Perhimpunan Kakitangan HCTM Bil.4/2021
CHERAS, 23 Disember 2021 – Perhimpunan Kakitangan HCTM Bil.4/2021 telah diadakan secara hybrid pada pagi tadi di Auditorium HCTM dan disiarkan secara langsung di YouTube HCTM TV dan Facebook HCTM. Perhimpunan ini merupakan perhimpunan yang terakhir pada tahun 2021 dan seperti kebiasaan, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM menyampaikan ucapan beliau dengan berkongsi intipati yang penting, antaranya pelantikan YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abdul Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia menggantikan YBhg. Tan Sri Abdul Wahid Omar, pelantikan YBhg. Dato’ Dr. Syed Kamarudin Sadakkuthulla untuk menjalankan tugas sebagai Pendaftar Universiti Kebangsaan Malaysia, pelantikan YBsh. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan sebagai Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) HCTM yang baharu dan pelantikan Puan Masrifah Zakaria untuk menjalankan tugas Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, HCTM.
Beliau juga turut memaklumkan HCTM akan mencecah usia 25 tahun pada tahun depan dan perancangan sambutan Jubli Perak sedang giat dijalankan. Tidak lupa juga ucapan takziah juga turut disampaikan kepada warga Kampus Kuala Lumpur khususnya warga HCTM yang terjejas akibat banjir. Difahamkan 141 orang warga Kampus Kuala Lumpur terkesan dengan musibah ini dan Bantuan Pasca Banjir Kampus Kuala Lumpur UKM telah diaktifkan dan digerakkan sejak Isnin lepas. Ucapan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada para sukarelawan kakitangan yang membantu dalam misi bantuan pasca banjir. Bantuan kewangan daripada Tabung Ehsan Warga akan digunakan untuk meringankan beban kakitangan yang terkesan.
Perkembangan prestasi pengurusan turut dibentangkan dalam perhimpunan ini agar warga HCTM sentiasa cakna dan peka akan perkembangan prasarana yang sedang dijalankan dan akan dijalankan. Antara projek yang diusahakan ialah projek penggantian infrastruktur usang, projek penggantian peralatan perubatan, projek naik taraf jabatan perubatan, dan projek penggantian peralatan perubatan usang Dewan Bedah, Dewan Bersalin & Radiologi. Selesai berucap dalam majlis, acara diteruskan dengan penyempurnaan pelancaran Dasar Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Pekerjaan yang pertama, selaras dengan keperluan MSQH. Majlis perhimpunan menutup tirai pada jam 10.00 pagi selepas sesi bergambar.







