Oleh NHI| Foto: NAK
3 JULAI 2019 – LAWATAN PELAJAR KEJURURAWATAN UNIVERSITAS SUMATERA UTARA (MEDAN, INDONESIA) KE PUSAT TERAPI SEL, PPUKM
Seramai 25 orang pelajar kejururawatan dan 6 orang tenaga pengajar dari Fakultas Keperawatan, Universitas Sumatera Utara telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Terapi Sel, PPUKM pada 3 Julai 2019 yang lalu. Pelajar-pelajar telah diberi penerangan tentang proses kerja am di Pusat Terapi Sel yang meliputi kedua-dua bahagian perkhidmatan klinikal dan makmal penyelidikan.
Program lawatan terbahagi kepada dua sesi, iaitu i) lawatan ke Wad Transplantasi Sel Stem (Wad 2C) untuk pengenalan tentang perkhidmatan klinikal dalam terapi kanser darah, dan ii) lawatan ke makmal Pusat Terapi Sel untuk penerangan aktiviti makmal tentang kajian sel stem manusia. Pada mulanya, pelajar diberi penerangan tentang pelbagai jenis dan kaedah rawatan penyakit kanser darah yang dilakukan di wad pesakit, di mana salah satu rawatan tersebut adalah transplantasi sel stem. Kemudian, pelajar dibawa ke makmal bagi mengetahui secara ringkas kaedah pemprosesan sampel manusia (khususnya sampel sumsum tulang dan tisu lemak) bagi mendapatkan sel stem yang akan digunakan dalam rawatan penyakit.
Semasa lawatan ini, banyak info-info berkaitan rawatan transplantasi sel stem telah dikongsikan bersama para pelajar kejururawatan ini sejajar dengan objektif PTS iaitu sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran bagi bidang terapi berasaskan sel.

