Lawatan Pelajar Kejururawatan Fakulti Perubatan UKM ke Pusat Terapi Sel

8 Jul 2022
Oleh NAK | Foto: NAD

21 Jun 2022 – Seramai 26 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan, Fakulti Perubatan UKM telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Terapi Sel, HCTM. Lawatan tersebut diadakan sebagai memenuhi keperluan kursus Bioteknologi dan Sains Masyarakat bagi pelajar Tahun 2 program tersebut.

Program lawatan terbahagi kepada dua sesi, iaitu i) lawatan ke Wad Transplantasi Sel Stem (Wad 2C) untuk pengenalan tentang perkhidmatan klinikal dalam terapi kanser darah, dan ii) lawatan ke makmal Pusat Terapi Sel untuk penerangan aktiviti makmal tentang kajian sel stem manusia. Pada mulanya, pelajar diberi penerangan tentang pelbagai jenis dan kaedah rawatan penyakit kanser darah yang dilakukan di wad pesakit, di mana salah satu rawatan tersebut adalah transplantasi sel stem. Kemudian, pelajar dibawa ke makmal bagi mengetahui secara ringkas kaedah pemprosesan sampel manusia (khususnya sampel sumsum tulang dan tisu lemak) bagi mendapatkan sel stem yang akan digunakan dalam rawatan penyakit.

Lawatan akademik ini merupakan suatu wadah perkongsian ilmu dua hala di antara PTS dengan warga PPUKM/UKM, sejajar dengan skop perkhidmatan Pusat Terapi Sel sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran bagi bidang terapi berasaskan sel di PPUKM.

Search

+