GAGAP DI KALANGAN KANAK-KANAK

30 Nov 2021 Artikel
Pensyarah / Pakar Otorinolaringologi
KONSULTAN TELINGA, HIDUNG & TEKAK (ENT)
PUSAT PERUBATAN UKM

 

PENYAKIT GAGAP DI KALANGAN KANAK-KANAK

1. Boleh doktor terangkan latar belakang penyakit ini?

Gagap atau ‘stuttering’ merujuk kepada permasalahan komunikasi yang lancar. Secara harfiahnya, tidak wujud seseorang yang boleh berkomunikasi lancar tanpa satu cela dalam menyempurnakan ayat ketika bertutur. Cuba anda perhatikan, adalah biasa untuk mendengar seseorang menyelitkan suku kata seperti “umm” atau “err” dalam pertuturan harian. Ini membentuk satu bentuk ayat pertuturan yang tidak lancar. Di kalangan kanak-kanak berusia bawah 5 tahun, “developmental stuttering” atau gagap ketika proses perkembangan bahasa adalah normal disebabkan pendedahan pada kemahiran baru. 60-70% penghidap gagap dapat bertutur lancar apabila mencapai usia remaja, 80% hilang gagap apabila dewasa. Walaubagaimanapun, jika kelancaran pertuturan terus terganggu oleh sebutan yang berulang-ulang, tersekat-sekat atau panjang harakahnya, adalah penting untuk mendapatkan perhatian pakar. Masalah gagap boleh muncul setiap kali seseorang bertutur atau hanya pada waktu dan sebutan tertentu. Ia merupakan masalah yang signifikan bukan sahaja kepada penghidap juga pendengar.

2. Dari sudut sejarah, bilakah penyakit ini pertama kali dikesan ke atas manusia?

Terdapat laporan di mana masalah gagap dikenalpasti seawal abad ke-10. Pada zaman purba Egypt, penemuan dalam bentuk hieroglif yang diterjemahkan kepada kata nama ‘nitit’ dan ‘ketket’yang membawa maksud penyampaian yang sering berulang atau berterusan. Pengkarya Greek purba juga menterjemahkan masalah gagap ketika zaman mereka sebagai satu gangguan pertuturan. Lebih menarik, mereka mengaitkan setiap penyakit termasuk masalah gagap dengan humorisme (cairan) badan dan konsep ‘soul’ (jiwa). Seterusnya, mengikut peredaran zaman, gagap ditauliahkan sebagai satu masalah kelancaran pertuturan (fluency) yang disebabkan oleh pelbagai faktor.

3. Apa punca seseorang diserang penyakit ini?

Masalah gagap biasanya dikelaskan kepada gagap disebabkan perkembangan bahasa (developmental stutter) dan gagap neurogenik. Jenis pertama didapati di kalangan kanak-kanak dalam usia pengembangan skil bertutur dan bahasa. Para penyelidik percaya ianya dipengaruhi oleh pengembangan pesat skil ini terutama pada usia 3 tahun pertama kelahiran yang tidak dapat dipenuhi disebabkan ketidakmatangan keupayaan bertutur seorang kanak-kanak. Ini menghasilkan pertuturan yang tidak lancar atau gagap. Walaubagaimana pun, adalah sangat penting untuk memastikan kebolehan mendengar seseorang kanak-kanak adalah optimum untuk memastikanskil bertutur dan bahasa ini berkembang. Ini kerana, jika ada gangguan pendengaran, skil penting ini akan terencat. Isu kelancaran bertutur bukan sahaja pasti berlaku, malah terencat mengakibatkan komunikasi vokal sangat terbatas. Faktor genetik juga dilaporkan boleh menyumbang kepada gagap. Satu kajian pada tahun 2013, mendapati kanak-kanak lelaki yang gagap dari usia kurang 3 tahun dengan sejarah keluarga yang positif boleh terus gagap jika gangguan ini berlanjutan lebih 12 bulan dan tidak dirawat. Gagap neurogenik boleh berlaku selepas strok, jangkitan atau kecederaan otak selepas sesuatu trauma. Masalah kelancaran pertuturan ekoran punca ini biasanya lebih kompleks kerana keupayaan otak untuk mengkoordinasikan pertuturan terganggu. Selain bertutur, kefahaman bahasa, kebolehab menulis dan membaca juga terkesan. Gagap juga boleh berlaku disebabkan gangguan psikogenik. Sebab gagap jenis ini jarang diperhalusi. Ini disebabkan kesukaran untuk mengelaskan masalah pertuturan yang berlaku disebabkan oleh gangguan emosi psikologi atau dipengaruhi faktor fizikal psikosomatik. Walaubagaimanapun, gagap di kalangan kanak-kanak boleh menjadi satu ekspresi dari rasa mudah cemas, ketakutan yang tinggi atau trauma emosi yang berlarutan.

