Sakit Sendi Lutut

1 Dis 2021 Artikel

Dr. Rizal bin Abdul Rani

Pensyarah dan Pakar Perunding Arthroplasti
Jabatan Ortopedik dan Traumatologi
Fakulti Perubatan

 

1.  Boleh doktor terangkan latar belakang sakit sendi lutut ini, termasuk dari sudut sejarah perubatan (bila sakit ini mula dikesan ke atas manusia)?

Seseorang yang mengadu sakit sendi lutut terutamanya mereka yang telah berumur, berkemungkinan besar adalah disebabkan osteoarthritis. Osteoarthritis jika diterjemahkan secara terus adalah radang sendi tulang, ia perlu dibezakan dengan radang sendi atau arthritis yang lain seperti rheumatoid arthritis, gouty arthritis dan psoriatic arthritis kerana peyakit penyakit ini adalah sistemik iaitu ia boleh menyebabkan banyak masalah perubatan lain pada badan. Penyakit arthritis yang lain ini juga ada ubat ubat khusus untuk mencegahnya dari melarat.

Osteoarthritis boleh berlaku pada mana mana sendi tetapi kebanyakan pesakit akan mengadu sakit lutut. Sendi lain yang sering dikaitkan dengan osteoarthritis termasuklah jari, pinggul, bahu dan tulang belakang.

 

2.  Bagaimana seseorang boleh diserang penyakit ini? Apakah punca seseorang boleh diserang?

Penyakit ini bermula apabila tulang rawan (cartilage) menipis atau “haus” akibat pengunaan sendi lutut yang berlebihan. Ini termasuk tekanan atau stres pada lutut akibat penggunaan harian. Tulang rawan mempunyai fungsi penting untuk melicin dan memudahkan pergerakan antara tulang.

Pada mulanya pesakit tidak akan mengadu sakit lutut tetapi dengan jangka masa yang panjang yang mungkin mengambil masa bertahun ataupun berdekad, kerosakan tulang rawan dan lutut bertambah dan kesakitan menjadi ketara. Disebabkan ini, osteoarthritis sering dikenali sebagai penyakit orang tua.

Walaubagaimanapun ia boleh berlaku pada umur yang lebih muda (kurang daripada 50 tahun) terutamanya mereka yang pernah mengalami kecederaan lutut sama ada patah, cedera urat atau jangkitan pada sendi lutut kerana sebarang kecederaan pada sendi akan mengganggu sendi untuk pulih, mempercepatkan kerosakan lutut atau meletakan tekanan berlebihan pada sendi.
Mereka yang aktif bersukan, gemuk atau beberapa pekerjaan tertentu seperti buruh dan petani juga berisiko tinggi untuk mendapat osteoarthritis pada usia muda kerana penggunaan sendi lutut yang berlebihan. Menurut satu kajian lebih 80% pemain bola sepak profesional ada masalah osteoarthritis lutut selepas bersara, jauh lebih tinggi berbanding populasi biasa.

Osteoarthritis juga ada komponen genetik, jadi ia boleh diwarisi. Mereka kebiasaannya mendapat osteoarthritis pada usia yang lebih muda dan melibatkan banyak sendi.

 

3.  Secara statistik, bagaimanakah peratusan penghidap penyakit ini di Malaysia mengikut umur, jantina, latar etnik serta profesion (jika ada)?

Secara amnya, kebanyakkan pesakit osteoarthritis adalah perempuan berumur 50 tahun ke atas dan mempunyai masalah berat badan berlebihan.

Menurut satu kajian dianggarkan 9.3% warga Malaysia dewasa mempunyai sakit lutut dan lebih daripada separuh yang diperiksa mempunyai simptom osteoarthritis. Satu kajian lain melibatkan 1200 warga Kuala Lumpur berumur 55 tahun ke atas menunjukkan lebih 30% mempunyai masalah sakit lutut dan gejala osteoarthritis. Lebih 43% Melayu yang ditanya mempunyai masalah sakit lutut dan gejala osteoarthritis.

 

4.  Apakah simptom awal bahawa seseorang itu terdedah kepada sakit ini?

Simptom utama osteoarthritis adalah kesakitan pada sendi yang terjejas. Pada awalnya kesakitan yang dialami tidak teruk dan pesakit boleh berfungsi seperti biasa. Sakit lutut osteoarthritis sering digambarkan sebagai kesakitan lutut yang sengal dan menjadi lebih teruk apabila banyak melakukan aktiviti yang meletak beban kepada lutut seperti berjalan dan naik tangga. Ada juga yang mengadu sakit lutut pada waktu malam terutamanya setelah banyak berjalan pada waktu siang. Biasanya sakit akan hilang dengan merehatkan lutut selama beberapa minit.

Seseorang juga mungkin sedar kaki mereka semakin membengkok dan pergerakan lutut terbatas dan keras.

