Program Suntikan Vaksinasi Influenza Kakitangan HCTM Tahun 2025

13 Dec 2025 2025, Berita

Pada 13 hingga 17 Oktober 2025 yang lalu, Unit Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (UKKP) telah menganjurkan Program Suntikan Vaksinasi Influenza bagi Kakitangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) bertempat di Wad 4B, Tingkat 4, Blok Klinikal HCTM. Sepanjang tempoh program berlangsung, seramai 2,976 orang kakitangan telah menerima suntikan vaksin influenza. Program ini akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan UKKP bagi memastikan kesejahteraan serta tahap kesihatan warga kerja HCTM sentiasa terpelihara.

 

Program Pengurusan Peralatan Perlindungan Diri HCTM 2025

6 Nov 2025 2025, Berita

UKKP telah menganjurkan Program Pengurusan Peralatan Perlindungan Diri (PPE Program) HCTM 2025 pada 29 Oktober 2025 bertempat di Auditorium HCTM.

Program ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman kakitangan HCTM berkaitan pemilihan, penggunaan, penyelenggaraan dan pelupusan PPE yang betul dan selamat untuk persekitaran hospital.

Pengisian program ini telah disampaikan oleh Ts. Baderin Osman, Pakar Teknikal (III) dan Puan Haalah Mahmud, Pegawai Teknikal dari National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH). Program sehari ini telah berlansung dengan jayanya dengan penyertaan seramai kira-kira 70 orang kakitangan HCTM.

Pelancaran Dasar Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Pekerjaan (KKPP) HCTM

20 Jan 2025 2025, Berita

Selaras dengan perubahan pentadbiran HCTM serta keperluan kepatuhan kepada perundangan, Dasar KKPP HCTM sedia ada perlu dikemaskini dan dihebahkan kepada seluruh warga dan pelanggan HCTM.

Dasar KKPP HCTM yang telah dikemaskini dengan beberapa penambahbaikan ini telah dilancarkan dalam Majlis Bicara HCTM: 45 Minit Bersama Pengarah. Majlis ini telah berlangsung pada 14 Januari 2025 bertempat di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jaafar, HCTM.

Sebagai simbolik pelancaran, Dasar KKPP HCTM yang baharu ini telah ditandatangani secara digital oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM. Mengiringi pelancaran ini Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran) dan Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, serta Ketua Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Dr. Khamsiah Nawawi.

Setiap jabatan perlu memastikan Dasar KKPP ini dibaca dan dipamerkan di jabatan masing-masing. Warga HCTM boleh merujuk dasar ini pada pautan dibawah:

Dasar Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Pekerjaan (KKPP) HCTM

POSTER Dasar KKPP_Signed

 

 

Ceramah Diabesiti : Pencegahan dan Kawalan

20 Jan 2025 2025, Berita

Pada 7 Januari 2025 yang lalu, UKKP telah menganjurkan satu ceramah berkaitan kesihatan yang bertajuk Diabesiti: Pencegahan dan Kawalan. Ceramah ini telah disampaikan oleh Profesor Dr. Norlaila Mustafa, Pakar Perunding Endokrinologi & Perubatan, Jabatan Perubatan HCTM bertempat di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jaafar, HCTM. Walaupun program ini dilaksanakan pada awal tahun, ia telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan kehadiran seramai 204 orang kakitangan dari pelbagai jabatan.

Search

+