Saringan kesihatan bersempena Majlis Perasmian Hari Kesedaran Kanser
Hari Kanser Sedunia yang disambut pada 4 Februari setiap tahun bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap barah dan menggalakkan pencegahan, saringan dan rawatannya. Sehubungan dengan itu, Klinik Primer HCTM dan Jabatan Perubatan Keluarga telah bekerjasama dengan Unit Gastroenterologi HCTM (penganjur utama) dan HEJIM Fakulti Perubatan UKM mengadakan saringan kesihatan bersepadu di UMH Clinic, KOMUNE LIVING AND WELLNESS pada 4 Februari 2024. Aktiviti ini diadakan sempena Majlis Perasmian Hari Kesedaran Kanser yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia.
Tujuan utama program saringan ini adalah untuk mengenalpasti pelanggan yang mempunyai faktor risiko terhadap kanser hati seperti penyakit hepatitis B atau C, hati berlemak, dan penyakit metabolik. Program ini juga mendapat kerjasama daripada pihak Jabatan Radiologi yang membuat pemeriksaan ultrasound hati , pihak rakan niaga yang menawarkan pemeriksaan Fibroscan, pihak pegawai dietetik yang membuat kaunseling pemakanan, dan pihak MAKNA yang membuat pemeriksaan mammogram, IFOBT dan pemeriksaan klinikal payudara. Sepanjang program ini, seramai 200 orang lien telah disaring dan diberikan konsultasi kesihatan.





