Sakit Kepala

1 Dis 2021 Artikel

“Ada masa tertentu, terutama jika saya terlalu penat dengan urusan harian, pada waktu malam saya akan dikejutkan dengan sakit kepala yang sangat teruk. Ia terlalu menyakitkan, sampai ada kalanya saya menangis. Apa yang saya perasan, sakit kepala ini tidak hilang hanya dengan memakan paracetamol,” kata Puan Alizawati Nasrul, 34 kepada Utusan Malaysia.

Simptom sakit kepala dialami Puan Alizawati itu, menurut laporan Sekolah Perubatan Harvard berjudul “Headache: When To Worry, What To Do”, adalah satu daripada pelbagai jenis sakit kepala berbeza yang sering melanda ramai orang. Kata laporan itu lagi, sehingga kini, para doktor masih belum benar-benar faham punca sebenar sakit kepala yang berbeza jenisnya itu. Dianggarkan terdapat lebih 300 jenis sakit kepala, namun hanya 10 peratus daripada keseluruhan sakit itu yang berjaya dikenal pasti puncanya oleh pakar perubatan seluruh dunia.

 

SIMPTOM DAN JENIS SAKIT KEPALA

Pakar Perunding Neurologi, Prof. Madya Dr. Rabani Bt Remli dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, secara umumnya, sakit kepala – termasuk yang dialami Puan Alizawati – dikesan apabila apabila seseorang mengalami simptom sakit yang berdenyut secara berterusan atau sekejap-sekejap di bahagian kepala. Lokasi serangan sakit itu mungkin di satu bahagian muka atau tengkorak, atau boleh juga melibatkan seluruh bahagian kepala.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Dr. Rabani berkata, ada dua jenis sakit kepala yang sering dilaporkan iaitu primer dan sekunder. Sakit kepala jenis primer merujuk kepada kesakitan yang berpunca dari ketidakseimbangan atau masalah ransangan saraf yang mengesan rasa sakit di kepala. Jenis kedua pula ialah sakit kepala sekunder, iaitu sakit kepala yang diakibatkan oleh sakit di bahagian lain, yang kemudian melarat sehingga meninggalkan rasa sakit di bahagian kepala.

“Sebagai contoh, sakit kepala sinus – iaitu rongga dalam tulang tengkorak yang bersambung dengan hidung – dianggap sebagai sakit kepala sekunder kerana peningkatan tekanan atau jangkitan pada sinus,” katanya.

 

MIGRAIN

Dalam konteks sakit kepala jenis primer, tiga sub kategori penyakit jenis ini yang sering dilaporkan ialah migrain, tekanan dan sakit kepala jenis kelompok. Sakit kepala jenis migrain, kata Dr. Rabani adalah jenis yang paling kerap dihidapi oleh masyarakat di seluruh dunia, menjangkiti satu daripada tujuh orang iaitu kira-kira 14.7 peratus. Di peringkat global juga, migrain adalah penyebab utama punca kehilangan upaya pada kumpulan usia di bawah 50 tahun, diikuti dengan sakit belakang dan diabetes.

“Migrain berasal dari perkataan Latin iaitu “hemicrania” yang bermaksud “separuh” (hemi) “tengkorak” (crania). Sakit kepala jenis ini seringkali dikaitkan dengan sakit kepala yang kronik dan paling kerap dihidapi oleh masyarakat seluruh dunia. Migrain adalah sakit kepala yang kuat dan kebiasaannya pesakit akan mengalaminya pada sebelah bahagian kepala, sama ada kiri atau kanan. Pesakit migrain sering merasa mual, muntah, dan sensitif terhadap cahaya dan bunyi. Pesakit juga cenderung mengasingkan diri dalam bilik yang gelap dan sunyi bagi mengurangkan rasa tidak selesa ketika mengalami serangan,” katanya.

Boleh berlanjutan sehingga berhari-hari, kebiasaanya sakit jenis ini akan menyerang dalam tempoh sekitar empat sehingga 72 jam. Dalam kes tertentu, pesakit migrain mempunyai petanda bahawa sakit ini akan menyerang, dan ini dikenali sebagai “aura”. Sekolah Perubatan Harvard merujuk “aura” ini sebagai petanda, dan antara petanda yang menyusul sebelum migrain termasuklah mengalami perubahan mood dan kabur penglihatan. Sejurus itu mereka akan mula merasakan sakit di sebelah kawasan kepala, ada yang bermula di belakang kepala, tepi dahi atau mata,” katanya. Setiap pesakit migrain mempunyai pencetus “trigger” yang berbeza. Antara pencetus “trigger” migrain adalah perubahan cuaca, keletihan melampau, emosi yang tertekan, tidak cukup tidur serta perubahan diet harian (tidak mengambil makanan mengikut jadual, pengambilan coklat dsb.)

Mengulas lanjut mengenai migrain, Dr. Rabani berkata bahawa sakit kepala jenis ini adalah serius kerana berupaya mengganggu dan mengurangkan kualiti hidup penghidapnya, malah berpotensi mewujudkan persepsi dalam kalangan masyarakat lantaran kesakitan yang tidak boleh dikesan.