4. Apa simptom penyakit ini?

Ketidaklancaran pertuturan tidak terhad pada selitan bunyi “umm” atau“err” sahaja yang dilihat seperti satu trend bercakap gaya semasa. Mereka yang gagap akan mengulang berkali-kali sebahagian perkataan dalam sesuatu ayat (repetitions), menyebut satusuku kata dengan panjang (prolongations) atau mengalami kesukaran untuk menyebut perkataan yang sesuai (blocks). Gagap dikaitkan dengan perasaan “hilang kawalan diri” yang diterjemahkan melalui mekanisme defensif tanpa sedar. Contohnya, jika anda hampir tergelincir, otot-otot badan akan segera tegang secara refleks untuk mempertahankan diri atau bersedia dari kecederaan yang teruk. Seseorang yang bertutur gagap di khalayak ramai akan mengelip mata tanpa henti, atau mengelak bertentang mata malah mungkin melakukan rutin pergerakan kepala tertentu sebagai satu ekspresi defensif terhadap kehilangan kawalan diri semasa gagap. Ada juga yang akan mengelak menggunakan atau menggantikan perkataan tertentu supaya gagap tidak berlaku. Jika terus dibiarkan, masalah gagap boleh membawa kepada kurang keyakinan diri, masalah buli, penjarakan sosial yang berkekalan seterusnya gangguan kesihatan mental.

Ada juga tanggapan bahawa gagap berkaitrapat dengan masalah “ankyloglossia” (tongue tie) atau lebih dikenali masyarakat sebagai “lidah pendek”. Kanak-kanak didapati mengalami kesukaran meyebut suku kata tertentu atau pelat berpunca dari serat “frenulum” di dasar lidah yang pendek menyebabkan pergerakan lidah terhad. Ini juga akan mengganggu kelancaran pertuturan. Tiga ciri pertuturan gagap yang disebut di atas, tidak ketara dalam susun atur percakapan kanak-kanak dengan “ankyloglossia” malah mungkin tidak disedari ibu bapa. Ankyloglossia jenis teruk biasanya disedari apabila bayi atau kanak-kanak mengalami masalah ketika menyusu atau mengunyah makanan.

5.Boleh kongsikan statistik penyakit ini di Malaysia?

Kelaziman berlakunya masalah gagap pad  kanak-kanak berusia 2 hingga 5 tahun adalah lebih tinggi berbanding populasi umum. Ini kerana lebih dari 70-80% kanak-kanak akan secara natural mengatasi gagap apabila mereka membesar. Walaubagaimanapun, diingatkan sejumlah kecil kanak-kanak didapati terus gagap sehingga usia dewasa jika tiada intervensi dilakukan. Secara spesifik, tiada laporan statistik tepat insidens gagap di Malaysia.

6. Boleh kongsikan statistik penyakit ini di peringkat global?

Di peringkat global, insidens masalah kelancaran pertuturan disebabkan gagapdilaporkan antara 5 -15%. Dalam sesuatu populasi, 1-1.5% mengalami gagap dengan kencederungan terhadap kanak-kanak lelaki. Di Amerika Syarikat, 2.5% kanak-kanak berusia 2 hingga 5 tahun mengalami gagap, sementara di India adalah sebanyak 1.5%. Di Jepun, 0.82% kanak-kanak mengalami masalah sama. Variasi kelaziman gagap ini didapati hampir sama di negara-negara barat dan Asia. Statistik berkenaan gagap adalah perlu terutama berkenaan penilaian pandangan orang ramai terhadap masalah ini dan persekitaran sosial penghidap gagap untuk mewujudkan respon lebih kondusif dan masyarakat berkesedaran pada masa akan datang.

