HCTM Anjur Ceramah Imej Keterampilan Profesional Sempena Hari Pekerja 2026

15 May 2026 2026, News
Sempena sambutan Hari Pekerja Tahun 2026, Jabatan Komunikasi Korporat, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah menganjurkan ceramah motivasi bertajuk Imej Keterampilan Profesional di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.
Penganjuran program telah dihadiri 200 orang peserta warga HCTM daripada pelbagai profesion. Ceramah tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CuteCarry Sdn. Bhd., Encik Hafiz Mustapha, yang terkenal sebagai penceramah berpengalaman dalam bidang imej dan keterampilan profesional.
Dalam ucapan aluan, Pengarah HCTM berkata tema Hari Pekerja tahun ini, “Pekerja Madani, Kesuma Bangsa”, amat bertepatan dalam menghargai peranan dan sumbangan warga kerja institusi itu.
Beliau berkata kekuatan HCTM bukan sahaja terletak pada kecanggihan fasiliti atau kepakaran yang dimiliki, malah turut bergantung kepada komitmen dan dedikasi warga kerjanya yang menjadi penggerak utama organisasi setiap hari.
“Petugas kesihatan di barisan hadapan, warga sokongan klinikal serta kakitangan pentadbiran memainkan peranan penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

 


Hospital Canselor Tuanku Muhriz Terima Kunjungan Hormat Daripada Persatuan Pesara UKM

4 May 2026 2026, News
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menerima kunjungan hormat daripada 11 orang ahli Pengurusan Persatuan Pesara UKM yang diketuai oleh Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Anuwar Ali. Pertemuan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Lembaga ini bertujuan untuk memperhalusi kerjasama strategik dalam menambahbaik kualiti rawatan serta perkhidmatan khusus buat warga pesara kita. Antara perkara utama yang dibincangkan termasuklah usaha meningkatkan kemudahan mesra OKU, penyelarasan proses janji temu yang lebih efisien serta pemantapan saluran maklumat melalui buletin dan edaran borang keahlian. Semoga sinergi ini terus memberikan impak positif dalam memastikan kebajikan para pesara sentiasa diutamakan selaras dengan aspirasi universiti.

 

Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/1H6ocgpu4u/

Hospital Canselor Tuanku Muhriz Lancarkan Inisiatif ‘𝘎𝘙𝘌𝘌𝘕 𝘕𝘌𝘗𝘏𝘙𝘖𝘓𝘖𝘎𝘠’ Demi Kelestarian Alam Sekitar

30 Apr 2026 2026, News

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) hari ini melancarkan inisiatif Green Nephrology sebagai langkah proaktif mengimbangi keperluan rawatan kritikal dengan kelestarian alam sekitar. Inisiatif tersebut diperkenalkan sempena Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 peringkat HCTM bertemakan ‘Kidney Health For All – Caring For People Protecting The Planet’ yang berlangsung di Lobi Utama hospital, di sini hari ini.

Pengarah HCTM, Dato’ Dr. Azmi Baharudin berkata, meskipun rawatan nefrologi khususnya hemodialisis merupakan prosedur menyelamatkan nyawa, ia meninggalkan kesan ekologi yang besar melalui penggunaan sumber secara intensif. Menurut beliau, data menunjukkan setiap sesi rawatan menggunakan sekitar 120 liter air bersih dan menghasilkan hampir dua kilogram sisa plastik.

“Bagi pesakit yang menjalani rawatan tiga kali seminggu, jumlah ini boleh mencecah hampir 19,000 liter air dan lebih 300 kilogram sisa plastik setahun.

“Sekiranya tiada tindakan diambil mulai sekarang, beban terhadap alam sekitar akan terus meningkat seiring dengan pertambahan pesakit buah pinggang di Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.

Dato’ Dr. Azmi menegaskan bahawa sebagai sebuah hospital pengajar universiti, HCTM memikul tanggungjawab besar untuk menerajui usaha kelestarian dalam bidang perubatan negara. Beliau menambah, inisiatif Green Nephrology kini bukan lagi sekadar satu pilihan, malahan telah menjadi satu tanggungjawab wajib dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih lestari dan mesra alam.

“Melalui prinsip ‘Caring for People’, kami komited menyediakan perkhidmatan yang cekap, pantas dan mesra. Namun, tanggungjawab itu diperluas melalui konsep ‘Protecting the Planet’ dengan mengintegrasikan amalan mesra alam dalam operasi harian,” jelas beliau.

Sambutan tersebut merupakan manifestasi HCTM dalam memperkukuh sistem kesihatan mampan bagi memastikan kesejahteraan pesakit dan pemuliharaan alam sekitar berjalan seiringan.


Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/18U1JoLg6Y/

Lawatan Kerja Health And Social Services Workers Union Of Turkiye Ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz

28 Apr 2026 2026, News

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima kunjungan delegasi daripada 𝘏𝘦𝘢𝘭𝘵𝘩 𝘢𝘯𝘥 𝘚𝘰𝘤𝘪𝘢𝘭 𝘚𝘦𝘳𝘷𝘪𝘤𝘦𝘴 𝘞𝘰𝘳𝘬𝘦𝘳𝘴 𝘜𝘯𝘪𝘰𝘯 𝘰𝘧 𝘛𝘶𝘳𝘬𝘪𝘺𝘦 dan Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan Malaysia (MAPSU) pada 22 April 2026. Kunjungan tersebut diketuai oleh Presiden kesatuan dari Turkiye, Encik Devlet Sert, manakala pihak MAPSU diketuai oleh Setiausaha MAPSU, Encik Reostam Bin Dzahar. Ketibaan delegasi telah disambut oleh Pengarah HCTM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, bersama barisan pengurusan hospital serta wakil KESUKMA UKM. Sesi perbincangan yang diadakan bukan sekadar pertemuan rasmi, malah menjadi medan perkongsian idea serta perbincangan mendalam mengenai agenda pemerkasaan kebajikan pekerja. Melalui pertukaran maklumat antara pihak Turkiye, MAPSU KKM, HCTM dan KESUKMA UKM, kolaborasi ini diharapkan mampu menyuntik nilai tambah serta perspektif baharu dalam tadbir urus kesatuan sekerja buat semua pihak yang terlibat.

Galeri gambar: https://www.facebook.com/share/p/1GYNneXine/

Majlis Penyampaian Juadah Sempena Hari Raya Aidilfitri

31 Mar 2026 2026, News, News 2026
Majlis Penyampaian Juadah Sempena Hari Raya Aidilfitri telah diadakan pada 1 Syawal 1447H di Lobi Utama, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM). Majlis berlangsung secara sederhana bagi meraikan dan menghargai sumbangan warga HCTM yang bertugas demi berbakti kepada masyarakat setempat pada Hari Raya.
Sebanyak 640 pek juadah pelbagai menu dan 65 hamper raya telah diagihkan kepada kakitangan yang bertugas melibatkan Jabatan Klinikal, Sokongan Klinikal, Pentadbiran dan sebahagian dari Kampus Kuala Lumpur. Penyerahan sumbangan ini telah disampaikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) mewakili Pengarah HCTM.
1 2 3 25

Search

+