Oleh MKA | Foto: MKA

Latihan Mesin THERAKOS ECP

HCTM, 29 Ogos 2019– Pusat Terapi Sel HCTM maju selangkah lagi ke hadapan dengan penempatan satu unit Mesin ECP (Extracorporeal Photopheresis), THERAKOSTM CELLEXTM Photophoresis System yang ditempatkan di Bilik Rawatan Pusat Transplantasi Sel Stem, Pusat Terapi Sel HCTM. Penempatan mesin tersebut di Pusat Terapi Sel adalah hasil inisiatif dari Kumpulan Perkhidmatan Klinikal PTS yang diketuai oleh Pakar Perunding Hematologi & Transplantasi Sel Stem, Dr Wan Fariza Wan Jamaludin. Mesin tersebut digunakan bagi menghasilkan sel-sel imun termodulasi sebagai sebahagian rawatan kepada penyakit-penyakit berkaitan penindasan imun tubuh (immunosuppression) kesan penggunaan steroid di dalam rawatan transplantasi sel stem seperti GVHD (graft versus host disease) dan sebagainya. Lebih membanggakan, mesin tersebut merupakan peralatan tunggal seumpamanya di HCTM dan merupakan hospital kedua di Malaysia yang memilikinya selepas Hospital Ampang Selangor. Potensi dan fungsi mesin tersebut amat signifikan bagi HCTM kerana mampu memberikan perkhidmatan klinikal yang baru kepada pesakit tanpa perlu merujuk pesakit kepada hospital atau fasiliti kesihatan yang lain.

Oleh yang demikian, satu sesi latihan pengenalan dan amali penggunaan mesin THERAKOSTM ECP telah dijalankan kepada beberapa kakitangan Pusat Terapi Sel, HCTM bertempat di Bilik Seminar dan Klinik/Bilik Rawatan Pusat Terapi Sel HCTM. Latihan telah disampaikan oleh Miss Melenie Lau dari Transmedic Group Singapura. Sepanjang latihan peserta-peserta telah diperkenalkan dengan komponen-komponen mesin THERAKOSTM ECP serta fungsi-fungsinya, keperluan dan prosedur yang betul dalam pengendalian mesin, latihan praktikal pemasangan kit ECP kepada mesin serta simulasi operasi mesin menggunakan air (water-run simulation). Di akhir sesi, Dr Wan Fariza Wan Jamaludin berharap mesin tersebut dapat dimanfaatkan dalam memberi perkhidmatan rawatan yang lebih berkesan kepada selain dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit-pesakit di Pusat Terapi Sel HCTM.