7. Rawatan penyakit ini?

Jika anda rasa wujudnya ciri-ciri gangguan kelancaran pertuturan pada anak anda, rujuk kepada pakar pemulihan pertuturan dan bahasa (SLP) di institusi berdekatan. Kenalpasti adakah wujud juga masalah lain termasuk masalah pendengaran, kecelaruan emosi dan tingkahlaku seperti autism, hiperaktif atau ketidakstabilanpsikologi kerana rujukan dan rawatan mungkin perlu melibatkanbeberapa displin berbeza seperti ENT,dan Pediatrik. Kanak-kanak gagap boleh dibantu dengan memberi sokongan melalui tips seperti berikut:

– Beri masa dan perhatian. Dengar apa yang ingin disampaikan anak dengan penuh minat. Tunjukkan ekspresi muka yang tenang dan bertentang mata dengannya. Elakkan memberi komen awal atau mimik yang kurang menyenangkan. Apabila selesai, respon dengan baik.

–  Serlah peluang. Kanak-kanak selepas generasi milenial dilihat lebih ekspresif dan kritikal. Tanya secara spesifik bagaimana cara untuk membantu. Pada satu ketika, kita mungkin berasa kasihan kerana anak mengalami kesukaran memesan makanan sendiri di kaunter tetapi pada ketika lain, adalah penting untuk si anak berasa “seperti di puncak” jika berjaya membuat pesanan tersebut sendiri.

–  Ayat mudah. Cuba sampaikan sesuatu arahan atau mulakan komunikasi dengan ayat yang pendek, berintonasi lembut dan lancar. Ini untuk menggelakkan wujudnya sisipan bebanan emosi dan paksaan.

–  Elakkan notasi negatif seperti “jangan”,“tidak boleh”,“salah” dan kurangkan bertanya soalan. Sebaliknya tunjukkan pada kanak-kanak bahawa tidak apa jika tersilap menyebut sesuatu. Terangkan pembetulan alternatif atau beri ayat pembuka dengan nada yang tenang. Beri komen yang efektif.

–  Teknologi. Beberapa tahun kebelakangan wujud kajian tentang kepenggunaan aplikasi moden dan ada yang sudah dikomersilkan. Walaupun laporan melibatkan keberkesanan aplikasi ini terhadap masalah gagap adalah terhad, opsyen ini semakin mendapat perhatian profesional dan kajian semasa masih dijalankan.

–  Luangkan masa. Wujudkan rasa kepunyaan (belonging) antara satu sama lain.

Harus diingat, kejayaan rawatan pemulihan gagap adalah merupakan hasil kerjasama penuh penghidap gagap, penjaga, persekitaran selain skil profesional pakar perubatan.

8. Tips mencegah penyakit ini?

Adalah tepat untuk meletakkan faktor kesedaran dan pemahaman tinggi terhadap masalah gagap sebagai langkah utama untuk mencegah ianya bertambah teruk sehingga melibatkan faktor sosial dan kesihatan mental. Pengetahuan bahawa gagap itu dikira patologikal, atau tidak lagi sebahagian daripada proses tumbesaran bahasa kanak- anak adalah titik utama. Namun, yang lebih kritikal adalah mengenalpasti bahawa deria pendengaran kanak-kanak tersebut adalah normal untuk mewujudkan potensi skil
pertuturan dan bahasa yang lancar berkadaran usia kerana deria ini terbentuk lebih awal dari dalam kandungan lagi. Ambil tindakan pada kerisauan yang wujud jika anda mendapati perkembangan pertuturan atau respon anak menunjukkan kelainan yang meragukan.

TERIMA KASIH

 

 

RUJUKAN

  1. Sibylle Brosch, Wolfgang Pirsig.(2001) Stuttering in history and culture. International Journal of Pediatric Otorhinolaryngology, Vol 59 :2: 81-87.

  2. Oliveira, C. M. C. d., et al. (2013). Risk factors for stuttering in disfluent children with familial recurrence. Audiology – Communication Research 18: 43-49.

  3. Nieto, Janae (2019) “Aphasia & Stutter Therapy: An Ailment Not to be Treated”. HonorsTheses. 2337.
  4. Gerlach H, Subramanian A and Wislar E (2020) Stuttering and Its Invisibility: Why Does My Classmate Only Stutter Sometimes?. Front. Young Minds
  5. Harun, Haryani& Chu, Shin Ying & Yaruss, J. & McConnell, Grace & Mohd. Ali, Manisah. (2020). Public Attitudes in Asia Toward Stuttering: A Scoping Review. The Open Public Health Journal. 12. 503-511.
  6. Mohd Fadzilah, Fazwa and Arshad, Noreen Izza, “Towards the Development of Criteria to Assess Stuttering Mobile Apps” (2017). PACIS 2017 Proceedings. 240.
  7. https://www.asha.org/public/speech/disorders/stuttering/

Search

+