Kenali ‘teman tidur’ anda

30 Nov 2021 Artikel

 

Apa Itu pepijat?

Pepijat adalah antara serangga yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia. Infestasinya biasa berlaku di rumah kediaman, hotel, asrama, sekolah dan tempat perlindungan. Ia juga boleh ditemui di pusat jagaan, hospital, perpustakaan mahupun di dalam pengangkutan awam. Dengan kata lain, di mana ada manusia, di situ jugalah pepijat boleh ditemui.

Secara biologinya, pepijat merupakan serangga kecil penghisap darah yang berasal daripada genus Cimex. Terdapat dua spesies pepijat utama yang biasa menginfestasi manusia iaitu Cimex hemipterus dan Cimex lectularius. Walau bagaimanapun, hanya Cimex hemipterus yang biasanya ditemui di Malaysia yang beriklim tropika, manakala Cimex lectularius pula cenderung mendiami negara beriklim sederhana. 

Pepijat dewasa berukuran 4-7 mm panjang dan berwarna coklat kemerahan seolah-olah warna biji epal. Ia berbentuk bujur dan leper yang memudahkan mereka bersembunyi di dalam rekahan dan celah pada perabot, tilam dan dinding. Ia tidak mempunyai sayap dan tidak melompat, tetapi bergerak secara merangkak perlahan pada lantai, dinding, siling dan permukaan lain. 

 

Apakah kesan gigitan pepijat?

Pepijat bersifat nokturnal iaitu aktif menggigit dan menghisap darah manusia ketika tidur pada waktu malam. Kedua-dua pepijat jantan dan betina adalah penghisap darah tegar. Mereka menghisap darah dengan menusuk permukaan kulit menggunakan struktur seperti paruh yang memanjang. Bendalir liur pepijat mempunyai kesan pelali yang menyebabkan gigitannya tidak menyakitkan dan kesan gigitan hanya disedari beberapa jam selepas gigitan. Kebiasaannya, pepijat memerlukan masa antara 3 hingga 12 minit setiap kali menghisap darah. Kawasan yang biasa menjadi sasaran pepijat adalah permukaan kulit yang tidak dilitupi pakaian seperti pada bahagian muka, leher, tangan, belakang badan, kaki dan betis. 

Kerap kali gigitan pepijat dianggap sebagai gigitan serangga lain seperti nyamuk ataupun pinjal. Ini mengakibatkan infestasi pepijat pada sesuatu kawasan hanya disedari apabila infestasi berada pada tahap yang serius. Secara spesifiknya, gigitan pepijat akan menyebabkan kemunculan lesi kemerahan berukuran lebih kurang 5 hingga 20 mm berserta gelembung air di bahagian tengah. Tidak seperti nyamuk yang gigitannya tiada corak tertentu, kesan gigitan pepijat pula kebiasaannya hadir secara berturutan dalam garis lurus ataupun melengkung.

Setakat hari ini, belum dapat dibuktikan bahawa pepijat boleh menularkan sebarang penyakit kepada manusia. Walau bagaimanapun, bagi individu yang sensitif, gigitan pepijat mampu mengakibatkan kegatalan dan alahan yang teruk. Gangguan pepijat secara berterusan akan menjejaskan kualiti hidup dengan mengakibatkan ketidakselesaan dan gangguan tidur yang serius. Ini secara tidak langsung akan memberikan kesan negatif kepada psikologi dan menjejaskan kesihatan emosi individu yang terlibat.

 

Bagaimana mengenalpasti infestasi pepijat?

Pepijat merupakan ‘pengembara’ yang cekap dan ini dilakukan dengan ‘menumpang’ pada bagasi, pakaian atau perabot yang dipindahkan daripada satu tempat ke tempat lain. Bagi sesuatu bangunan yang telah diinfestasi pepijat, pepijat mampu bergerak dari satu bilik ke bilik lain, malahan dari satu tingkat ke tingkat lain menerusi rekahan dan celahan yang terdapat pada lantai, dinding dan siling.

Pepijat tidak mempunyai sarang seperti semut ataupun lebah tetapi cenderung untuk berkumpul di tempat persembunyian seperti pada tilam, kotak simpanan, rangka katil, perabot dan celahan dinding. Tempat yang paling disukai adalah tempat di mana manusia berehat dan tidur seperti pada katil dan sofa. Kebiasaannya, kawasan yang diinfestasi pepijat akan ditandai dengan kesan kehitaman yang merupakan hasil kumuh pepijat yang telah mengering. Kehadiran telur dan kelongsong nimfa juga boleh dikesan menandakan berlakunya infestasi aktif di sesuatu kawasan. Selain itu, kehadiran kesan darah kering pada cadar atau tilam pada pagi hari juga boleh menjadi petunjuk berlakunya gigitan pepijat pada malam hari. Bau yang kurang menyenangkan juga boleh muncul bagi ruang atau premis yang mengalami infestasi yang teruk.

 

Bagaimana menghindari dan membasmi infestasi pepijat?

Menghindari dan membasmi pepijat adalah sesuatu yang sangat mencabar memandangkan pepijat mampu berhabitat pada banyak kawasan di dalam rumah. Langkah-langkah berikut boleh diambil bagi menghindari dan membasmi pepijat:

  1. Memastikan barang-barang dan perabot yang dibawa masuk ke rumah (terutamanya perabot terpakai) bebas daripada infestasi pepijat.
  2. Memeriksa secara teliti tempat persembunyian pepijat termasuk mengasingkan cadar dan tilam daripada kerangka katil.
  3. Lakukan pembersihan menggunakan vakum secara berterusan dan masukkan isi kandungan beg vakum ke dalam beg plastik yang bertutup sebelum dibuang.
  4. Membasmi tempat persembunyian pepijat dengan menampal dan membaiki rekahan pada dinding, perabot dan sebagainya.
  5. Pakaian dan cadar yang diinfestasi pepijat perlu dibasuh dengan air panas sekurang-kurangnya pada suhu 60oC bagi membunuh pepijat.
  6. Racun serangga yang bersesuaian perlu digunakan untuk merawat kawasan yang diinfestasi pepijat. Rawatan ulangan dan khidmat syarikat kawalan serangga perosak adalah perlu terutamanya bagi kediaman yang mengalami infestasi yang teruk.

Rupa bentuk pepijat jantan (kiri) dan pepijat betina (kanan) di bawah pembesaran menggunakan mikroskop
Gambar daripada koleksi Jabatan Parasitologi & Entomologi Perubatan UKM

Model pepijat untuk tujuan pameran dan pengajaran
Gambar daripada koleksi Jabatan Parasitologi & Entomologi Perubatan UKM

Search

+