LATAR BELAKANG
Poliklinik Warga beroperasi di tingkat satu blok klinikal HCTM. Klinik ini menawarkan rawatan perubatan primer kepada kakitangan HCTM dan UKM, pelajar Kampus Kuala Lumpur UKM, tanggungan kakitangan HCTM dan UKM serta pesara UKM dan pasangan.
Antara khidmat yang ditawarkan di Poliklinik Warga adalah rawatan perubatan kes akut, rawatan susulan, rawatan penyakit tidak berjangkit, rawatan pakar perubatan keluarga, saringan kesihatan, rawatan ibu mengandung, vaksinasi pesakit dewasa, rujukan ke klinik pakar HCTM dan rujukan kemasukan wad.
Rawatan di Poliklinik Warga disediakan oleh pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, ketua jururawat, jururawat terlatih, pembantu perawatan kesihatan dan diselia oleh pakar perubatan keluarga.
Polisi ini disediakan sebagai panduan dan rujukan dalam pengurusan klinik. Walau bagaimanapun pelaksaan polisi ini adalah tertakluk kepada kesesuaian dan keperluan semasa klinik dengan mengambil kira keupayaan prasarana dan sumber manusia. Pengurusan klinik akan menyemak polisi ini sekurang-kurangnya sekali setahun selari dengan perkembangan perkhidmatan dan keupayaan sumber manusia.