Lawatan Sambil Belajar Pelajar Kejururawatan UKM ke Makmal Pusat Terapi Sel dan Wad Transplantasi Sel Stem, HCTM
Oleh NAK | Foto: MKA
13 Jun 2023 – Seramai 34 orang pelajar Tahun 2 Program Sarjanamuda Kejururawatan UKM telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Terapi Sel, PPUKM pada 13 Jun 2023 yang lalu. Lawatan tersebut diadakan sebagai salah satu perisian kursus Bioteknologi dan Masyarakat yang dimuatkan dalam program tersebut. Pelajar-pelajar telah diberi penerangan tentang proses kerja am di Pusat Terapi Sel yang meliputi kedua-dua bahagian perkhidmatan klinikal dan makmal penyelidikan.
Program lawatan terbahagi kepada dua sesi, iaitu lawatan ke Wad Transplantasi Sel Stem (Wad 2C) untuk pengenalan tentang perkhidmatan klinikal dalam terapi kanser darah, diikuti dengan lawatan ke makmal Pusat Terapi Sel untuk penerangan aktiviti makmal tentang kajian sel stem manusia.
Lawatan akademik ini merupakan suatu wadah perkongsian ilmu dua hala di antara PTS dengan pelajar UKM, sejajar dengan skop perkhidmatan Pusat Terapi Sel sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran bagi bidang terapi berasaskan sel di HCTM.

