Program Forum “Survivor” Strok: Perjalanan & Inspirasi Untuk Ke Fasa Pemulihan
Klinik Lanjutan Strok, Klinik Primer Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dengan kerjasama Unit Neurologi, HRC dan Kelab Strok (KEKASIH) telah menganjurkan Forum Survivor Strok: Perjalanan & Inspirasi Untuk Ke Fasa Pemulihan pada 18 Oktobrt 2025 (Sabtu), jam 8.30 pagi di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC). Program ini berlangsung dengan penglibatan seramai 73 orang peserta yang terdiri daripada pesakit strok, penjaga, dan pegawai kesihatan.
Forum ini bertujuan memberi suntikan motivasi dan inspirasi kepada pesakit strok yang sedang menjalani proses pemulihan, melalui perkongsian pengalaman daripada mereka yang telah berjaya bangkit selepas strok. Program ini turut memberi peluang kepada ahli Kelab KEKASIH untuk memainkan peranan sebagai penceramah dan penganjur aktiviti komuniti, sekaligus memperkukuh pendekatan sokongan rakan sebaya dalam pemulihan pesakit.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Fairuz bin Ali, selaku Penasihat Kelab KEKASIH merangkap ketua program forum ini. Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Dr. Choong Jern Tung, wakil Unit Neurologi HRC. Kemuncak program adalah sesi forum bertajuk “Perjalanan & Inspirasi Untuk Ke Fasa Pemulihan” yang dikendalikan oleh Encik Afandy bin Sutrisno, kaunselor dari Klinik Kesihatan Seri Kembangan.
Para panel forum terdiri daripada ahli Kelab KEKASIH yang berkongsi kisah perjuangan, cabaran, dan kejayaan mereka dalam mengharungi perjalanan pemulihan selepas strok. Peserta berpeluang berinteraksi secara langsung dengan stroke survivors, memperoleh pandangan baru mengenai proses pemulihan, serta meningkatkan keyakinan diri dalam meneruskan terapi dan rawatan. Sokongan berterusan dan perkongsian pengalaman sebenar merupakan faktor penting yang dapat membantu pesakit strok mencapai tahap kefungsian yang lebih baik.
