Lawatan ke Makmal Pusat Terapi Sel & Wad Transplantasi Sel Stem
Kuala Lumpur, 21 Mei 2025- Lawatan ke Makmal Pusat Terapi Sel dan Wad Transplantasi Sel Stem melibatkan pelajar Tahun 2 Program Sarjana Muda Kejururawatan, Fakulti Perubatan UKM telah diadakan pada 20 Mei bertempat di Makmal PINTAS dan Wad BMT (2C). Lawatan ini memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai operasi makmal cGMP, proses pengendalian sel, serta penjagaan pesakit transplantasi dalam persekitaran klinikal berisiko tinggi.
Matlamat utama lawatan ini adalah untuk meningkatkan pemahaman pelajar tentang peranan terapi sel dan transplantasi dalam rawatan moden. Objektif program turut tercapai apabila pelajar berpeluang melihat secara langsung aliran kerja, amalan keselamatan, serta koordinasi antara makmal dan wad, sekali gus membantu mengukuhkan pengetahuan asas dan memantapkan kecekapan mereka dalam bidang kejururawatan klinikal.


