Komplikasi dan risiko wanita hamil

29 Nov 2021 Artikel

Soalan:

 

1.  Wanita mengandung yang dijangkiti COVID-19 dan dimasukkan ke hospital kerana berisiko berdepan komplikasi serius selain boleh berdepan risiko tinggi melahirkan bayi pramatan.

Sepertimana yang kita sedia maklum, pesakit yang dijangkiti Covid-19, dibahagikan kepada beberapa katogeri yakni katogeri 1 hingga 5. Mereka yang diklasifikasikan sebagai katogeri 4b atau 5 lazimnya memerlukan bantuan pernafasan iaitu intubasi(ditidurkan dalam istilah umum). Sekiranya kandungan kehamilan telah besar yakni 26 minggu keatas, ia secara tidak langsung ia akan menyengkang pergerakan diafram di dada. Ini boleh membantut pertukaran oksigen di dalam badan disebabkan kapasiti paru-paru menjadi kecil. Bagi membolehkan paru-paru kembali berkembang secara maksimum, bayi yang dikandung haruslah dikeluarkan dari rahim ibu. Sekiranya bayi yang dilahirkan sebelum 36 minggu kehamilan, ia dianggap sebagai kelahiran pramatang. Mereka yang didiagnos sebagai katogeri 1-3 lazimnya tidak memerlukan kepada intubasi. Oleh itu mereka tidak perlu kepada kelahiran pramatang. 

 

2.  Apakah wanita hamil lebih sukar sembuh daripada Covid-19?

Secara amnya, wanita hamil mempunyai kadar imuniti yang lebih rendah berbanding orang lain. Mereka ini lebih mudah dijangkiti penyakit. Sekiranya mereka mempunyai kencing manis, darah tinggi, masalah jantung, asma atau masalah kesihatan yang lain, tahap imuniti mereka menjadi lebih rendah. Kebolehan mereka melawan sebarang jangkitan menjadi rendah dan mereka akan terdedah kepada komplikasi yang lebih teruk. Mereka yang diklasifikasi sebagai katogeri 1 atau 2 lazimnya akan sembuh sekiranya mereka tidak mempunya masalah kesihatan yang lain. Namun bagi mereka yang diklasifikasikan sebagai katogeri 4 atau 5, kadar peratus kesembuhan menjadi lebih rendah disebabkan imuniti yang rendah. Kadar peratusan ini akan turun lagi sekiranya mereka mempunyai masalah kesihatan yang lain.

 

3.  Wanita hamil berisiko komplikasi lebih tinggi?

Apabila seseorang wanitu itu hamil, akan berlaku perubahan dalaman secara semulajadi. Antara perubahan yang dialami oleh setiap wanita hamil ialah darah mereka menjadi lebih likat (`hypercoaguable state’). Ini menyebabkan mereka lebih cenderung mengalami masalah darah beku di dalam badan. Sekiranya wanita tersebut dijangkiti penyakit seperti jangkitan Covid-19, kadar kelikatan darah mereka meningkat dan ini menyebabkan mereka menjadi lebih berisiko untuk mendapat komplikasi seperti darah beku di paru-paru serta kegagalan buah pinggang.

 

4. Bolehkah virus itu disebar dari ibu ke bayi dalam kandungan, atau semasa kelahiran?

Terdapat beberapa laporan menyatakan kemungkinan transmisi virus dari ibu kepada bayi dalam kandungan boleh berlaku sewaktu kehamilan. Ini dibuktikan dengan penemuaan virus pada uri(placenta), tali pusat bayi, air ketumban serta bayi yang diasingkan selepas kelahiran didapati positif dengan jangkitan Covid-19. Namun peratusannya sangat kecil yakni kurang dari 3%. Lazimnya, bayi ini akan diuji untuk jangkitan virus pada hari pertama kelahirannya. Sekiranya keputusan adalah negatif, pemeriksaan ulangan akan dibuat pada hari ketiga kelahiran. Kebanyakan bayi mempunyai result yang negatif pada hari pertama serta hari ketiga kehamilan. 