“Serangan migrain boleh berlarutan sehingga 72 jam dan ini pastinya akan menggangu aktiviti seharian dan mengurangkan kualiti hidup setiap pengidap migrain. Ianya adalah penyakit yang tidak kelihatan, dan hanya individu yang mengalami migrain Sahaja tahu bahawa betapa migrain mengubah kehidupan normal mereka. Pesakit migrain mengalami beberapa peringkat berbeza. Pada permulaan, pesakit boleh mengalami perubahan mood dan kabur penglihatan. Sejurus itu mereka akan mula merasakan sakit di sebelah kawasan kepala, ada yang bermula di belakang kepala, tepi dahi atau mata,” katanya.

 

SAKIT KEPALA JENIS TEKANAN (TENSION HEADACHE)

Sakit kepala dalam kategori tekanan pula (tensiopn headache) merujuk kepada kesakitan yang dialami di kawasan dahi dan keliling kepala. Dalam banyak kes, penghidap menggambarkan seperti ada getah atau tali melilit kawasan keliling kepala. Pesakit biasanya merasakan tekanan yang kuat di kawasan kepala, yang berlangsung dari 30 minit hingga tujuh hari. Kata Dr. Rabani, kesakitan jenis ini secara umumnya bersifat ringan hingga sederhana, dengan skala kesakitan yang tidak terlalu teruk. Biasanya, penghidap sakit kepala jenis tekanan masih boleh meneruskan aktiviti harian mereka yang normal

“Sakit kepala jenis tekanan ini tidak disertai dengan loya atau muntah seperti penghidap migrain, sebaliknya mungkin disusuli dengan peningkatan rasa peka terhadap cahaya atau suara. Hal ini biasanya dikaitkan dengan kelembutan otot perikranial (kepala dan leher),” katanya.

 

SAKIT KEPALA KELOMPOK

Sementara itu, sakit kepala lain yang turut menyerang ialah jenis kelompok (cluster headache). American Migraine Foundation dalam laporan berjudul “Understanding Cluster Headache” menyifatkan sakit jenis ini sebagai yang paling menyakitkan, malah menjelaskan bahawa kebanyakan pesakit jenis ini menyifatkannya sebagai “sakit kepala paling sakit antara yang lain, seperti terbakar di bahagian kepala dan ada kalanya seperti ingin mati”.

Seorang doktor dari Universiti Dartmouth di Amerika Syarikat, Dr. Deborah E. Tepper dalam satu kenyataan dipetik berkata bahawa “tahap kesakitan dialami pesakit kepala jenis kelompok adalah sepuluh per sepuluh. Jika penghidap migrain mengurangkan rasa sakit dengan menyendiri dalam bilik yang gelap dan tenang, penghidap sakit kepala kelompok pula ada kalanya terpaksa menghempas kepala ke dinding untuk mengurangkan rasa sakit. Mereka tidak berpeluang untuk baring dan bertenang”.

Kenyataan itu turut disokong oleh Dr. Rabani dari UKM, malah beliau berkata bahawa individu yang diserang sakit jenis ini kebiasaanya akan mengalami gejala mata berair dan merah, hidung tersumbat, anak mata mengecil dan kelopak mata menjadi kuyu.

“Perbezaan individu yang menderita migrain cenderung berbaring di ruangan yang gelap dan sunyi, sementara mereka yang sakit kepala kelompok akan kelihatan gelisah dan bergerak-gerak bahkan ada yang memukul kepala untuk mengalihkan perhatian mereka dari kesakitan,” katanya.

 

RAWATAN DAN PENCEGAHAN

Secara umumnya semua jenis sakit kepala boleh dirawat dengan menggunakan ubatan dan pengubahsuaian cara hidup. Dalam konteks penghidap migrain, Dr. Rabani menyarankan agar pesakit mendapatkan nasihat perubatan dari pakar neurologi (sistem saraf) terlebih dahulu sebelum bertindak mengambil sebarang ubatan. Katanya, walaupun kini terdapat ubatan terkini yang boleh digunakan untuk mengurangkan dan mencegah serangan, namun penting untuk pesakit mendapatkan nasihat perubatan dari pakar terlebih dahulu.

“Kerap kali pakar neurologi mendapati pesakit membeli ubat serangan migrain dengan sendiri dan mengambilnya hampir setiap hari. Ini meningkatkan risiko mengalami sakit kepala kerana pergantungan kepada ubatan, kerana sakit kepala biasanya tidak akan pulih hanya dengan mengambil ubat tahan sakit tanpa menerima rawatan pencegahan pada masa yang sama,” katanya.

Selain itu, khusus bagi pesakit migrain, pengubahsuaian cara hidup juga amat penting bagi mengurangkan serangan sakit kepala. Ini termasuk mengurangkan pengambilan kafein yang berlebihan, coklat,keju dan makanan yang mengadungi kandungan Monosodium glutamate yang tinggi. Mereka juga disarankan mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam, tidur yang cukup dan pengurusan tekanan yang baik.

Mengakhiri perbualan, Dr. Rabani meninggalkan tips kepada pesakit untuk mengurangkan kesakitan secara sementara. Ini termasuklah minum air yang mencukupi, menggunakan aromaterapi serta menyenaraikan makanan yang menjadi pencetus serangan, seterusnya mengelakkan pengambilannya ketika dan selepas serangan sakit kepala.

Search

+