Oleh NAK | Foto: NAK

20 APRIL 2018 – LAWATAN SAMBIL BELAJAR PELAJAR SARJANA SAINS IPPT, USM KE MAKMAL cGMP PUSAT TERAPI SEL, PPUKM

Pusat Terapi Sel, PPUKM telah menerima lawatan sambil belajar pelajar Sarjana Sains (Penyelidikan Perubatan), Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM Pulau Pinang pada 20 April 2018 yang lalu. Lawatan yang dilakukan khususnya ke makmal cGMP Terapi Sel adalah bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang asas penubuhan makmal bertaraf cGMP, prosedur terapi sel yang dilaksanakan di makmal ini serta penggunaan sel stem dalam terapi pesakit kanser.

Sesi lawatan ini telah disertai oleh seramai 5 orang pelajar sarjana dan diiringi oleh 1 orang pensyarah pengiring iaitu Dr. Nor Hazwani Ahmad, selaku Ketua Program kursus ini. Pelajar-pelajar telah diberi penerangan tentang aktiviti dan proses kerja di makmal cGMP dalam sesi pembentangan yang disampaikan oleh Pegawai Kualiti Makmal cGMP PTS, Puan Nor Azimah Ismail. Pelajar-pelajar seterusnya diberi peluang melihat sendiri suasana dalam fasiliti bertaraf GMP dan telah diberi penekanan khusus tentang kaedah gowningdegowning, yang merupakan salah satu aspek penting dalam prosedur piawai kemasukan ke makmal cGMP.

Secara amnya, lawatan tersebut penting bagi merealisasikan objektif program akademik dalam melahirkan graduan yang mahir bukan sahaja dalam bidang teori, malahan dapat menguasai aspek kajian dan inovasi dalam kajian yang dijalankan di sebuah institusi. Lawatan akademik ini juga merupakan suatu wadah perkongsian ilmu dua hala di antara PTS dengan warga luar, sejajar dengan skop perkhidmatan Pusat Terapi Sel sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran bagi bidang terapi berasaskan sel di PPUKM.