Program Kemasyarakatan Kesihatan Di Kuala Klawang Negeri Sembilan, JPKK Tembun Binjai & JPKK Kemin
Pembuka tirai 2026 telah dimeriahkan dengan sebuah program komuniti yang telah dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan anjuran bersama Jabatan Perubatan Keluarga dan Sekretariat Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Januari 2026 yang melibatkan komuniti Kampung Kemin dan Kampung Binjai/Tembun, Kuala Klawang, Negeri Sembilan. Program ini bertujuan untuk melibatkan mahasiswa dan mahasiswi UKM dalam aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk kampung di Kuala Klawang. Melalui penganjuran aktiviti ini, hubungan antara mahasiswa dan penduduk setempat dapat dieratkan melalui interaksi secara langsung serta pelaksanaan aktiviti yang memberi manfaat bersama. Program ini juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk memahami keperluan masyarakat setempat, memupuk semangat kesukarelawanan, serta meningkatkan rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan generasi muda.
Majlis perasmian program telah berlangsung pada 9 Januari 2026 di Masjid Kariah Bunga Tanjung dan telah disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Dato’ Mendika Mentiri Akhirulzaman Dato’ Haji Maarof bin Haji Mat Arshad, Undang Luak Jelebu Ke-16. Antara pengisian utama program termasuk aktiviti Keluarga Angkat Mahasiswa, Kelestarian Komuniti, Jejak Alam & Insan melalui lawatan ke Perkampungan Orang Asli Ulu Kemin, serta Majlis Tautan Rasa bersama masyarakat setempat.
Penglibatan Jabatan Perubatan Keluarga UKM adalah dalam Program Saringan Kesihatan yang diadakan pada 10 Januari 2026 dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di Rumah Pengerusi JPKK Binjai/Tembun. Program ini melibatkan seramai 33 orang kakitangan Jabatan Perubatan Keluarga UKM/HCTM dengan sokongan 25 orang mahasiswa dan mahasiswi PERMANIS UKM. Aktiviti dimulakan dengan sesi senamrobik dan brisk walking sejauh 2 kilometer bersama komuniti sebelum saringan kesihatan dijalankan. Saringan kesihatan yang dilaksanakan adalah berdasarkan adaptasi WHO Integrated Care for Older People (ICOPE) Edisi Kedua, merangkumi pemeriksaan tekanan darah, penilaian penglihatan, konsultasi doktor, penilaian mobiliti serta pengukuran berat badan, ketinggian dan Indeks Jisim Badan (BMI). Program ini bertujuan mengenal pasti risiko kesihatan awal dan menyokong penjagaan kesihatan bersepadu dalam kalangan komuniti, khususnya warga emas.
Program saringan kesihatan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti setempat. Selain itu, aktiviti lawatan rumah (home visit) turut dijalankan ke empat buah kediaman bagi menyantuni warga emas serta penduduk yang uzur atau terlantar. Program berakhir dengan jayanya hasil kerjasama erat antara Fakulti Perubatan UKM, PERMANIS UKM, serta JPKK Kampung Kemin dan Binjai/Tembun. Pihak fakulti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jemputan serta sokongan semua pihak dalam menjayakan program khidmat komuniti ini.