 

5. Bagaimana proses kelahiran berbeza bagi wanita hamil yang dijangkiti Covid-19?

    Ada yang perlu menjalani caesarean. Bagaimana peluang kedua-dua ibu dan bayi ini selamat selepas caesarean?

Wanita hamil yang dijangkiti Covid-19 lazimnya akan dinasihatkan untuk menjalani kelahiran secara pembedahan caesarean. Sekiranya pembedahan ini dilakukan ketika kehamilan telah matang serta keadaan wanita itu stabil, pembedahan ini selamat dilakukan dan kadar komplikasi adalah sama seperti mereka yang sihat. 

Namun sekiranya pembedahan ini terpaksa dilakukan pada wanita hamil katogeri 4 atau 5 yang mana kandungan masih belum matang, sudah tentu akan ada komplikasi kepada  bayi tersebut. Ini kerana bayi tersebut terdedah kepada risiko berkaitan dengan pramatang yang mungkin memudaratkan di masa akan datang. Keputusan untuk mengeluarkan bayi pramatang haruslah dbincang bersama pakar kanak-kanak serta pakar bius.  Alat pernafasan bayi(ventilator) haruslah disediakan bagi menyambut bayi pramatang ini. Keputusan untuk mengeluarkan bayi ini adalah penting sebagai usaha untuk merawat paru-paru ibu yang telah terkesan dengan penyakit Covid-19.



6.  Difahamkan ada ibu hamil yang meninggal dunia tidak sempat dapat dua dos vaksin. Jelaskan mengenai tahap ini, selepas mendapat vaksin dos pertama  – sejauh peratus  tahap imuniti mereka dan apabila mendapat dos kedua pula berapa peratus tahap imuniti mereka (adakah ini sudah mencukupi).

Jujur saya katakan, yang saya tidak mempunyai data yang sebenar untuk kadar penyakit Covid-19 di kalangan ibu hamil di Malaysia. Saya jugak tidak pasti berapa ramai wanita hamil telah menerima vaksinasi. Saya hanya boleh berkongsi dari segi pengalaman serta permerhatian saya sahaja. Sekilas pandang di dalam wad biasa sahaja (wad bukan covid), saya dapati 40-50% ibu yang telah selamat bersalin masih belum berkesempatan mendapatkan vaksinasi. Pada awal pandemik ini, peratusan wanita hamil dijangkiti Covid -19 adalah sangat rendah. Namun sejak kebelakangan ini, kadar kemasukan wanita hamil ke hospital meningkat dengan mendadak. Ini mungkin disebabkan variant yang baru yang lebih agresif. Secara purata, 20-30% wanita hamil yang dijangkiti penyakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital merupakan mereka yang terdiri dari katogeri 4 dan 5 yang mana mereka memerlukan bantuan alat pernafasan. Kebanyakan mereka ini masih belum berkesempatan mendapat vaksinasi. Mungkin ada satu atau dua orang yang baru mendapat satu dos vaksin untuk katogeri 4. Selebihnya masih belum lagi menerima vaksin. Ini menunjukkan keberkesanan satu dos vaksinasi adalah tidak mencukupi untuk melindungi diri wanita hamil ini. Untuk katogeri 1 atau 2, kebanyakan kes yang dirawat telahpun menerima dua dos vaksinasi mereka. Oleh itu kadar jangkitan yang dialami adalah tidak begitu teruk. 

 

7. Jelaskan mengenai prosedur ibu hamil yang terpaksa dimasukkan ICU, kemudian ditidurkan, juga ada yang ditelengkupkan, bagaimana semua proses ini membantu menyelamatkan pesakit.    

Apabila kadar oksigen dalam badan menurun, seseorang itu akan tercungap-cungap dalam usaha untuk mendapat lebih oksigen. Sekiranya dibiarkan berterusan, mereka menjadi sangat letih serta tidak mampu lagi menarik nafas dengan sempurna. Mereka ini perlu diberi oksigen dengan kadar segera melalui tiub kecil di hidung, mask muka atau intubasi bergantung pada paras oksigen mereka. Apabila paras oksigen terlalu rendah yang mana pernafasan semulajadi tidak lagi mampu menampung keperluan badan, intubasi akan dilakukan oleh doktor untuk mengambil alih proses pernafasan itu. Pada ketika itu, mereka akan diberi bius untuk membolehkan intubasi dilakukan(`ditidurkan’). Oksigen akan dipam ke seluruh badan secara mekanikal. 

