Lalat Pembawa Penyakit

30 Nov 2021 Artikel 1

Tema : Kesihatan
Penulis : Dr. Syamsa Rizal Abdullah
Ketua Jabatan / Pensyarah
Jabatan Parasitologi & Entomologi, Fakulti Perubatan UKM

 

Lalat Pembawa Penyakit

Semua orang mengenali lalat sebagai serangga yang sinonim dengan kekotoran dan sering kali mengganggu keselesaan. Namun begitu, tidak ramai yang sedar akan bahaya yang mampu dibawa oleh serangga kecil ini. Daripada aspek kesihatan, lalat dikenali sebagai vektor atau pembawa penyakit kerana berpotensi membawa kuman seperti virus, bakteria dan parasit. Antara penyakit bawaan lalat yang utama kepada manusia adalah seperti kolera, demam kepialu (tifoid) serta jangkitan cacing seperti cacing gelang, cacing cambuk dan cacing pita. Simptom-simptom awal adalah seperti sakit perut, muntah, cirit-birit dan najis berdarah yang boleh membawa kepada komplikasi lebih serius seperti kekurangan zat, anaemia (kekurangan darah merah) dan tumbesaran terbantut terutamanya di kalangan kanak-kanak. Justeru, adalah amat penting untuk kita sama-sama sedar dan berusaha melindungi diri dan keluarga daripada dijangkiti penyakit berbahaya tersebut. 

 

1. Apakah lalat?

Lalat adalah serangga kecil yang mempunyai sayap dan mampu terbang dengan pantas. Ia sangat sensitif kepada pergerakan, justeru amat sukar ditangkap tanpa menggunakan alatan khas. Lalat mempunyai deria hidu yang tajam. Ia mampu bertelur dalam jumlah yang banyak. Kitar hidupnya pendek iaitu kira-kira 20 hingga 30 hari dengan empat peringkat perkembangan bermula dengan telur, berengga, pupa dan lalat dewasa. Terdapat puluhan ribu spesies lalat di dunia, tetapi hanya sebahagian kecil yang berbahaya kepada manusia. Spesies yang biasa dijumpai di kawasan kediaman manusia adalah lalat rumah atau nama saintifiknya Musca domestica. Ia mempunyai mata berwarna merah dan badan berwarna kelabu. Terdapat empat jalur hitam pada bahagian atas dadanya yang memudahkan pengenalpastian spesies.

 

2. Kenapa lalat bahaya?

Lalat adalah serangga berbahaya kerana ia suka hinggap dan membiak di tempat kotor dan busuk seperti longkang tersumbat, timbunan sampah, najis dan bangkai haiwan. Akibatnya, kuman seperti virus, bakteria atau parasit yang berada pada najis atau tempat kotor tersebut akan menempel pada kaki atau bulu-bulu halus pada badan lalat. Apabila hinggap pada makanan yang terdedah, kuman-kuman ini akan dipindahkan ke makanan tersebut dan menyebabkannya tercemar. Apabila seseorang termakan makanan yang telah tercemar dengan kuman, maka kuman akan masuk ke dalam sistem penghadaman. Kuman yang berkembang dalam badan akan  menyebabkan masalah kesihatan seperti sakit perut, muntah, demam, cirit-birit dan najis berdarah. Masalah kesihatan lain yang boleh berlaku terutama kepada kanak-kanak adalah seperti kekurangan zat, anaemia (kekurangan darah merah) dan tumbesaran terbantut. Antara penyakit bawaan lalat adalah seperti kolera, demam kepialu (tifoid) dan jangkitan cacing seperti cacing cambuk, cacing gelang dan cacing pita.

 

3. Bagaimana menghindari penyakit bawaan lalat?

Prihatin terhadap persekitaran dalam dan luar rumah adalah kunci utama untuk mencegah diri anda dan keluarga daripada dijangkiti penyakit bawaan lalat. Di bawah adalah langkah-langkah mudah yang boleh diikuti:

  1. Tutup makanan dengan menggunakan tudung saji. Bau makanan yang kuat boleh menarik lalat masuk ke dalam rumah.
  2. Buang makanan sekiranya terdapat telur lalat padanya. Kehadiran telur lalat menunjukkan lalat telah hinggap pada makanan.
  3. Jangan biarkan sisa makanan ditinggalkan pada pinggan atau dalam singki.
  4. Pastikan sisa makanan dan sampah di buang dalam tong sampah yang bertutup rapi.
  5. Boleh menggunakan perangkap lalat atau alat pembunuh lalat elektrik untuk mengurangkan jumlah lalat di rumah.
  6. Gunakan pelindung jaring pada tingkap untuk mengelakkan kemasukan lalat.
  7. Pastikan kawasan keliling rumah bersih daripada kotoran yang menjadi tempat pembiakan lalat. 
  8. Bersihkan najis haiwan peliharaan dengan segera.
  9. Elakkan makan di restoran yang tidak bersih dan menyajikan makanan yang terdedah.

 

 

Tahukah Anda?

  • Lalat betina mampu bertelur sehingga 600 biji sepanjang hayatnya.
  • Lalat rumah mampu terbang lebih 30 kilometer untuk mencari makanan.
  • Lalat tidak mempunyai gigi, tetapi mempunyai belalai (probosis) untuk menyedut cairan makanan.
  • Lalat mempunyai sepasang mata kompaun dengan setiap satunya mempunyai ribuan lensa kecil.
  • Terdapat lebih 100 patogen direkodkan daripada lalat rumah dengan 65 daripadanya boleh ditularkan kepada manusia.

1 Comment

  1. 9E from heavy well translated fractions four or more ribosomes, respectively priligy equivalent

Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.

Search

+