipreskrib mulai 15 November 2024 bagi pesakit luar HCTM KECUALI:
1) Jabatan Perubatan Kecemasan HCTM
2) Pusat Reproduktif Termaju (ARC)
3) Pusat Kemasukan Pesakit O&G/Patient Admission Centre (OGAC / PAC)
4) Discaj wad
5) Pusat Jagaan Harian berstatus pesakit dalam (Pusat Jagaan Harian Oftalmologi, Pusat Jagaan Harian Surgeri, serta Pusat Jagaan Harian TOV (Trial of Voiding)

* Semua preskripsi HCTM yang dipreskrib sebelum 15 November 2024 adalah menggunakan caj lama.

6. Apakah polisi pembekalan ubat di HCTM?
i) Ubat Formulari (F) yang boleh dibekalkan mengikut polisi HCTM, ubat akan dicaj dengan harga kos semasa ubat dan pesakit perlu membuat pembayaran sebelum ubat dibekalkan.
ii) Ubat Special Formulari (SF) atau ubat yang tidak dibekalkan berdasarkan polisi HCTM, pesakit boleh membelinya di Farmasi SF (jika terdapat stok).

7. Adakah semua ubat yang dipreskrib di HCTM akan terlibat dengan kadar caj ubat baharu ini?
Semua ubat Formulari (F) bagi Pesakit Luar yang dipreskrib Pakar/ Pegawai Perubatan HCTM mulai 15 November 2024 dikenakan caj bersasar; bergantung kepada kos preskripsi bulanan mengikut harga kos semasa ubat dan polisi pembekalan ubat HCTM.
Ubat Special Formulari (SF) dikecualikan daripada caj bersasar ini. Pesakit boleh membelinya di Farmasi SF dengan harga jualan (jika terdapat stok).

8. Bagaimanakah jika saya mahu membeli sendiri di farmasi swasta samada kesemua atau sebahagian ubatan Formulari yang dipreskrib oleh doktor HCTM?
Pesakit boleh memaklumkan Kaunter Bayaran Kewangan, dan pergi ke Farmasi untuk memaklumkan perkara ini supaya ubat terpilih sahaja diproses pembayaran.
Pesakit kemudian boleh mendapatkan preskripsi dari farmasi HCTM dan membeli sendiri ubat di luar atau fasiliti lain.

9. Apakah yang perlu saya lakukan jika saya mempunyai baki ubat di rumah dan ingin memaklumkan kuantiti yang saya perlu sahaja?
Pesakit perlu ke Farmasi di mana anda memperolehi ubat terlebih dahulu untuk memaklumkan perkara ini. Farmasi akan masukkan bilangan ubat yang diperlukan. Pesakit perlu membayar di Kaunter Kewangan yang terdekat seterusnya mengambil ubat dari Farmasi selepas itu.

10. Adakah saya boleh menuntut semula bayaran ubat (refund) jika saya tidak memerlukan ubat tersebut atau jika terdapat perubahan rawatan?
Permohonan tuntutan semula bayaran hanya boleh dilakukan pada hari yang sama selepas pembayaran dilakukan jika:-
i -Stok ubat yang dibekalkan Jabatan Farmasi HCTM belum digunakan lagi;
ii-Stok ubat berada dalam keadaan yang baik setelah diperiksa oleh Pegawai Farmasi atau Penolong Pegawai Farmasi HCTM;
iii-Stok ubat yang dibekalkan belum luput dan tidak rosak;
iv-Tuntutan sebahagian caj ubat (partial refund) tidak dibenarkan;
v-Tuntutan ubat pada keesokan hari tidak dibenarkan untuk kes preskripsi pesakit luar HCTM.

11. Apakah yang perlu saya lakukan jika ingin menuntut semula bayaran ubat yang telah disahkan untuk refund
i) Pesakit perlu membawa resit asal bersama Borang Arahan Pemulangan/Penambahan Wang Bagi Pembayaran Bekalan Ubat Dari Farmasi Pesakit yang telah disahkan oleh Pegawai Farmasi ke Kaunter Bayaran Kewangan di mana pesakit membuat bayaran.
ii) Refund tunai/ kad hanya boleh dikembalikan sekiranya kakitangan Kaunter Bayaran Kewangan belum menghantar kutipan harian untuk proses balancing.
iii) Sekiranya laporan kutipan harian telah dihantar atau kaunter telah ditutup, refund akan dilakukan melalui kaedah Electronic Fund Transfer (EFT) dalam tempoh yang ditetapkan dan dokumen perlu dikemukakan ke Kaunter Bayaran, Kemasukan dan Discaj Lobi Utama.

12. Jika saya ingin mendapatkan maklumat lanjut, apakah saluran yang boleh saya gunakan?
Sebarang kemusykilan berkenaan caj ubat bersasar ini, sila hubungi talian di bawah semasa waktu pejabat

A. Polisi Caj /Pembayaran /Refund/ Semakan Status percuma atau berbayar

– Kaunter Bayaran, Kemasukan dan Discaj, Lobi Utama HCTM: 03-9145 5237/ 5230/ 5232/ 7967
– Kaunter Bayaran Jabatan Perubatan Kecemasan HCTM (24 jam) : 03-9145 5529

B. Bekalan Ubatan/Preskripsi

– Masalah preskripsi : Rujuk unit Farmasi Bekalan Ubat Susulan
– Ubat Melalui Pos (UMP): UMP- 018-9682218 Telegram
– Panggil dan Ambil (PDA): PDA – 0189862218 Call, WhatsApp
– Kaunseling/Maklumat Ubat-ubatan: 03-91455400/5401/5415

Dikemaskini 15.11.24

Tarikh kemaskini: 24 Januari 2022