Apabila seseorang itu berada dalam posisi melentang, jantung serta organ dalaman seperti usus, hati dan limpa akan menekan paru-paru. Ini membatas perkembangan paru-paru tersebut serta pergerakan diafram. Kehadiran bayi didalam rahim yang besar juga akan memburukkan lagi keadaan ini. Pada masa yang sama disebabkan graviti, terdapat perbezaan di antara tekanan di antara paru-paru di bahagian atas dan bawah yang menyebabkan alveoli di bahagian bawah menguncup. Kadar aliran darah adalah tinggi dibahagian bawah namun pertukaran oksigen tidak berlaku kerana alveoli telah menguncup. Apabila pesakit ditelangkupkan, pertukaran posisi ini membantu pengembangan alveoli yang menguncup tadi. Alveoli ini boleh berkembang dengan baik dan ini membantu dalam pertukaran oksigen-karbon dioksida di dalam badan. Apabila ini berlaku, paras oksigen dapat dipulihkan. 

Kehadiran bayi dalam rahim menyukarkan pertukaran posisi ini. Setelah diambil kira risiko kepada ibu, kelahiran secara pembedahan caesarean harus dilakukan dalam usaha untuk membantu meningkatkan kadar oksigen di dalam badan wanita tersebut. 

 

8. Apa akan jadi kepada ibu hamil yang masih belum dapat vaksin,  walaupun sudah memasuki  10 minggu atau ada yang sudah melebih kehamilan 20 minggu? 

Memandangkan bilangan kes yang kian meningkat saban hari, sudah tentu wanita hamil ini terdedah kepada jangkitan Covid-19. Pada waktu ini, kita sudah tidak dapat menjangka dari mana punca jangkitan ini. 

 

9.  Bagaimana ingin mengawal paras oksigen turun dalam kalangan ibu hamil ini? Apakah implikasi yang akan pesakit derita apabila paras oksigen mereka menurun?

10. Ibu hamil  yang mempunyai penyakit kronik seperti asma, kencing manis, obesiti dan sebagainya, lazimnya lebih berisiko tinggi dijangkiti dan harapan untuk sembuh/atau diselamatkan nyawa mereka tipis ? apa pandangan dr berkaitan ini.

Seperti yang telah nyatakan tadi, mereka yang mempunyai masalah kesihatan mempunyai risiko yang tinggi, namun ini tidak bermakna harapan untuk sembuh adalah nipis atau tiada sama sekali. Sekiranya masalah kesihatan mereka berada pada tahap kawalan yang baik, In syaAllah harapan untuk sembuh tetap ada lebih-lebih lagi sekiranya mereka diklasifikasikan sebagai katogeri 1 atau 2. 

Namun, bagi mereka yang diklasifikasi sebagai katogeri 4 atau 5, kadar kesembuhan mereka adalah sekitar 40-50%. 

 

11. Bagi ibu hamil yang tiada sebarang penyakit kronik, tetapi dijangkiti COVID-19, bagaimana kebarangkaliannya untuk sembuh dan diselamatkan nyawa mereka.  

Bagi ibu hamil yang telah menerima dua dos vaksinasi dan tidak mempunyai masalah kesihatan yang lain, sekiranya mereka dijangkiti penyakit Covid-19, mereka lazimnya dklasifikasikan sebagai katogeri 1 atau 2. In syaAllah kadar kesembuhan mereka lebih tinggi jika dipantau dengan rapi serta diberi rawatan awal.

 

12. Kongsi pengalaman doktor mengenai pesakit-pesakit  hamil yang datang mendapat rawatan terutama kes kronik, (merujuk kepada soalan di atas).

