Program Santuni Warga Emas
Seramai 70 orang penghuni Pusat Jagaan Al Fikrah, Kajang telah diraikan dalam program Santuni Warga Emas yang dianjurkan oleh pensyarah Jabatan Perubatan Keluarga serta pascasiswazah Ijazah Doktor Perubatan Keluarga UKM pada 28 Julai 2024 (Sabtu).
Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran kakitangan Klinik Primer HCTM dan sukarelawan dari Malaysian Relief Agency (MRA). Pusat Jagaan Al-Fikrah adalah badan NGO yang dikendalikan oleh Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pegawai Kerja Sosial Perubatan Malaysia sejak tahun 2012. Pusat jagaan ini menempatkan penghuni lelaki dan wanita yang terlantar, menerima penempatan sementara atau kekal, penghuni yang tidak berkemampuan, tidak mempunyai saudara mara serta menghadapi masalah sosial. Ia juga memberi penempatan kepada pesakit yang discaj dari hospital yang tidak dituntut atau tidak mempunyai saudara mara.
Dengan slogan “Berkongsi Jariah Bersama Kami,” Pusat Jagaan mengadakan pelbagai program pengisian untuk semua penghuni. Program seperti kelas pengajian al-Quran, fikah dan fardhu ain, aktiviti gotong-royong, sesi kaunseling, riadah, kemahiran diri serta kerja tangan Beberapa aktiviti telah dijalankan semasa program Menyantuni Warga Emas ini, termasuklah saringan kesihatan, pemeriksaan mental dan dementia, senaman chairobic, sukaneka, cabutan bertuah, penyampaian sumbangan bahan masakan, dan ceramah kesihatan.

