Ekzema
Oleh: Prof Madya Dr Adawiyah Jamil & Prof Madya Dr Leelavathi Muthupalaniappen
Ramai yang mungkin pernah mendengar atau mengalami penyakit kulit yang dikenali sebagai ekzema. Ekzema atau dermatitis ialah sejenis penyakit radang kulit yang sangat lazim ditemui dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa.
Penyakit ekzema berkait rapat dengan faktor genetik dan kerap berlaku dalam kalangan ahli keluarga yang sama. Faktor genetik menyebabkan kulit mengalami kerosakan, tindak balas sistem keimunan yang berbeza seterusnya, menyebabkan kulit hilang fungsi sebagai pelindung, berlaku alahan (allergy) dan rengsa (irritation).
Tanda-tanda ekzema di kulit agak berbeza bergantung kepada jenis ekzema. Kawasan kulit yang terjejas oleh ekzema juga berbeza mengikut jenis ekzema. Antara sifat utama penyakit ini ialah menyebabkan kulit berasa sangat gatal dan merah. Ruam berbiji atau berair mungkin dialami pada bahagian muka, kulit yang berlipat seperti leher, depan siku dan belakang lutut. Kulit juga akan kelihatan kering. Masalah ini biasanya akan berkurangan dengan rawatan. Episod ini akan berulangan atau kekal untuk jangka masa yang lama apabila ekzema berada pada peringkat yang serius.




Gambar kanak-kanak yang terjejas akibat penyakit ekzema
Terdapat pelbagai jenis ekzema. Secara umumnya, ekzema terbahagi kepada 3 jenis. Pertamanya, ekzema yang berpunca daripada faktor genetik dan tidak mempunyai kaitan dengan alahan (contoh, atopic eczema/ atopic dermatitis), di mana ekzema sendiri merupakan sejenis penyakit. Atopic eczema atau infantile eczema dan seborrheic eczema ialah jenis ekzema yang paling lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Kedua, ekzema yang berpunca daripada alahan sama ada makanan atau sentuhan dengan sesuatu bahan yang menyebabkan ruam. Contohnya, minyak wangi atau sabun allergic dermatitis. Jenis ekzema yang ketiga, berpunca daripada gabungan jenis ekzema pertama dan kedua.
Jenis ekzema seperti, seborrheic eczema, hand and feet eczema dan stasis eczema lebih kerap berlaku dalam kalangan dewasa. Manakala steatotic eczema dan stasis eczema lebih kerap berlaku dalam kalangan warga tua.
Punca-punca penyakit ekzema
Ekzema berpunca daripada gabungan pelbagai faktor seperti faktor asas dan faktor pencetus. Faktor asas ialah faktor yang tidak boleh dielakkan seperti genetik atau keturunan. Faktor genetik dapat menjelaskan mengapa ekzema hanya dialami oleh segelintir orang dan bukan semua orang. Kulit terdiri daripada 3 lapisan. Lapisan yang paling atas boleh diibaratkan seperti dinding yang melindungi keseluruhan badan. Punca genetik menyebabkan lapisan ini hilang daya pelindung dan memberi peluang kepada organisma serta bahan kimia dari luar untuk menembusinya. Ini merupakan titik permulaan kepada ekzema.
Sistem keimunan pesakit ekzema juga bertindak balas secara berbeza. Ini tidak bermaksud sistem ini lemah, tidak aktif atau terlalu aktif. Ianya masih normal tetapi bertindak secara berlainan dari biasa terhadap rangsangan unsur-unsur dari luar dan dalam badan.
Terdapat juga penyakit-penyakit lain yang berhubung kait secara genetik dengan penyakit ekzema. Antaranya adalah seperti berikut:-
- Resdung (allergic rhinitis) (kerap bersin dan hidung berair sewaktu sejuk atau berhabuk, hidung gatal)
- Allergic conjunctivitis (mata merah, berair dan gatal terutama apabila terdedah kepada habuk)
- Gegata (urticaria)
- Lelah/ asma (asthma)
Jika mempunyai ahli keluara yang mempunyai pertalian darah (contohnya ibu,bapa atau adik-beradik) yang menghidap salah satu daripada penyakit tersebut, kemungkinan ahli keluarga yang lain juga boleh mendapat ekzema atau mana- mana penyakit lain yang berkait secara genetik. Kerapkali, ekzema yang tidak serius mungkin tidak akan disedari kerana impaknya yang ringan. Contoh manifestasi ekzema ringan adalah seperti kelemumur, tumit merekah, bibir kering, tompokan kulit kering pada kaki dan tangan serta kulit sensitive seperti gigitan nyamuk mengambil masa yang lama untuk sembuh.
