Batu Dalam Hempedu

1 Dis 2021 Artikel

Prof. Madya Dr. Zamri bin Zuhdi

Ketua Unit
Jabatan Surgeri

 

1.  Boleh doktor terangkan latar belakang sakit batu dalam hempedu?

Batu di dalam pundi hempedu atau’gallstone’ adalah disebabkan oleh penghasilan batu di dalam pundi hempedu. Pundi hempedu adalah satu organ, berbentuk seperti buah pear, yang bertindak sebagai stor simpanan kepada cecair hempedu. Cecair hempedu ini dihasilkan di hati.

Antara kandungan cecair hempedu adalah air, garam hempedu”bile salt”, lemak (kolestrol).dan bilirubin.

Terdapat 2 jenis batu yang menyebabkan penyakit batu pundi hempedu. Yang utama sekali adalah batu kolestrol (80%) dan selebihnya adalah batu pigmen.

Saiz batu di dalam pundi hempedu adalah berbagai, daripada sebesar pasir sehinggalah kepada saiz bola golf.

 

Hampir 80% daripada populasi yang ada batu hempedu adalah asimptomatik (tak bergejala). Cuma 20% sahaja yang bergejala.

 

2.  Bagaimana seseorang boleh diserang penyakit ini? Apakah punca seseorang boleh diserang?

Faktor risiko untuk diserang penyakit batu hempedu:

  • Umur lebih 40 tahun

  • Jantina:Perempuan berisiko dua kali ganda mendapat penyakit ini berbanding lelaki. Ini disebabkan faktor hormone estrogen yang berlebihan di kalangan wanita.

  • Ada sejarah penyakit ini di dalam keluarga.

  • Berat badan yang berlebihan(tak ideal) ‘overweight’.

  • Seseorang yang dimana berat badan menurun secara mendadak.

  • Pemakanan diet yang berlebihan lemak dan juga kolestrol

  • Mengidap penyakit kencing manis(diabetes mellitus)

  • Seseorang yang ada penyakit ‘blood disorder’ seperti Thalaseamia,

Antara punca diserang  penyakit batu hempedu adalah: 

  • Paras kolestrol yang tinggi atau pekat di dalam cecair hempedu

  • Pengaliran cecair hempedu yang perlahan di dalam pundi hempedu dan saluran hempedu.

 

3.  Secara statistik, bagaimanakah peratusan penghidap penyakit ini di Malaysia mengikut umur, jantina, latar etnik serta profesion (jika ada)?

Kita tidak mempunyai statistik yang teperinci tentang peratusan penghidap penyakit ini di Malaysia kerana penyakit ini terlalu common dan ia  boleh dirawat di hospital swasta dan kerajaan. Walaubagaimanapun ia masih dalam lingkungan faktor-faktor risiko yang saya sebutkan tadi.

 

4.  Apakah simptom awal bahawa seseorang itu terdedah kepada sakit ini?

Macam yang saya katakan tadi, hanya  lebih kurang  20% sahaja yang bergejala.

Symptom awal:

Sakit dibahagian bawah rusuk kanan dan ulu hati selama beberapa minit dan sakit tersebut akan beransur-ansur hilang. Dan pesakit akan mengalami sakit yang sama secara berulang-ulang. Ini dipanggil ‘gallstone colic’. Gejala ini biasanya disertai dengan rasa loya dan muntah.

5. Jika diukur melalui skala 1 sehingga 10 (di mana 10 paling bahaya), pada skala berapakah bahayanya sakit ini? Nota: Soalan ini berkisar kepada tahap kesakitan yang dialami, serta potensi untuk individu diserang penyakit ini untuk maut.

Jika pesakit hanya mengalami ‘gallstone colic’ skala bahaya lebih kurang antara 2 ke 4 bergantung kepada berapa kali ulangan untuk sakit tersebut. Walaubagaimanapun sekiranya pesakit masih lagi tidak mendapat rawatan  dikhuatiri  pesakit akan mendapat radang pundi hempedu. Kebiasaannya pada peringkat ini pesakit akan mengalami sakit yang lebih teruk disertai dengan demam. Saya boleh letak skala pada peringkat ini daripada 5 ke 10 kerana jika masih tidak dirawat pundi hempedu tersebut akan bernanah dan boleh bocor. Ini boleh membawa maut.

 

6.  Bilakah waktu yang tepat untuk individu yang disyaki diserang sakit ini untuk bertemu doktor atau pengamal perubatan?

Jika sekiranya pesakit mengalami ‘gallstone colic’, ini adalah masa pesakit kena bertemu doktor atau pengamal perubatan untuk mendapat rawatan. Kebiasaannya pada peringkat ini, pemeriksaan darah akan dilakukan beserta dengan pemeriksaan ultrasound  untuk melihat batu di dalam pundi hempedu.

 

7.  Apakah kaedah rawatan konvensional yang boleh memulihkan penyakit ini?

Rawatan yang standard adalah surgeri iaitu pembuangan pundi hempedu yang dipanggil laparoskopik atau pembedahan lubang kunci.

Rawatan menggunakan kaedah tanpa pembedahan juga boleh digunakan iaitu penggunaan ubat atau terapi oral, walaubagaimanapun peranannya adalah terhad kerana kurang berkesan dan kejadian berulang yang tinggi. Ia hanya digunakan dalam situasi apabila pesakit mempunyai risiko yang tinggi untuk menjalani pembedahan atau anestetik.

 

8.  Apakah tips kepada masyarakat untuk pastikan mereka bebas dari penyakit ini?

Masyarakat boleh mengurangkan faktor risiko untuk penyakit ini melalui pengamalan   cara hidup yang sihat terutama dari segi diet atau pemakanan dengan mengurangkan pengambilan makanan yang berlemak dan berkolestrol , serta memastikan berat badan yang ideal.

Search

+