Sakit Sawan
Prof. Madya Dr. Shahrul Azmin bin Md. Rani
1. Boleh doktor terangkan latar belakang sakit sawan?
Sakit sawan merujuk kepada fenomena dimana terdapat cetusan elektrik yang melanda sel-sel otak dan meyebabkan gangguan kepada fungsi otak. Cetusan elektrik ini boleh menyebabkan gangguan kepada deria rasa, pergerakan, malah boleh meyebabkan pesakit tidak sedarkan diri. Sakit sawan yang berulang dipanggil epilepsi.
2. Bagaimana seseorang boleh diserang penyakit ini? Apakah punca seseorang boleh diserang?
Terdapat beberapa sebab mengapa seseorang boleh diserang sakit sawan. Untuk anak-anak kecil, demam yang berpanjangan dengan suhu badan yang amat tinggi boleh menyebabkan sawan demam (febrile fits). Sakit sawan juga boleh berpunca daripada jangkitan kuman didalam otak. Terdapat juga sakit sawan yang berpunca dari faktor genetik. Secara amnya, pesakit yang mengalami sakit sawan lebih cenderung untuk mendapat serangan jika kurang sihat, mangambil minuman yang mangandungi alkohol secara berlebihan atau mengalami masalah kurang tidur. Bagi pesakit epilepsi yang mengambil ubat epilepsi, adalah penting bagi pesakit untuk mengambil ubat pada dos dan masa yang disarankan oleh pihak doktor kerana ini akan mengurangkan kecendurangan untuk mendapat serangan sakit sawan.
3. Secara statistik, bagaimanakah peratusan penghidap penyakit ini di Malaysia mengikut umur, jantina, latar etnik serta profesion (jika ada)?
(Tiada data)
4. Apakah simptom awal bahawa seseorang itu terdedah kepada sakit ini?
Simptom awal yang sering dialami oleh seseorang yang terdedah kepada sakit ini ialah mudah keliru, mengalami kekejangan otot dan tidak sedarkan diri.
5. Jika diukur melalui skala 1 sehingga 10 (di mana 10 paling bahaya), pada skala berapakah bahayanya sakit ini? Nota: Soalan ini berkisar kepada tahap kesakitan yang dialami, serta potensi untuk individu diserang penyakit ini untuk maut.
Tahap bahaya serangan sakit sawan ini bergantung kepada beberapa faktor. Faktor yang paling penting adalah jangkamasa serangan sawan tersebut. Lebih lama serangan sawan berlaku, lebih merbahaya. Ini kerana semasa serangan sawan, kadang-kala sistem pernafasan juga akan terganggu disebabakan kekejangan otot-otot yang membantu sistem pernafasan. Secara amnya, serangan sawan yang berlarutan lebih dari 30 minit memerlukan rawatan di Wad Rawatan Rapi (ICU). Selain daripada itu, bahaya serangan sawan bergantung kepada situasi pesakit semasa serangan berlaku. Sebagai contoh, sekiranya serangan sawan berlaku semasa berenang, ini akan mendatangkan bahaya yang amat besar kerana risiko lemas. Sekiranya serangan sawan berlaku ketika memandu, ini boleh menyebabkan kemalangan yang boleh membawa maut, bukan sahaja kepada pesakit sawan itu sendiri, malah kepada semua individu ynag terlibat didalam kemalangan.
6. Bilakah waktu yang tepat untuk individu yang disyaki diserang sakit ini untuk bertemu doktor atau pengamal perubatan?
Jikalau individu mengalami gejala yang disyaki berpunca dari sawan, adalah digalakkan untuk mendapat nasihat doktor secepat mungkin. Ini untuk membolehkan siasatan lanjut dan rawatan yang sepatutnya dapat dijalankan.
7. Apakah kaedah rawatan konvensional yang boleh memulihkan penyakit ini?
Kaedah rawatan secara amnya bergantung kepada punca seseorang itu mengalami sakit sawan. Seperti contoh diatas, jikalau sakit sawan adalah disebabkan demam panas, rawatan adalah dengan menurunkan suhu pesakit tersebut. Jika peskait mengalami sawan disebabkan jangkitan kuman didalam otak, rawatan untuk pesakit tersebut adalah mengambil ubat yang boleh menghapuskan jangkitan tersebut. Untuk epilepsi (sawan yang berulang), ubat epilepsi adalah kaedah rawatan ynag digunakan untuk mengurangkan risiko mendapat serangan epilepsi.
8. Apakah tips kepada masyarakat untuk pastikan mereka bebas dari penyakit ini?
Pada pesakit pesakit epilepsi, tips yang paling penting adalah untuk memastikan pengambilan ubat ubatan mengikut nasihat doktor. Selain dari itu, pesakit perlu mengelak dari melakukan aktiviti yang boleh menyebabkan serangan epilepsi berlaku denagn lebih senang seperti memastikan tidur yang cukup dan mengelak dari mengambil minuman alkohol secara berlebihan.