Apabila keadaan lutut semakin teruk, pesakit bukan sahaja tidak boleh melakukan aktiviti harian seperti solat seperti biasa. Malah mereka mungkin tidak keluar dari rumah kerana berjalan beberapa langkah akan menyebabkan kesakitan yang amat teruk. Pengambilan ubat tahan sakit setiap hari pula akan mendedahkan pesakit kepada masalah lain seperti gastritis (sakit perut) dan kerosakan buah pinggang akibat kesan sampingan ubat ubat tersebut jika diambil untuk jangka masa panjang.

 

5. Jika diukur melalui skala 1 sehingga 10 (di mana 10 paling bahaya), pada skala berapakah bahayanya sakit vertigo ini? Nota: Soalan ini berkisar kepada tahap kesakitan yang dialami, serta potensi untuk individu diserang penyakit ini untuk maut.

Penyakit osteoarthritis tidak merbahayakan nyawa tetapi boleh menjejaskan aktiviti harian sehingga pesakit tidak boleh bekerja atau melakukan apa apa aktiviti. Ini juga secara tidak langsung boleh menyebabkan kemurungan. Kesan jangka masa panjang menyebabkan pesakit tidak boleh bersenam seterusnya menyebabkan masalah masalah kesihatan yang lain pula.

 

6.  Bilakah waktu yang tepat untuk individu yang disyaki diserang sakit ini untuk bertemu doktor atau pengamal perubatan?

Pesakit patut berjumpa doktor apabila mula mengalami sakit lutut, terdapat pelbagai rawatan untuk memperlahankan dan mecegah penyakit ini sebelum ia menjadi lebih teruk. Bisanya saranan awal adalah dengan mengurangkan berat badan supaya tekanan pada lutut berkurangan dan fisioterapi khusus pada otot otot kaki.
Pesakit juga mungkin perlu mengubah cara gaya hidup dengan mengelak perkara yang boleh menyebabkan sendi lutut lebih cepat rosak.

 

7.  Apakah kaedah rawatan konvensional yang boleh memulihkan penyakit sendi lutut ini?

Rawatan perubatan adalah untuk mengurangkan simptom. Perubahan pada cara hidup dan mengambilan ubat, suntikan dan suplemen dpat membantu mengurangkan kesakitan dan simptom lain osteoarthritis.

Apabila penyakit ini menjadi lebih teruk iaitu jika kesakitan yang dialami mengganggu aktiviti harian sehingga pesakit tidak boleh berfungsi dengan baik atau jika penghidap terpaksa makan ubat tahan sakit setiap hari maka mereka perlulah berbincang dengan pakar bedah ortopedik untuk rawatan seterusnya.

Rawatan yang mungkin dicadangkan adalah pembedahan tukar sendi lutut (total knee replacement). Pembedahan tukar sendi lutut adalah antara pembedahan yang sangat berkesan dan berjaya. Usia bukan penghalang kepada pembedahan kerana setiap pesakit mempunyai tahap kesihatan yang berbeza beza walaupun umur yang lanjut. Setiap pesakit perlu disaring untuk memastikan mereka cukup sihat untuk melalui pembedahan. Perlu ditekankan pembedahan sendi lutut juga ada had dan risikonya yang tersendiri. Kebanyakan pesakit yang melalui pembedahan ini perlu mempunyai motivasi tinggi dan rajin melakukan senaman fisioterapi selepas pembedahan. Ini kerana jika tidak melakukan fisioterapi, hasil daripada pembedahan sahaja tidak memuaskan. Perlu juga ditekankan, tujuan utama pembedahan sendi lutut adalah untuk mengurangkan sakit dan meluruskan kaki yang bengkok.

Buat masa kini, tidak ada rawatan yang boleh memulihkan sendi yang telah rosak tetapi kajian sedang giat dijalankan menggunakan terapi sel stem yang mungkin boleh membantu memulihkan sendi rawan yang telah rosak. Unit arthroplasti UKM sedang mengkaji penggunaan sel stem untuk tujuan ini dan bakal melaksanakan ujian klinikal ke atas pesakit dalam masa terdekat.

 

8.  Apakah kaedah rawatan alternatif yang boleh mencegah atau memulihkan penyakit sendi lutut ini?

Kebanyakan rawatan tradisional atau alternatif seperti mengurut, akupuntur dan sengat lebah hanya merawat simptom osteoarthritis sahaja dan berkesan untuk jangka masa pendek.

 

9.  Apakah tips kepada masyarakat untuk pastikan mereka bebas dari penyakit ini?

Untuk mengurang dan memperlahankan proses penyakit ini adalah dengan mengurangkan beban kepada lutut. Aktiviti seperti berlari akan meletakkan beban yang tinggi kepada lutut. Walaubagaimanapun senaman tetap penting untuk kesihatan badan jadi keseimbangan perlu diambil. Aktiviti seperti berenang atau mengayuh basikal lebih mesra kepada lutut dan pada masa yang sama boleh membantu mengurangkan berat badan dan bagus untuk kesihatan jantung.

Search

+