Pencetus ekzema pula ialah faktor-faktor yang menyebabkan sesuatu episod ekzema itu timbul atau menjadi aktif. Faktor-faktor pencentus ekzema lazimnya melibatkan persekitaran dan dapat dielakkan. Berikut adalah berberapa contoh pencetus ekzema:
-
Rengsa (irritant) seperti cuaca yang panas dan berpeluh atau cuaca yang sejuk dan kering (penggunaan pendingin hawa yang berpanjanganan, fabrik pakaian yang kasar atau sabun yang mengadungi bahan pencuci (detergent) yang kuat)
-
Tekanan dari segi mental atau fizikal juga boleh mencetuskan ekzema
-
Allahan (allergy) seperti hama habuk (house dust mite), bulu dari haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing dan debunga
-
Kuman staphylococcus yang terdapat pada kulit dapat mencetus ekzema. Bakteria ini dapat menembusi lapisan dinding kulit yang telah hilang daya pelindung dan menyebabkan kerosakan. Kulit ekzema juga lebih mudah terjangkit dengan virus.
-
Ekzema menyebabkan kulit menjadi gatal. Tindakan menggaru kulit menyebabkan penghasilan histamine dalam badan yang menjadikan seseorang itu merasa lebih gatal. Menggaru juga boleh menyebabkan kulit melecet yang memberi peluang kepada kuman menembusi kulit dan menyebabkan jangkitan.
Makanan jarang menjadi penyebab ekzema. Sekiranya makanan adalah pencetus kepada ekzema, keadaan kulit akan menjadi lebih teruk secara tiba-tiba (dalam masa 24 hingga 48 jam) selepas makan makanan tersebut. Ekzema yang berpunca daripada alahan boleh sembuh sepenuhnya jika punca alahan tersebut dapat di kenal pasti dan dielakkan. Ekzema yang tidak berkaitan dengan alahan dan berpunca dari faktor genetik tidak boleh sembuh sepenuhnya, tetapi dapat dikawal hingga ke tahap minimum dengan mengurangkan kekerapan berulang dan meningkatkan tempoh masa di antara sesuatu episod.
Ujian untuk mengenal pasti penyakit ekzema
Ujian makmal seperti ujian darah tidak diperlukan untuk mengenal pasti penyakit ekzema. Pengesahan boleh dibuat oleh doktor secara klinikal berdasarkan sejarah penyakit dan dengan melihat serta memeriksa keadan kulit.
Sekiranya pesakit disyaki turut mengalami alahan kepada bahan-bahan yang telah disapu atau tersentuh dengan kulit, ujian kulit patch test boleh dilakukan untuk mengenal pasti bahan tersebut. Ujian tambahan bagi alahan makanan boleh dilakukan sekiranya pesakit disyaki mengalami alahan makanan dengan ujian skin prick test atau ujian darah. Namun, bukan semua jenis makanan dapat diuji dengan cara ini dan ujian ini juga tidak dapat memberi keputusan yang 100% tepat. Ia hanya boleh digunakan sebagai panduan untuk mengenal pasti makanan yang mungkin menyebabkan alahan dan perlu dielakkan. Sekiranya sesuatu makanan itu menyebabkan alahan, keadaan kulit akan menjadi lebih teruk (bertambah gatal dan ada ruam baharu) dalam masa 24 ke 48 jam selepas makanan tersebut dimakan.
Rawatan untuk ekzema
Rawatan yang paling penting untuk ekzema ialah penjagaan asas kulit. Sabun dan pelembab yang sesuai perlu sentiasa digunakan. Ubat sapu khas untuk ekzema serta ubat yang dimakan hendaklah berdasarkan nasihat doktor. Pesakit ekzema perlu sentiasa berhati-hati dalam memilih produk-produk kebersihan dan kecantikan kerana mungkin mengandungi bahan yang dapat mencetus ekzema.
