Oleh NAK | Foto: AZM & OMN
01 OKTOBER 2018 – BENGKEL PUBLICATION MARATHON SIRI-1 LONJAKAN KEDUA “MAINTAIN SPEED“
Pada 1 Oktober yang lepas, telah berlangsungnya Bengkel Publication Marathon Siri-1 anjuran Pusat Terapi Sel (PTS) bertempat di Makmal Komputer DOME 1 & 2, Tingkat 13, Bangunan Pra-Klinikal, PPUKM, Cheras, Kuala Lumpur. Siri-1 bengkel ini yang bertemakan Lonjakan Kedua “Maintain Speed” merupakan lanjutan daripada program pra-bengkel Publication Marathon yang telah diadakan pada 28 Ogos yang lalu.
Masih berlandaskan objektif yang sama seperti pra-bengkel, penganjuran siri bengkel ini diteruskan bagi memastikan sasaran penerbitan dapat dicapai oleh setiap individu pada siri akhir bengkel ini (dijadualkan pada 27 Nov 2018) seterusnya membantu PTj mencapai KPI penerbitan tahunan yang telah ditetapkan.
Aturcara dimulakan dengan upacara perasmian yang telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Perubatan, YBhg. Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy, mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan & Inovasi UKM, YBhg. Prof. Dr. Mohd Ekhwan Toriman. Turut hadir pada hari tersebut adalah Timbalan Dekan Penyelidikan & Inovasi PPUKM, Prof. Dr. Ahmad Nazrun Shuid.
Bengkel kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran penceramah dan fasilitator jemputan dari CRIM, UKM dan Penerbit UKM. Para peserta yang terdiri daripada kalangan pensyarah akademik, pakar perubatan, pegawai penyelidik, pegawai sains, jururawat terlatih dan kakitangan pentadbiran telah diberi pendedahan tentang kepentingan aktiviti penerbitan di setiap PTj serta implikasinya terhadap prestasi MyRA universiti khususnya universiti penyelidikan, melalui sesi ceramah yang telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Perancangan, Operasi dan Kualiti CRIM UKM iaitu Prof. Datin Dr. Ruzy Suliza Hashim. Sejurus selepas itu, penceramah jemputan dari Penerbit UKM iaitu Datin Dr. Saadah Hj. Jaffar turut menyampaikan taklimat tentang panduan penyediaan buku dan jurnal kepada peserta selain turut berkongsi tips penulisan yang berkesan bagi membolehkan suatu bahan penerbitan itu diterima oleh penerbit tersohor seterusnya dimasukkan sebagai input KPI MyRA tahunan universiti.

Pegawai Penerbitan (Penerbit UKM), Datin Dr. Saadah Hj. Jaffar menyampaikan taklimat format penulisan buku/jurnal
Walaupun dibebani dengan pelbagai tugasan hakiki, para peserta telah memberi kerjasama dan komitmen yang padu dan dilihat bersemangat bagi menyiapkan tugasan penerbitan yang telah dipertanggungjawabkan mengikut kepakaran bidang masing-masing. Hasilnya, lebih daripada 10 buah buku telah diusulkan semasa sesi pembentangan pelan penerbitan, untuk dikarang/disunting oleh peserta-peserta yang menjadi sasaran penerbitan PTS bagi tahun 2018 – 2020.
Aktiviti yang berlangsung selama satu(1) hari ini telah berjalan lancar dan setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada semua pihak yang telah menjayakan Pra-Bengkel ini khususnya kepada fasilitator-fasilitator jemputan yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan berkongsi tips penulisan berkesan yang amat berguna dalam menyiapkan suatu bahan penerbitan ilmiah. Bengkel ini akan diteruskan dengan siri terakhir iaitu Lonjakan Akhir “Maintain Speed” yang telah dijadualkan pada 27 November 2018.

















