LATIHAN KEBAKARAN DEWAN BEDAH HCTM 2023

17 Nov 2023 2023, Berita

Unit Perkhidmatan Dewan Bedah HCTM telah mengambil inisiatif melaksanakan latihan kebakaran kali kedua pada 10 November 2023 yang lalu. Tim Keselamatan UKKP telah dijemput sebagai pengadil latihan bersama-sama pihak Bahagian Keselamatan KKL dan Jabatan Pembangunan Prasarana. Latihan kebakaran ini bermula di Luar Bilik Persediaan Bilik Bedah 5 dan berakhir di tempat berkumpul selamat berhampiran Lift Core A.

Objektif utama latihan ini adalah untuk menilai kecekapan kakitangan dewan bedah dalam menangani situasi kecemasan kebakaran ketika sesi pembedahan sedang berlansung. Latihan ini juga turut disertai oleh Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Ketua Perkhidmatan Dewan Bedah, Prof. Madya Dr. Raha Abdul Rahman dan Ketua Bahagian Keselamatan KKL, Kapten (B) Hamon Rafiz Abd Hamed.

Sesi post-mortem telah dijalankan sejurus latihan selesai bagi mendapatkan maklumbalas para pengadil berkaitan langkah-langkah penambahbaikan yang perlu dalam menghadapi situasi kecemasan di Dewan Bedah. Kesemua pengadil memberi maklum balas yang positif terhadap usaha dan komitmen Unit Perkhidmatan Dewan Bedah dalam melaksanakan aktiviti latihan kebakaran ini.

Tahniah dan syabas diucapkan!

AUDIT OCCUPATIONAL SAFETY & HEALTH WORKPLACE ASSESSMENT (OSHWA) OLEH JABATAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA (JKKPWPKLP)

14 Nov 2023 2023, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz telah menerima kunjungan lawatan dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKKPWPKLP) pada 31 Oktober 2023 untuk menjalankan audit Occupational Safety & Health Workplace Assessment (OSHWA). Audit ini meliputi semua aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja yang berisiko tinggi seperti HCTM. Ia adalah sebagai pematuhan kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.

Majlis telah dimulakan dengan taklimat KKP oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr Razmin Jarmin, Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Persekitaran HCTM. Turut hadir ialah YBhg. Prof. Dr. Mohd Nizam Ab. Rahman, Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM) serta Prof. Madya Dr. Hanita Othman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan).

Berdasarkan pengauditan, tiada isu besar yang diutarakan dan pihak Penguatkuasa JKKPWPKLP berpuas hati terhadap pematuhan Akta OSHA 1994 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan HCTM selaku urusetia ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Pengurusan dan Warga HCTM yang bekerjasama memudahkan sesi lawatan audit. Terima kasih juga kepada pihak ROSH UKM.

MESYUARAT AGUNG & PERSIDANGAN TAHUNAN APOSHO 2023

14 Nov 2023 2023, Berita

Pada 24 & 25 Oktober 2023, wakil dari Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan HCTM telah menyertai Mesyuarat Agung & Persidangan Tahunan APOSHO 2023 yang dianjurkan oleh The Malaysian Society for Occupational Safety and Health (MSOSH) bertempat di MBSA Convention Centre, Shah Alam. Persidangan ini disertai delegasi dari lebih 40 negara untuk membincangkan isu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Asia Pasifik.

Acara tiga hari itu, bertemakan ‘Melangkah Ke Hadapan Melangkaui Pematuhan’ berharap dapat membincangkan isu dan trend yang berkaitan dengan penggubal dasar, pengamal KKP dan kesejahteraan masa depan pekerja.

Sebagai tambahan kepada Sesi Plenari, terdapat sesi tertumpu kepada isu semasa seperti kesihatan pekerjaan, kesihatan mental dan kesejahteraan, pendigitalan dan kesannya terhadap OSH, kebersihan industri dan beberapa bidang lain yang berkaitan dengan OSH.

