Kutu Kepala

29 Nov 2021 Artikel

Tema : Kesihatan
Penulis : Dr. Syamsa Rizal Abdullah
Ketua Jabatan / Pensyarah
Jabatan Parasitologi & Entomologi, Fakulti Perubatan UKM

 

Jangkitan Kutu Kepala & Rawatannya

Sebut saja perkataan ‘kutu’, pasti semua orang terbayang aksi menggaru kepala akibat kegatalan. Namun, tahukah anda bahawa sebenarnya kutu tidak hanya terhad pada kawasan kepala? Selain kutu kepala, manusia juga boleh dijangkiti oleh kutu badan dan kutu kemaluan terutamanya pada golongan yang tidak menjaga kebersihan tubuh badan. Namun begitu, kutu kepala merupakan antara jangkitan yang penting terutamanya pada golongan kanak-kanak. Ia ditandai dengan rasa kegatalan pada kulit kepala dan diikuti dengan penemuan pelbagai peringkat kutu sama ada telur (nit), nimfa atau kutu dewasa. Jangkitan kutu yang banyak dan berterusan akan menimbulkan rasa kurang selesa, gelisah dan hilang tumpuan. Justeru, adalah amat penting untuk kita sama-sama sedar dan berusaha melindungi diri, anak-anak dan keluarga daripada dijangkiti kutu kepala.

 

1. Apakah kutu?

Kutu adalah serangga kecil yang amat sinonim dengan masyarakat. Ia mempunyai tiga pasang kaki, berwarna kelabu kecoklatan dan tidak mempunyai sayap. Jangkitan kutu pada manusia dikenali juga sebagai pedikulosis. Sebenarnya terdapat tiga jenis kutu pada manusia iaitu kutu kepala, kutu badan dan kutu kemaluan. Kutu kepala, atau nama saintifiknya Pediculus capitis, mudah menjangkiti golongan kanak-kanak terutamanya murid-murid sekolah, manakala kutu badan (Pediculus humanus) dan kutu kemaluan (Pthirus pubis) biasanya menjangkiti golongan yang tidak menjaga kebersihan badan seperti golongan gelandangan. Secara umum, kitar hidup kutu adalah lebih kurang 4 minggu dan mempunyai tiga peringkat perkembangan iaitu bermula dengan telur (nit), diikuti peringkat nimfa dan seterusnya berkembang ke peringkat dewasa. Bagi kutu kepala, kedua-dua kutu jantan dan betina menghisap darah pada kepala manusia beberapa kali setiap hari. Ketika menghisap darah, air liur yang mengandungi kesan toksik akan disuntik masuk ke dalam salur darah pada kulit kepala manusia. Ini akan mengakibatkan rasa kegatalan, gelisah dan hilang tumpuan. Kebiasaannya, sebanyak 10 hingga 20 ekor kutu dewasa boleh ditemui pada seseorang pesakit. Namun begitu, bagi jangkitan yang teruk, boleh wujud lambakan pelbagai peringkat kutu berserta kehadiran eksudat akibat gigitan kutu pada kulit kepala. Jangkitan bakteria dan kulat juga boleh berlaku akibat aktiviti menggaru yang berlebihan.

 

2. Bagaimana kutu berjangkit?

Memandangkan kutu merupakan serangga yang bergerak secara merangkak, maka cara jangkitan kutu kepala yang paling utama adalah sentuhan daripada rambut ke rambut. Ini boleh berlaku melalui aktiviti harian dan perkongsian tempat tidur. Selain itu, berkongsi peralatan seperti sikat, skaf, tuala dan topi dengan individu yang dijangkiti juga berpotensi untuk menyebabkan anda dijangkiti.

 

3. Bagaimana mengesan dan merawat kutu kepala?

Jangkitan kutu kepala ditandai dengan kegatalan pada kulit kepala. Namun begitu, jangkitan aktif kutu hanya dapat dipastikan melalui pengesanan telur dan kutu hidup pada kepala. Memandangkan kutu mudah berjangkit, maka pengesanan kutu juga perlu dijalankan kepada ahli keluarga atau orang yang berhubung rapat dengan pesakit. Cara terbaik untuk mengesan kutu kepala adalah dengan menggunakan teknik sikatan basah seperti berikut:

  1. Lumurkan perapi rambut pada keseluruhan rambut.
  2. Sikat menggunakan sikat biasa bagi meleraikan rambut yang kusut.
  3. Sikat kutu (sikat bergigi rapat) digunakan untuk menyisir rambut secara berhati-hati bermula dari kulit kepala sehingga hujung rambut.
  4. Periksa kehadiran kutu pada celah-celah gigi sikat selepas setiap kali sikatan.
  5. Keseluruhan bahagian rambut disikat secara sistematik sekurang-kurangnya dua kali.

Rawatan adalah amat perlu kepada mereka yang dijangkiti kutu kepala. Membotakkan kepala merupakan cara paling mudah, namun mungkin akan memberikan kesan emosi kepada sesetengah pesakit. Sebagai pilihan, terdapat pelbagai syampu antikutu (pedikulosid) yang boleh didapati di pasaran. Walau apapun jenama yang dipilih, pastikan anda menggunakan syampu kutu tersebut mengikut arahan yang diberikan. Kebiasaannya, syampu antikutu perlu dibiarkan selama beberapa jam (bergantung kepada jenama) pada bahagian rambut sebelum dibilas. Penggunaannya perlu diulang selepas tujuh hari bagi memastikan keseluruhan kutu pada kepala dapat dibasmi. Penyisihan kutu melalui sikatan basah secara kerap (diulang pada hari ke-5, 9 dan 13) juga boleh dijadikan alternatif terutama bagi peringkat awal kanak-kanak atau golongan yang mengelak daripada menggunakan terapi secara kimia.

 

 

Tahukah Anda?

  • Kutu kepala perlu berada pada kepala manusia untuk terus hidup. Sekiranya tidak berada pada kepala, kutu akan mati dalam tempoh dua hingga tiga hari.
  • Kutu betina bertelur sebanyak 6-8 telur sehari dan mampu bertelur lebih 100 biji sepanjang hayatnya.
  • Kutu bergerak secara merangkak. Kutu tidak melompat, tidak terbang dan tidak menggunakan haiwan peliharaan sebagai pembawa.

Search

+