Tahniah Siti ‘Aisyah Amran – Pelajar Cemerlang Kohort 1
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Siti ‘Aisyah Amran dari Disiplin Surgeri dan Rawatan Rapi, Unit Fisioterapi, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), atas kejayaan dinobatkan sebagai Pelajar Cemerlang Kohort 1 bagi Program Sijil Profesional Fisioterapi Kardiovaskular dan Respiratori Lanjutan.
Program yang dilaksanakan oleh Fakulti Perubatan UKM menerusi UKM SHAPE ini merupakan program latihan profesional lanjutan pertama seumpamanya di Malaysia. Berlangsung selama empat bulan, program ini disertai 12 ahli fisioterapi dari seluruh negara dan merangkumi lima modul dengan keseluruhan sembilan jam kredit.
Latihan ini dikendalikan oleh 20 tenaga pengajar profesional yang terdiri daripada pakar bius, pakar bedah jantung, pakar kardiologi, pakar pulmonologi, ahli fisiologi senaman, pakar radiologi dan pakar klinikal fisioterapi, termasuk pakar fisioterapi dari luar negara. Pelaksanaan latihan secara hibrid turut memberikan fleksibiliti dalam penyampaian ilmu serta perkongsian kepakaran.
Menurut Ketua Penyelaras Modul Sijil Profesional, Prof. Madya Dato’ Dr. Nur Ayub, program ini bertujuan memperkukuh kompetensi klinikal ahli fisioterapi dalam pengurusan pesakit kardiovaskular dan respiratori yang kompleks. Skop latihan merangkumi penilaian klinikal secara sistematik, pengurusan pesakit kritikal, mobilisasi awal di unit rawatan rapi (ICU), penggunaan teknologi ultrabunyi, serta prahabilitasi dan rehabilitasi selepas pembedahan utama. Pendekatan latihan berasaskan bukti saintifik ini diharap dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan rehabilitasi dan hasil pemulihan pesakit, seiring dengan kemajuan teknologi perubatan.
Majlis penyampaian sijil disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Siswazah) Fakulti Perubatan UKM, Prof. Datin Dr. Norlinah Mohamed Ibrahim, sebagai pengiktirafan kepada peserta yang berjaya menamatkan program berkenaan.
Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada warga fisioterapi untuk terus mempertingkat ilmu, kemahiran dan kompetensi profesional, sekali gus menyumbang kepada pembangunan kepakaran fisioterapi kardiorespiratori di Malaysia.
Syabas dan tahniah kepada Siti ‘Aisyah Amran atas kejayaan ini, serta kepada semua peserta Kohort 1 dan tenaga pengajar tempatan serta antarabangsa yang menjayakan program ini.





