Oleh NAK | Foto: ISK
12 DISEMBER 2017
12 Disember 2017 – Pusat Terapi Sel telah mengadakan program tahunan Sanggar Kerja yang bertemakan “Misi Penjanaan Dalam Prasarana Hospital Universiti” bertempat di Sukmaria, PPUKM.
Program yang berlangsung selama sehari ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pusat Perubatan UKM, Prof. Madya Dr. Hanafiah Harunarashid dan turut dihadiri oleh panel jemputan daripada Khazanah UKM dan Pusat Inovasi Kolaboratif (PIK) UKM, Bangi.
Objektif am penganjuran program ini adalah bertujuan membincangkan strategi penjanaan dengan kadar keberhasilan yang tinggi yang berpotensi dilakukan oleh Pusat Terapi Sel bagi jangka masa panjang. Bagi memastikan strategi penjanaan ini mengikut prosedur dan saluran yang tepat, program ini turut melibatkan penyertaan jabatan dalaman PPUKM seperti UKM Specialist Centre (diwakili oleh Prof. Madya Datuk Dr. Ismail Sagap), Jabatan Kewangan PPUKM dan Jabatan Farmasi PPUKM.
Program dimulai dengan ucapan perasmian oleh Pengarah PPUKM iaitu Prof. Madya Dr. Hanafiah Harunarashid, diikuti dengan sesi ceramah oleh tetamu jemputan iaitu Prof. Madya Datuk Dr. Ismail Sagap (UKMSC) dan Prof. Madya Dr. Maisarah Ahmad (Khazanah UKM). Program diteruskan dengan sesi perbincangan dan pembentangan strategi penjanaan bagi kategori klinikal dan makmal yang telah dipengerusikan oleh Ketua PTS, iaitu Prof. Dr. S Fadilah Abdul Wahid.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif di mana setiap ahli kumpulan dan fasilitator yang terlibat menunjukkan komitmen dan semangat yang tinggi dalam menjayakan misi penjanaan PTS ini. Pelbagai idea bernas dan cadangan telah dikemukakan bagi membantu menentukan hala tuju perkembangan PTS di peringkat yang lebih tinggi lagi.





