Gotong-royong Pasca Banjir di Kediaman Kakitangan PTS (En. Mohd Isa Mohti)
Oleh NAK | Foto: NAK
Negara dikejutkan dengan bencana banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia. Antara kawasan yang paling terjejas di Lembah Klang ialah sekitar Shah Alam, Klang, Hulu Langat dan Kuala Langat dan beberapa daerah di negeri Pahang seperti Mentakab, Temerloh dan Raub. Mangsa banjir mengalami kesan trauma yang amat mendalam selain daripada menanggung kerugian besar seperti kemusnahan tempat tinggal, kereta dan premis perniagaan. Turut terkesan akibat bencana ini adalah salah seorang kakitangan di Pusat Terapi Sel (PTS) iaitu En. Mohd Isa Mohti, Pembantu Perawatan Kesihatan yang bertugas di Makmal Pusat Terapi Sel.
Atas dasar tanggungjawab dan prihatin, PTS mengambil inisiatif untuk menghulur sumbangan dan tenaga bagi membantu memulihkan kembali semangat beliau dan ahli keluarga dalam menghadapi fasa pasca banjir ini. Semua kakitangan PTS turut terlibat dalam mengumpul sumbangan dan mencari barang keperluan asas untuk diagihkan kepada Encik Mohd Isa. Sumbangan yang diberi berbentuk barangan keperluan seperti toto, bantal, selimut, tuala, keperluan mandian, pakaian, bahan pencuci dah bahan makanan asas serta wang ringgit hasil sumbangan ikhlas kakitangan.
Puan Norol Naha Hasan (Penolong Pegawai Tadbir), mengetuai misi ini dengan dibantu oleh beberapa kakitangan PTS yang lain telah hadir menyampaikan sumbangan dan bergotong-royong membersihkan kediaman Encik Mohd Isa di Kg. Sri Andalas, Puchong, Selangor yang terjejas teruk akibat banjir ini. Kumpulan sukarelawan ini bertolak dari HCTM, UKM pada 23 Disember 2021 jam 8.30 pagi dan perjalanan ke Puchong mengambil masa satu jam. Setibanya di sana, usaha dan kerja-kerja pembersihan giat dijalankan sehingga jam 1 petang.
Seluruh warga PTS berharap agar inisiatif ini dapat mengubati kesedihan dan membantu memulihkan semangat Encik Mohd Isa sekeluarga dalam menghadapi ujian ini, di samping dapat meringankan beban akibat kerugian harta benda yang ditanggung beliau sekeluarga.


En. Mohd Isa (empat dari kiri) menerima sumbangan dari wakil PTS