Sabun yang sesuai untuk penyakit ekzema ialah sabun khas yang tidak mengandungi kandungan bahan pencuci yang kuat, tidak menghasilkan banyak buih dan tidak mengeringkan kulit. Sabun yang mengandungi lye (sodium hydrochloride), potassium hydroxide, sodium lauryl sulphate), bahan anti-bakteria dan wangian perlu dielakkan. Sabun tidak dapat merawat ekzema yang aktif, tetapi sabun yang sesuai dapat membantu mengekalkan kelembapan pada kulit dan seterusnya memelihara lapisan pelindung kulit.
Penggunaan pelembab (moisturiser) ialah langkah paling penting untuk mengawal penyakit ekzema kerana kebanyakan pesakit mempunyai kulit yang kering. Glycerol atau glycerine dan urea merupakan kandungan pelembab yang baik. Bahan-bahan lain yang juga berkesan ialah petrolatum, paraffin, propylene glycol, ceramide, cholesterol dan minyak mineral atau minyak dari sayuran (kelapa atau zaiton). Penggunaan pelembab secara konsisten dan berterusan dapat mengurangkan kekerapan letusan ekzema serta penggunaan ubat sapu steroid dan ubat-ubat ekzema yang lain.
Ubat sapu steroid merupakan ubat yang paling kerap disarankan oleh doktor. Ianya berkesan untuk merawat setiap peringkat ekzema. Terdapat pelbagai jenis ubat sapu steroid dengan kekuatan (potency) yang berbeza. Ubat sapu steroid perlu digunakan secara betul untuk mendapatkan kesan yang terbaik. Pemilihan jenis steroid yang tidak sesuai atau penyalahgunaannya boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini. Cara penggunaan yang salah juga boleh menyumbang kepada masalah kebergantungan kepada steroid (steroid dependence).
Ubat sapu calcineurin inhibitor (TCI) dan crisaborole ialah ubatan yang lebih baharu dan tidak mengandungi steroid. Kesan sampingan adalah seperti rasa pedih dan sakit boleh menghadkan penggunaan ubat ini, di samping kosnya yang tinggi. Selain ubat sapu, ubat antihistamine (ubat makan) dapat membantu untuk mengurangkan rasa gatal dan memberi keselesaan kepada pesakit.
Balutan basah wet wrap) ialah rawatan intensif untuk ekzema tahap sederhana dan serius. Ia dapat membantu ubat sapu diserap dengan lebih baik ke dalam kulit serta mengelakkan kulit daripada digaru. Mandian antiseptik (bleach bath) 2-3 kali seminggu dapat mengawal kandungan kuman pada permukaan kulit.
Ekzema tahap serius mungkin memerlukan rawatan tambahan seperti ubat makan prednisolone, cyclosporin, azathioprine dan methotrexate. Prednisolone merupakan sejenis ubat steroid. Ubat-ubat ini bertindak dengan mengawal ekzema melalui kesannya kepada sistem keimunan. Kesemua ubat ini mempunyai pelbagai kesan sampingan yang perlu dipantau oleh doktor yang berkelayakan dan berpengalaman. Keputusan untuk menggunakan ubat-ubat ini memerlukan pertimbangan berdasarkan faedah dan kesan sampingannya.
Rawatan seperti fototerapi juga boleh digunakan untuk pesakit ekzema yang tidak menunjukkan tindak balas yang optimum dengan rawatan yang lain. Rawatan ini sesuai untuk ekzema tahap sederhana atau serius. Rawatan fototerapi menggunakan kaedah pendedahan kulit pada sinaran Ultraviolet A (UVA) atau B (UVB) dari mesin khas sebanyak dua atau tiga kali seminggu untuk jangka masa yang tertentu.
Kesimpulannya, ekzema ialah penyakit kulit berunsur genetik yang lazim. Walaupun penyakit yang berunsur genetik tidak dapat pulih sepenuhnnya, terdapat berberapa jenis rawatan yang boleh digunakan untuk mengawal keadaan kulit supaya tahap ekzema adalah minimum dan pesakit berada dalam keadaan selesa. Untuk menjayakan rawatan, pesakit perlu menjaga kulit mereka dengan menggunakan sabun yang sesuai, rajin menyapu pelembab dan menjauhkan diri daripada pencetus ekzema yang telah dikenal pasti.
Pensyarah dan Pakar Perunding Kanan Perubatan
Ketua Unit Dermatologi
Jabatan Perubatan HCTM

