Dine with Confidence, HCTM Visitor Lobby Cafe Receives ‘Clean and Safe’ (BeSS) Certification
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) melakar sejarah apabila Kafe Lobi Pelawat HCTM diiktiraf sebagai Zon BeSS (Bersih dan Selamat) yang pertama bagi Hospital Pengajar Universiti di negara ini.
Pengiktirafan tersebut diberikan dalam Majlis Pengiktirafan Zon BeSS dan Wacana Keselamatan & Kualiti Makanan yang berlangsung di Sukmaria HCTM, petang tadi.
Majlis anjuran Unit Kesihatan Awam HCTM dengan kerjasama Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Cheras, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu diadakan bagi meraikan pencapaian signifikan hospital berkenaan dalam aspek kualiti hidangan.
Pengarah HCTM, Dato’ Dr. Azmi Baharudin berkata, keselamatan makanan merupakan aspek paling kritikal dalam sesebuah fasiliti kesihatan, memandangkan hospital pengajar dan pusat rujukan tersebut menerima ribuan pengunjung setiap hari.
“HCTM sentiasa komited untuk memastikan setiap hidangan yang disediakan kepada warga hospital, pelawat dan pelanggan adalah selamat, bersih dan berkualiti.
“Lebih membanggakan, kejayaan ini terhasil daripada usaha kolektif kesemua 12 premis makanan yang beroperasi di Kafe Lobi Pelawat HCTM. Saya percaya pencapaian ini menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh budaya keselamatan makanan di hospital ini,” katanya.
Pengiktirafan rasmi itu telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Keselamatan & Kualiti Makanan), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, Encik Shanmugam a/l Supramaniam.
Beliau menyerahkan pensijilan BeSS kepada semua 12 premis makanan di dalam zon tersebut yang berjaya memenuhi piawaian kebersihan dan keselamatan makanan yang ketat seperti yang ditetapkan oleh KKM.
Menurut Shanmugam, pemilihan Medan Selera Lobi Pelawat HCTM sebagai Zon BeSS merupakan satu langkah yang amat strategik dan signifikan.
“Sebagai sebuah institusi kesihatan yang menjadi tumpuan ribuan pesakit, pelawat serta warga kerja setiap hari, hospital sewajarnya menjadi contoh terbaik dalam mempromosikan persekitaran makanan yang bersih, selamat dan berkualiti,” jelas beliau.
Sehingga kini, sebanyak 163 premis makanan di Kuala Lumpur dan Putrajaya telah mendapat pengiktirafan BeSS bagi tahun 2026. Angka tersebut mencerminkan peningkatan kesedaran dan komitmen industri makanan dalam mengutamakan keselamatan makanan sebagai satu budaya kerja yang lestari di ibu negara.












