PENGENALAN

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) merupakan  sebuah hospital pengajar dan kepakaran perubatan yang beroperasi sejak tahun 1997.  Hingga tahun 2009, kira-kira 873 buah katil telah dibuka bagi memenuhi keperluan pesakit-pesakit yang semakin bertambah termasuk rujukan dari negeri Sabah dan Sarawak. Secara purata dalam setahun, seramai lebih 360,000 pesakit menerima rawatan sebagai pesakit luar dan kemasukan pesakit ke wad pula berjumlah 36,000 orang.

Perkhidmatan terbaik disediakan kepada semua pelanggan HCTM termasuklah bagi mereka yang berkemampuan,  tidak berkemampuan serta pelanggan yang kurang upaya tanpa mengira batasan usia, bangsa, agama dan jantina. Memandangkan keperluan bantuan perubatan yang semakin meningkat dan terdapat pesakit-pesakit yang memerlukan bantuan kecemasan dan segera, maka pihak pengurusan  telah mengambil inisiatif bagi menubuhkan tabung yang dinamakan “Tabung Kebajikan Pesakit Hospital UKM” pada 30 Mac 2000.  Melalui penubuhan tabung ini, badan-badan korporat, swasta, pertubuhan-pertubuhan sukarela dan juga orang perseorangan  dapat menyampaikan sumbangan bakti untuk pembiayaan rawatan pesakit yang benar-benar memerlukan bantuan.

OBJEKTIF PENUBUHAN TABUNG KEBAJIKAN PESAKIT HCTM

  1. Membantu dan memastikan pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan dapat menerima rawatan dan pemulihan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.
  2. Menyalurkan bantuan dan keperluan rawatan yang diperlukan oleh pesakit dalam kadar segera dengan tempoh kelulusan bantuan yang singkat.
  3. Memastikan keperluan rawatan disalurkan kepada golongan pesakit yang layak dan memerlukan melalui penilaian yang terancang.

JENIS-JENIS BANTUAN

BANTUAN PERALATAN PERUBATAN

Antara bantuan peralatan yang diperlukan melibatkan pesakit-pesakit dari unit klinikal pediatrik, ortopedik, kardiologi, onkologi, hematologi, nefrologi, respiratori, oftalmologi, otorinaringologi dan surgeri. Contohnya seperti central line, suction machinecolostomy  bagchemo pot, kerusi roda, cochlear implantoxygen concentrator dan sebagainya.

BANTUAN UBAT-UBATAN

Tabung menyediakan bantuan ubat-ubatan untuk ubat non-formulary (ubat yang tidak dibekalkan oleh kerajaan) tetapi mesti ubat yang diluluskan penggunaannya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

BANTUAN AM

Pembiayaan kos pengangkutan sebelum dan selepas rawatan serta bantuan perbelanjaan kecemasan semasa dalam rawatan di hospital.

KAEDAH PENGURUSAN TABUNG KEBAJIKAN PESAKIT HCTM

Tabung ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tabung Kebajikan Pesakit HCTM. Laporan kewangan tahunan tabung akan diaudit oleh juruaudit dalam dan luar yang dilantik oleh pihak pengurusan HCTM. Semua sumbangan wang dimasukkan ke dalam akaun khas HCTM akan dikecualikan daripada cukai pendapatan.

 

KAEDAH AGIHAN TABUNG

Proses pengagihan dan penyaluran bantuan Tabung Kebajikan Pesakit HCTM adalah seperti berikut:

  1. Pegawai Perubatan mengesahkan pesakit jenis keperluan bantuan dan merujuk pesakit kepada Pegawai di Jabatan Kerja Sosial Perubatan  HCTM.
  2. Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan melakukan penilaian sosioekonomi yang disusuli dengan laporan lengkap bagi permohonan yang layak dikemukakan kepada Jawatankuasa untuk pertimbangan kelulusan berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tabung Kebajikan Pesakit Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
  3. Jawatankuasa ini dipengerusi oleh Pengarah HCTM, keahlian jawatankuasa terdiri daripada Timbalan-timbalan Pengarah, Timbalan Pendaftar, Ketua Jabatan Kewangan, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, dan Ketua Jabatan Kebajikan Sosial Perubatan selaku setiusaha.
  4. Proses pemberian bantuan kepada pesakit yang diluluskan permohonannya akan kendalikan oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan sehingga selesai.

KAEDAH MEMBERI SUMBANGAN

Semua sumbangan wang dimasukkan ke dalam akaun khas HCTM akan dikecualikan daripada cukai pendapatan.

AWAM

  1. Sumbangan kewangan yang ingin disalurkan kepada tabung hendaklah atas nama Hospital UKM melalui cek/ postal order/ money order dan dituliskan  “Tabung Kebajikan Pesakit  HCTM” di belakang cek/ postal order/ money order berkenaan.
  2. No. akaun Hospital UKM ialah 98299115023003 (CIMB Bank).
  3. Resit diberikan bagi setiap sumbangan dan sumbangan anda dikecualikan dari cukai pendapatan menurut Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Rujukan: 01/35/42/51/179-6.1412).

WARGA UKM

  1. Kakitangan UKM yang ingin memberi sumbangan melalui potongan gaji boleh mengisi borang persetujuan dan dihantar ke Jabatan Kewangan HCTM.
  2. Kakitangan yang ingin memberi sumbangan secara Tunai / Cek / Kiriman Pos boleh mengisi borang persetujuan dan dihantar ke Jabatan Kewangan HCTM.

PERTANYAAN LANJUT

Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi kami ditalian di bawah.

No.telefon: 03-9145 5759 / 03-9145 7880
No. Telefon bimbit: 018-4042218