MAJLIS PERASMIAN & KARNIVAL KESIHATAN KLINIK PRIMER PPUKM CHERAS
Klinik Primer PPUKM Cheras (KPPC) di bawah tanggungjawab Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia telah mengadakan satu Majlis Perasmian dan Karnival Kesihatan pada Sabtu, 12 Ogos 2017, bersempena dengan sambutan Jubli Perak ke 25 tahun penubuhan Jabatan Perubatan Keluarga.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Prof Dr Nor Ghani Md Nor, Pro Naib Canselor (Penjanaan dan Prasarana), Universiti Kebangsaan Malaysia.
Objektif program ini adalah untuk memperkenalkan perkhidmatan KPPC yang telah setahun beroperasi sepenuhnya kepada penduduk sekitar, di samping membuka peluang kepada institusi dan pihak industri yang berminat untuk bekerjasama dengan KPPC demi penambahbaikan penjagaan dan pemulihan pesakit di peringkat primer.
Bertemakan “Rakan Kesihatan Komuniti Anda”, KPPC merupakan sebuah klinik primer atau primary care clinic yang memberikan perkhidmatan rawatan kesihatan kepada penduduk setempat serta menjadi pusat latihan akademik untuk pengajaran dan penyelidikan bagi pelajar-pelajar prasiswazah dan pascasiswazah di dalam bidang perubatan keluarga. Ia turut menjadi platform bagi petugas kesihatan professional dari pelbagai disiplin menjalankan kerjasama dan penyelidikan di peringkat primer bagi meningkatkan tahap penjagaan kesihatan pesakit di peringkat primer.
Pelbagai acara menarik telah diadakan pada hari tersebut, termasuklah saringan kesihatan dan pergigian percuma, pameran kesihatan dan klinik-klinik pakar khas, pameran evolusi KPPC sempena sambutan Jubli Perak ke 25 tahun Jabatan Perubatan Keluarga, jualan makanan, minuman, barangan kesihatan, barangan terpakai dan lain-lain.





