Oleh NAK | Foto: NAK
8 MEI 2018 – LAWATAN SAMBIL BELAJAR PELAJAR KEJURURAWATAN UKM KE PUSAT TERAPI SEL, PPUKM
Seramai 31 orang pelajar Ijazah Sarjanamuda Kejururawatan UKM telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Terapi Sel, PPUKM pada 8 Mei 2018 yang lalu. Lawatan tersebut diadakan sebagai salah satu perisian kursus Bioteknologi dan Sains Kemasyarakatan yang dimuatkan dalam program tersebut. Pelajar-pelajar telah diberi penerangan tentang proses kerja am di Pusat Terapi Sel yang meliputi kedua-dua bahagian perkhidmatan klinikal dan makmal penyelidikan.
Program lawatan terbahagi kepada dua sesi, iaitu i) lawatan ke Wad Transplantasi Sel Stem (Wad 2C) untuk pengenalan tentang perkhidmatan klinikal dalam terapi kanser darah, dan ii) lawatan ke makmal Pusat Terapi Sel untuk penerangan aktiviti makmal tentang kajian sel stem manusia. Pada mulanya, pelajar diberi penerangan tentang pelbagai jenis dan kaedah rawatan penyakit kanser darah yang dilakukan di wad pesakit, di mana salah satu rawatan tersebut adalah transplantasi sel stem. Kemudian, pelajar dibawa ke makmal bagi mengetahui secara ringkas kaedah pemprosesan sampel manusia (khususnya sampel sumsum tulang dan tisu lemak) bagi mendapatkan sel stem yang akan digunakan dalam rawatan penyakit.
Lawatan akademik ini merupakan suatu wadah perkongsian ilmu dua hala di antara PTS dengan warga PPUKM/UKM, sejajar dengan skop perkhidmatan Pusat Terapi Sel sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran bagi bidang terapi berasaskan sel di PPUKM.





