Program Kesihatan Kampung Orang Asli Gurney, Ulu Yam Selangor

13 Nov 2025

Pada hari Sabtu 25 Oktober 2025, Jabatan Perubatan Keluarga, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah berjaya melaksanakan Program Khidmat Masyarakat Pemantapan Kesihatan Komuniti di Kampung Orang Asli Gurney, Ulu Yam, Selangor.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Jangkauan Kesihatan HCTM, dengan kelulusan rasmi daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Program ini merupakan usaha sama dan kerjasama rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Selangor khususnya Klinik Kesihatan Ulu Yam Bharu serta Malaysian Relief Agency (MRA). Tujuan utama program ini adalah untuk memberikan perkhidmatan kesihatan terus kepada komuniti Orang Asli, termasuk pemeriksaan kesihatan menyeluruh, rawatan asas, serta konsultasi perubatan. Dalam masa yang sama, penduduk turut diberi pendedahan tentang penjagaan kebersihan diri, pemakanan sihat, pencegahan penyakit kulit dan air, serta kepentingan vaksinasi.

Program bermula tepat jam 9 pagi dengan aktiviti senamrobik yang diketuai oleh PT Norfadila binti Baharuddin. Seterusnya sesi pemeriksaan kesihatan dijalankan oleh pasukan perubatan HCTM dan Klinik Kesihatan Ulu Yam Bharu. Seramai 99 orang penduduk hadir untuk mendaftar, dan 64 orang telah menjalani pemeriksaan kesihatan — dengan 9 orang dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk rawatan susulan.

Dalam masa yang sama, sesi ceramah kesihatan interaktif dikendalikan oleh Dr. Fatimatul Syahirah, Dr. Nazrina dan Dr. Afiqah Najihah dengan topik menarik seperti Kebersihan Tangan, Penyakit Kulit, dan Penjagaan Diri. Kuiz santai turut diadakan bagi menceriakan suasana, lengkap dengan hadiah dan kit kebersihan buat semua peserta.

Tidak ketinggalan, Pegawai Sains Pemakanan PKD Hulu Selangor turut mengadakan demonstrasi makanan sihat, manakala jururawat terlatih Klinik Kesihatan Ulu Yam Bharu mengendalikan saringan Pap Smear untuk wanita Orang Asli. Bagi kanak-kanak pula, pelbagai aktiviti sukan dan mewarna diadakan oleh AJK sukan bertugas.

Majlis penutup disempurnakan dengan penyerahan sumbangan bakul makanan kepada 104 ketua keluarga oleh Prof. Madya Dr. Saharuddin bin Ahmad dan Prof. Madya Dr. Mohd Fairuz bin Ali, diiringi ucapan penghargaan kepada semua pihak terlibat — termasuk JAKOA, MRA dan PKD Hulu Selangor.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sekadar memberi rawatan dan pendidikan kesihatan, tetapi turut mengeratkan hubungan antara HCTM dan komuniti Orang Asli Ulu Yam. Program seperti ini memupuk semangat sukarelawan dan kolaborasi antara agensi mampu membawa perubahan bermakna kepada masyarakat. Dengan komitmen berterusan, usaha sebegini pasti dapat memperkukuhkan kesejahteraan komuniti dan mewujudkan masyarakat yang lebih sihat serta inklusif

Search

+