Pengukuhan Persepsi Pertuturan Melalui Latihan Auditori Tingkat Kompetensi Klinikal Ahli Terapi Pertuturan-Bahasa dan Ahli Audiologi HCTM
Program yang berlangsung di Unit Terapi Pertuturan, HCTM ini telah disertai oleh ahli audiologi dan ahli terapi pertuturan-bahasa HCTM. Sesi bermula pada jam 8.00 pagi dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Unit Terapi Pertuturan sebelum diteruskan dengan sesi pembelajaran dan latihan secara interaktif.
Penganjuran bengkel ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh proses privileging dan credentialing bagi ahli terapi pertuturan-bahasa, di samping meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang persepsi pertuturan melalui latihan auditori. Peserta turut didedahkan kepada pendekatan dan teknik yang boleh diaplikasikan dalam penilaian serta rehabilitasi pendengaran dan pertuturan.
Selain sesi teori, ahli terapi pertuturan-bahasa turut berpeluang mengikuti sesi bimbingan klinikal secara praktikal bersama Asst. Prof. Dr. Juliana Aminah binti Marhaban. Dalam sesi ini, peserta dapat mempraktikkan secara langsung teknik dan kemahiran yang telah dipelajari melalui pengendalian kes klinikal di bawah tunjuk ajar beliau. Pendekatan pembelajaran secara hands-on ini memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan keyakinan, memperkukuh kompetensi klinikal serta memastikan kemahiran yang diperoleh dapat diaplikasikan secara berkesan dalam amalan harian.
Melalui latihan ini, ahli audiologi dan ahli terapi pertuturan-bahasa berpeluang mempertingkatkan kompetensi profesional mereka serta mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam amalan klinikal. Inisiatif ini diharap dapat memperkukuhkan kolaborasi antara disiplin dan seterusnya meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pesakit yang memerlukan intervensi audiologi dan terapi pertuturan.