Setahun yang lalu, kita lihat ramai warga tua yang dijangkiti penyakit Covid-19 dan ramai di kalangan mereka ini meninggal dunia disebabkan komplikasi Covid-19 serta masalah kesihatan sediada. Kini kita lihat ramai yang muda masuk ke wad disebabkan jangkitan Covid-19. Ada di antara mereka ini tidak mempunyai sebarang sejarah kesihatan, dalam erti kata lain -`sihat’. Ramai yang kecundang dalam melawan jangkitan ini. Wanita hamil mempunyai risiko kematian 1.8-2.5 kali ganda berbanding dengan populasi umum. Kebanyakan wanita yang dimasukkan di wad memerlukan bantuan oksigen. Imbasan X-ray paru-paru menunjukkan jangkitan Covid-19 telah menyerang paru-paru mereka menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk bernafas. Adakalanya inflamasi yang dihasilkan oleh virus tersebut menyebabkan saluran darah menjadi tidak normal serta cenderung kepada pembentukan darah beku yang kecil yang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang. Bila ini terjadi, adakalanya sukar diubati. Ini kerana sehingga kini, tiada ubat yang mampu membunuh virus tersebut. Virus merupakan sejenis makluk yang mampu merubah bentuk untuk melawan persekitaran yang tidak kondusif baginya. Ia akan berubah untuk menjadi lebih kuat untuk kelangsungan hidupnya.

 

13.  Bagaimana penjagaan kesihatan sepatutnya dalam kalangan wanita mengandung untuk elak dijangkiti COVID-19

Setiap wanita mengandung haruslah menjaga kesihatan badan mereka dengan memastikan mereka berada pada tahap imuniti yang baik. Mereka haruslah menjaga pemakanan mereka serta aktif melakukan pergerakan. Sekiranya mereka mempunyai masalah kesihatan, mereka perlu memastikan masalah itu terkawal. Pada masa yang sama, mereka harus sentiasa memakai pelitup muka sekiranya berada di luar rumah walaupun ianya amat merimaskan. Perlu sentiasa amalkan kebersihan diri serta kerap membasuh tangan. Buat masa ini, kurangkan masa berada di luar rumah terutamanya tempat awam yang ramai orang sekiranya tiada keperluan. Memang adakalanya kta berasa bosan berada di dalam rumah, namun kita harus berikhtiar untuk melindungi diri serta bayi yang dikandung. Kesihatan mental juga adalah penting bagi memastikan ibu dan bayi yang dikandung berada dalam kesihatan yang optimum.

 

14.  Keperluan dan vaksin kepada ibu hamil. Jelaskan lebih lanjut berkaitan ini bagi mengelak jangkitan.

Dari apa yang kita dah lihat, ibu hamil yang belum berkesempatan untuk mendapat dua dos vaksinasi, sekiranya mereka dijangkiti penyakit Covid-19, mereka akan mendapat jangkitan yang lebih teruk(katogeri 4 atau 5) yang mana kita semua tahu buat masa ini kadar kesembuhan adalah jauh lebih rendah. Manakala mereka yang telah menerima dua dos vaksinasi, sekiranya mereka masih dijangkiti dengan penyakit Covid-19 ini, jangkitan adalah tidak begitu teruk dan kadar kesembuhan adalah lebih tinggi. Oleh itu saya menyeru semua wanita hamil untuk tampil berjumpa doktor untuk berbincang mengenai vaksinasi serta mendapatkannya dengan dengan kadar segera. Kalau mengikut guideline semasa, vaksinasi diberi apabila kandungan mencecah usia 13 minggu hingga 33 minggu. Ini kerana ramai wanita risau sekiranya vaksinasi diberi semasa pembentukan janin. Pada masa yang sama, tiada masalah untuk menerima vaksinasi selepas 33 minggu . Buat masa ini, kita tidak boleh menghalang jangkitan itu sama sekali, tetapi kita mampu merendahkan risiko jangkitan Covid-19 kepada diri kita serta komplikasinya. Sama-sama kita berusaha menjaga kesihatan diri kita serta menghindar diri dari dijangkiti penyakit Covid-19. Kita kini tahu yang satu dos vaksinasi tidak mampu menghalang jangkitan Covid-19 yang lebih agresif ini. 

Search

+