SAMBUTAN MERDEKA RAYA PERSATUAN SOKONGAN PESAKIT STROK PPUKM 2015

29 Sep 2015

Tarikh : 16 September 2015 (Rabu)

Masa: 8.30am – 4.30pm

Tempat:

Galeri Bangunan Pendidikan Canselor Tuanku Jaafar, PPUKM

Sambutan Merdekaraya Kelab Pesakit Strok PPUKM “KEKASIH”  Kelab Komuniti Ahli Strok Impikan Harapan)

Aktiviti tahunan sambutan Merdekaraya KEKASIH telah diadakan dengan jayanya pada 16 September yang lalu sempena cuti Hari Malaysia bertempat di Galeri Bangunan Pendidikan Canselor Tuanku Jaafar, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Sejajar dengan objektif penubuhan persatuan KEKASIH, majlis sambutan Merdekaraya ini telah dirancang dan dianjurkan sendiri oleh ahli-ahli kelab ini yang terdiri daripada pesakit-pesakit strok bersama ahli-ahli sokongan iaitu daripada kaum keluarga pesakit dan kakitangan perubatan Pusat Perubatan Primer PPUKM. Aktiviti sebegini dapat memupuk semangat kendiri pesakit dalam merancang dan melaksanakan sesuatu aktiviti dan  secara tidak langsung dapat juga memberikan kesedaran kepada pesakit strok khususnya dan masyarakat luar amnya bahawa pesakit yang telah mengalami strok masih boleh berdikari menguruskan sesuatu acara yang besar.

Seramai lebih kurang 100 peserta hadir yang terdiri daripada pesakit-pesakit strok bersama ahli keluarga mereka serta kakitangan-kakitangan  perubatan Jabatan Perubatan Keluarga dan Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan PPUKM. Sambutan Merdeka-Raya ini telah dirasmikan oleh Professor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh selaku ketua Hal ehwal industri dan masyarakat PPUKM. Terdapat juga acara pengisian dalam bentuk  ceramah perubatan yang disampaikan oleh Dr Law Zhe Kang, dari Jabatan Perubatan bertajuk “ Adakah saya sedang mengalami strok”.Di samping itu terdapat juga ceramah pemakanan serta demonstrasi memasak makanan sihat oleh Puan Linda dari Kumpulan Bersatu Bumi Perak. Peserta juga turut serta dalam aktiviti saringan berteraskan pergerakan fizikal sebelum menjamu selera dengan bermacam-macam juadah yang disediakan. Acara ini bermula jam 9 pagi dan berakhir sekitar jam 1 petang.

Kelab Pesakit Strok PPUKM “KEKASIH” ditubuhkan pada tahun 2013 atas inisiatif Klinik Lanjutan Strok dengan kerjasama Jabatan Perubatan Keluarga untuk mewujudkan kumpuan sokongan atau “support group” bagi pesakit-pesakit strok di komuniti bagi menjalankan pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan. Selain dari mengeratkan jurang hubungan sosial pesakit dan kakitangan-kakitangan perubatan, persatuan ini memberikan medium untuk pesakit strok berdikari dalam menjalankan sesuatu tugasan bermatlamat sejajar dengan proses rehabilitasi mereka. Dengan secara tidak langsung persatuan ini juga berfungsi sebagai landasan untuk mempromosikan informasi kesihatan kepada umum terutama berkenaan dengan penjagaan strok.

Picture2 Picture3 Picture4 Picture5 Picture6 Picture7 Picture8 Picture9

Picture1

Search

+