Program “Pinktober” (Early Detection Saves Lives)
Sebagai usaha menyalurkan maklumat, mempromosi dan menyemai kesedaran masyarakat mengenai kepentingan saringan kanser payudara, Unit Ante Natal, Klinik Primer HCTM dengan kerjasama Jabatan Radiologi telah mengadakan program saringan awal kanser payudara, bersempena dengan bulan sambutan kanser payudara bulan Oktober. Kanser payudara merupakan kanser tertinggi dalam kalangan wanita Malaysia.
Program ini telah diadakan pada 29-30 Noivember 2023, di Ruang Legar, Klinik Lama Pediatrik. Objektif program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kesihatan dan kepentingan saringan kanser payu dara dan cara pencegahannya. Secara tidak langsung dapat mempromosikan perkhidmatan saringan payu dara di HCTM. Seramai 100 orang peserta mengambil bahagian, dan hasil daripada pemeriksaan, terdapat 21 orang pesakit telah dirujuk untuk melakukan ultrasound payudara, manakala 6 orang peserta telah dirujuk kepada klinik luar dan klinik di HCTM. Selebihnya, pemeriksaan terhadap peserta adalah normal.
Program selam setengah hari dimulakan dengan ceramah yang disampaikan oleh Dr Zuhra Hamzah, Pakar Perubatan Keluarga dan Ketua Unit Klinik Antenatal dan Dr Rahmah Kamaludin, penyelaras Klinik Primer HCTM. Ceramah dimulakan dengan memberi penjelasan mengenai kanser payu dara, risiko & penyebab menghidap barah payu dara, cara-cara pencegahan barah payu dara, serta kepentingan Mammogram. Ceramah juga merangkumi ujian pemeriksaan payu dara sebagai satu langkah pengesanan awal barah payu dara dan juga ultrasound sebagai pemeriksaan tambahan jika pemeriksaan tidak normal. Peserta diberi pengetahuan dan tatacara melakukan pemeriksaan payu dara sendiri di rumah. Semasa pemeriksaan payu dara dilakukan, didapati bahawa peserta banyak bertanya kerana suasana privacy “one to one” yang memberikan keselesaan kepada peserta. Diharapkan dengan pendidikan yang diberikan kepada peserta, para peserta akan lebih faham berkaitan pemeriksaan payu dara. Ini seterusnya diharapkan dapat meningkatkan keyakinan pesakit untuk melakukan pemeriksaan sendiri payu dara di rumah, dan berjumpa doktor jika mendapati pemeriksaan tidak normal.




