Pelancaran Program Tinjauan Kepuasan Pelanggan HCTM 2021
Cheras, 21 Oktober 2021 – Program Tinjauan Kepuasan Pelanggan HCTM 2021 anjuran Jabatan Kualiti telah dilancarkan di Lobi Utama, HCTM bertujuan untuk mendapatkan maklum balas secara menyeluruh terhadap perkhidmatan perawatan di HCTM dalam skop komunikasi. Program diadakan secara ringkas tetapi bermakna dengan pembukaan booth di Lobi Utama dan pengedaran risalah dan memberi penerangan program kepada pesakit dan pelawat yang hadir.
Pesakit, pelawat, dan waris pesakit yang pernah mendapatkan perkhidmatan perubatan di HCTM boleh mengisi borang tinjauan atas talian dengan mengimbas kod QR pada risalah atau banting promosi di Lobi Utama. Borang yang lengkap diisi boleh digunakan untuk menebus baucar potongan harga sebanyak 10% di Kaunter Khidmat Pelanggan. Potongan harga 10% boleh digunakan di kedai-kedai runcit HCTM terpilih. Sebagai tanda sokongan akan program yang diadakan, CoffeeBot dan Gloria Jean’s Coffee turut bersama-sama dalam program yang diadakan dan memberikan kupon minuman dan token percuma kepada pelawat dan pesakit yang telah mengisi borang tinjauan dengan lengkap.
Program telah dilancarkan oleh YBhg. Prof. Dato’ YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM. Turut hadir memberikan sokongan, Prof. Madya Dr. Hanita Othman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi Dan Sokongan), Puan Foziah Hanon Ahmad, Ketua Jabatan Kualiti dan Puan Aliza Mansor, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan.