Persidangan ini turut mengumpulkan pakar dan pengamal pemikiran untuk membincangkan isu dan cabaran ini, supaya kami boleh meneroka beberapa cabaran dalam OSH dan meneroka pilihan yang tersedia untuk mengurusnya, sama ada melalui perubahan dasar, atau aplikasi praktikal konsep dan amalan OSH, atau penggunaan teknologi dan pendekatan baharu.

Klinik Kesihatan Pekerjaan

31 Oct 2023 2023, Berita

Klinik Kesihatan Pekerjaan akan mula beroperasi pada 1 November 2023. Beberapa perkhidmatan yang disediakan adalah Medical Surveillance, Penyakit Pekerjaan, Kecederaan Tajam, Vaksinasi, Penilaian Pra-Penempatan. Sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi 03-9145 6531.

 

PEMANTAUAN TANDA LARANGAN MEROKOK DI PREMIS MAKANAN HCTM

15 Sep 2023 2023, Berita

Disepanjang suku ke 2 tahun 2023, pemantauan tanda larangan merokok telah dijalankan pada semua premis makanan di HCTM. Aktiviti ini diketuai oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran selaku Pegawai Diberi Kuasa menurut Subseksyen 3(2) Akta Makanan 1983, dari Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan HCTM.

Berdasarkan peruntukan undang undang dalam Akta Makanan 1983, Peraturan – Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 :-

Seksyen 12(1) Tuan punya atau penghuni premis atau tuan punya kenderaan yang disebut dalam peraturan 11 hendaklah pada setiap masa—

  1. a)mempamerkan suatu tanda sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga berkenaan dengan larangan merokok di mana-mana bahagian yang mudah dilihat pada premis atau kenderaan itu; dan
  2. b)   memastikan bahawa tiada seorang pun merokok di dalam premis atau kenderaan itu.

Hasil dapatan pemantauan, kesemua premis makanan telah berganding bahu bagi memastikan 100% premis makanan di HCTM memaparkan tanda larangan merokok mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Kerjasama semua pihak terutamanya dari pengusaha premis makanan dalam menjayakan aktiviti ini amat dihargai dan diharap dapat memastikan persekitaran HCTM yang sihat tanpa rokok.

 

PEMANTAUAN VENDING MACHINE DI HOSPITAL CANSELOR TUANKU MUHRIZ (HCTM)

15 Sep 2023 2023, Berita

Sepanjang bulan Ogos 2023, Pemantauan Vending Machine (Mesin Jual Makanan & Minuman) telah dijalankan oleh Penolong Pegawai Kesihatan dari Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan kerjasama Bahagian Penjanaan, Jabatan Kewangan dan Jawatankuasa Pemantauan dan Keselamatan Makanan HCTM.

Kandungan dan keadaan fizikal mesin menjadi antara komponen utama yang diperiksa disamping kebersihan persekitaran serta keselamatan dan kualiti makanan di dalam mesin.

Pemantauan yang berterusan akan dijalankan dari masa ke masa bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan adalah bersih dan selamat kepada pengguna.

PERASMIAN MINGGU KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN HOSPITAL CANSELOR TUANKU MUHRIZ 2023

15 Sep 2023 2023, Berita

CHERAS, 21 Ogos – Persekitaran Kerja yang Selamat dan Sihat Merupakan Hak Asasi dipilih sebagai tema bagi sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Hospital Canselor Tuanku Muhriz 2023. Majlis perasmian telah dirasmikan oleh Ir. Hj. Mohd. Hatta Zakaria, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) WPKL. Majlis dimulakan dengan kata alu aluan daripada Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Persekitaran HCTM.

Penglibatan yang menggalakkan telah ditunjukkan oleh kakitangan dan warga HCTM. Pelbagai program menarik telah dijadualkan sepanjang Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan HCTM 2023 yang bermula dari 21 hingga 25 Ogos 2023. Diharapkan dengan penganjuran Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan HCTM ini dapat memberikan pendedahan dan kesedaran berkenaan kepentingan aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja sekaligus meningkatkan integriti dan tanggungjawab terhadap risiko dan bahaya kemalangan.

Secara kesimpulannya, semoga penganjuran program yang memberi impak berterusan kepada kakitangan seperti ini diteruskan pada masa akan datang.

