Klinik Berhenti Merokok (KBM) di Klinik Primer Cheras PPUKM mula ditubuhkan pada 2010 hasil usahasama di antara Jabatan Perubatan Keluarga dan Jabatan Farmasi. Klinik ini dikendalikan oleh Pakar Perubatan Keluarga yang berpengalaman dalam membantu pesakit berhenti merokok. Tujuan utama KBM adalah bagi membantu perokok yang ingin dan bertekad untuk membuang tabiat yang merbahaya ini.

Ramai perokok sedar kesan berbahaya rokok kepada diri sendiri dan orang-orang yang tersayang. Sebahagian daripada mereka pernah mencuba untuk berhenti sendiri namun tidak berjaya kerana mengalami ketagihan nikotin, Antara gejala ketagihan nikotin adalah mempunyai keinginan untuk merokok yang sangat kuat (‘craving’), sukar untuk menumpukan perhatian, mudah marah serta merasa gelisah atau murung. Dengan adanya bantuan profesional, ubat-ubatan dan terapi tingkah laku yang diberikan oleh pegawai perubatan yang bertauliah di Klinik Berhenti Merokok (KBM), usaha perokok untuk berhenti merokok dan merawat ketagihan nikotin adalah lebih mudah. Tanpa bantuan profesional, hanya 4-7 orang daripada 100 perokok akan berjaya berhenti merokok.