 

 

PAMERAN MINGGU KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN HCTM 2023

15 Sep 2023 2023, Berita

CHERAS, 23 Ogos- Pameran Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan HCTM 2023 telah berlangsung selama 3 hari bermula 21 hingga 23 Ogos 2023. Pelbagai Jabatan di HCTM bersama dengan beberapa agensi kerajaan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Pejabat Kesihatan Cheras dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan telah turut serta bagi membuka reruai dan membuat pameran.

Pameran dan penerangan yang jelas dan bermanfaat daripada kakitangan yang bertugas amat membantu mempromosi Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan disamping memberi pendedahan kepada kakitangan dan orang awam berkenaan jabatan pempamer. Pelbagai aktiviti menarik turut dijalankan di ruangan reruai bagi menarik kunjungan orang ramai.

Secara kesimpulannya, penglibatan pelbagai agensi dan jabatan di HCTM khasnya berjaya memberi impak dan ilmu baharu kepada para pengunjung disamping mempromosi Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan HCTM 2023.

CERAMAH PERLINDUNGAN KESELAMATAN SOSIAL KAKITANGAN

15 Sep 2023 2023, Berita

CHERAS, 22 Ogos – Sempena Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan HCTM 2023, pelbagai aktiviti menarik seperti ceramah dan seminar telah diadakan. Salah satu daripada pengisisan program Minggu KKP HCTM 2023 adalah Ceramah Perlindungan Keselamatan Sosial Kakitangan yang disampaikan oleh Encik Mohamad Hazrin Bin Md Zainal, Pegawai Eksekutif Cawangan Penguatkuasaan Pejabat PERKESO Putrajaya.

Ceramah yang berlangsung selama dua jam itu diadakan di Auditorium UMBI mengupas tentang fungsi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak PERKESO disamping bantuan-bantuan yang boleh dituntut oleh pekerja jika mendapat kemalangan. Hadirin yang hadir turut berpeluang bertanyakan soalan berhubung kemudahan dan perlindungan yang disediakan oleh pihak PERKESO.

Secara kesimpulannya, jelaslah penganjuran Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dapat menjadi wadah kepada kakitangan dan orang ramai bagi mendapatkan informasi berkenaan perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi agensi kerajaan yang lain, khususnya berkenaan perlindungan keselamatan sosial pekerja.

 

CERAMAH PERSEKITARAN HCTM SIHAT TANPA ROKOK

15 Sep 2023 2023, Berita

CHERAS, 22 Ogos – Hospital merupakan salah satu Kawasan larangan merokok mengikut Akta Makanan 1983, Peraturan- Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004. Penganjuran Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan HCTM 2023 telah memberi ruang bagi sebuah program pendidikan kesihatan untuk diadakan dengan tema Persekitaran HCTM Sihat Tanpa Rokok. Ceramah dilakukan secara dwi-mode secara fizikal di Dewan Kuliah ASSC dan melalui platform sidang video atas talian ZOOM. Ceramah ini mendapat penyertaan yang menyeluruh oleh kakitangan HCTM dan turut ditonton secara atas talian oleh warga UKM Kampus Bangi.

Ceramah terbahagi kepada 2 slot iaitu slot pertama yang disampaikan oleh KPPKP Mohd Hushairi, Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pejabat Kesihatan Cheras yang menekankan berkenaan penguatkuasaan larangan merokok dari segi perundangan. Slot yang kedua disampaikan oleh, Dr Rashidi Mohamed, Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Keluarga, HCTM dengan pengisian berkenaan bahaya rokok dari perspektif kesihatan dan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok di HC

Kesedaran yang tinggi diperlukan bagi memastikan tiada individu yang merokok di kawasan larangan merokok, khusunya HCTM yang merupakan hospital dan fasiliti kesihatan. Justeru itu, penganjuran program Pendidikan seperti ini mampu meningkatkan kesedaran kakitangan dan memupuk sifat tanggungjawab bagi memastikan persekitaran HCTM sihat tanpa rokok.

 

1 2 3

Search

+